The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

26 Disember 2009

DYS #8: Pecah Masuk


- Mencuba-cuba font yang baharu dimuat-turun - "Mighty Zeo" - yang agak cool dan sesuai dijadikan font komik.

- Kartun kali ini ialah tribute untuk Zul Ikhwan Zahari. :)

20 Disember 2009

Desainer Yang Sibuk - Bahagian 6





Tahun baru. Adakah kita perlu perbaharui azam setiap kali tahun baru? Sebentar, saya tulis semula. Adakah kita perlu perbaharui azam setiap kali tahun baru sahaja?

Tidak salah memperbaharui azam, menjadikannya daripada yang kurang elok kepada yang elok kepada yang lebih elok kepada yang sangat elok. Seorang mukmin yang sejati itu, hari ini lebih elok dari semalam dan hari esoknya lebih baik dari hari ini. Tetapi yang ingin saya timbulkan di sini ialah adakah di awal tahun sahaja harus kita perbaharui azam dan niat?

Apa yang menjadi masalah ialah keazaman kita yang cepat pudar. Hilang konsistennya selepas beberapa ketika. Pernah kita terfikir untuk berazam supaya azam yang kita azamkan itu dapat kekal sepanjang tahun? Mungkin di sini silapnya.

Atau mungkin juga sikap kita sendiri yang tidak tetap dalam berpendirian.

Islam telah mengajar kita berpendirian. Bagaimana? Antara rukun solat  ialah takbiratul ihram. Lafaznya "Allahu Akbar" yang bermakna Allah Maha Besar. Bila kita ucapkan lafaz takbir ini dengan lidah, ia secara tidak langsung menjadi suatu pengakuan atau penyaksian bahawa tiada yang lebih besar melainkan Allah. Inilah juga yang dikatakan pendirian. Di dalam solat, Islam mengajar kita berpendirian bahawa di dunia ini tiada perkara yang lebih besar; tiada urusan yang lebih besar; tiada sesuatu pun yang lebih besar selain Allah.

Walaupun demikian, hakikatnya berapa ramaikah antara kita yang menterjemahkan kalimah takbir, menghayati lafaz suci tersebut dalam kehidupan seharian?

Pergi ke pejabat tidak boleh lewat sedikit, takut dimarahi bos, takut dibuang kerja, takut dipotong gaji. Tetapi pergi ke masjid, ke surau, jemaah sudah tahiyat akhir baharulah sampai. Kadang-kadang sengaja solat di akhir waktu, kononnya ingin memperdaya syaitan.

Inilah contoh orang yang tidak berpendirian - di dalam solat, Allah itu 'akbar' namun di luar solat, dunia itu baginya 'akbar'. Bagaimanalah pula mahu berpendirian tetap dalam keazaman bila perkara sebegini pun kita gagal?

Saya tidak menuding jari kepada sesiapa, malahan coretan ini juga peringatan dan teguran buat diri sendiri. Sama-samalah kita perbaiki diri dari semasa ke semasa agar kita dapat menjadi hamba-Nya yang bertaqwa. Ingat, bukan di awal tahun sahaja, tapi di setiap saat. Mengapa?

Kerana kita manusia. Manusia tidak dapat lari dari membuat kesalahan dan kesilapan.

14 Disember 2009

Komik Kedua Jadi Ketiga

- Harap maaf bagi yang mengunjung. Oleh kerana hari ini saya amat ripuh membuat resume dan permohonan kerja serta beberapa hal persijilan (di samping bermain permainan video, hehe), tiada kartun strip sempat dilukis; hanya sedikit pengumuman dan pembetulan.

- Komik kedua yang dikatakan tempoh hari di blog ini diinjakkan penerbitannya kepada komik ketiga, insya-Allah mempunyai empat siri.

- Tajuknya juga akan ditukar kepada Kerana Hidayah Itu Milik-Nya, dan bukan lagi Si Kaya dan Si Miskin (sebab bunyinya kebudak-budakan sangat). Ia sebenarnya diadaptasi daripada cerita pendek berbahasa Inggeris karangan saya, namun komiknya akan dibuat 100% di dalam bahasa Melayu Tinggi. Anda boleh membaca cerita pendek itu, jika minat, di blog saya yang satu lagi.

- Sekian sahaja entri hari ini. Jangan kecewa ya. Esok, insya-Allah, saya lukis kartun strip. ^___^

11 Disember 2009

Desainer Yang Sibuk - Bahagian 3



Saya agak sibuk hari ini melawat dua orang rakan lama yang sekelas semasa di bangku sekolah rendah. Terasa muda kembali bila bermain permainan video PS2 bersama-sama. Balik rumah dalam keadaan letih, saya terbaca notis pemotongan bekalan elektrik di almari buku. Saya mula kalut. Mujurlah saya perhatikan semula. Notis tersebut telah tiga tahun usianya.

Dengan itu, secara otomatisnya, strip kartun di atas terhasil.

---

Di bawah ini pula saya tidak tahu apakah bendanya. Hanya mengikut 'kata' tangan yang memetik butang tetikus dalam perisian Paint. Saya amat jahil melukis menggunakan tetikus.



10 Disember 2009

Desainer Yang Sibuk - Bahagian 2


Eksperimen kedua. Dinaik taraf. Sudah ada latarbelakang. Ah, saya sudah mula asyik dengan kartun strip. Tapi, bagaimana dengan Budak Bionik: Next Gen?

Oh, tidak...!

09 Disember 2009

Desainer Yang Sibuk




Setelah menatap blog Encik Alif Firdaus Azis, saya terasa-rasa ingin melakar secicip kartun strip seperti yang dibuatnya. Walaupun tak kemas seperti yang dibuat Encik Alif (saya panggil beliau Tan Sri Alif), terimalah seadanya eksperimen pertama saya seperti di atas.


08 Disember 2009

Pejabat Sementara



Kelihatan rakan setugas sedang tumpang istirehat.


Inilah pejabat sementara saya. Entri ringkas ini ditulis kerana bosan berada di pejabat. Sekian.


07 Disember 2009

02 Disember 2009

Budak Bionik: Next Gen!


Alangkah 'perasan'nya tajuk di atas ini. Macam sudah buat bersiri-siri pula kisah Budak Bionik ni. Eh, memang dah ada satu siri dalam komik Al-Fityan. Siri Prolog. Siapa yang tak beli, nasib andalah ya.

Ini projek rahsia sebenarnya. Jadi, (berbisik) psst, anda tidak perlu beritahu sesiapa selepas melihat entri ini. Janji!

27 November 2009

Entri Di Hening Aidiladha

Saya tidak bercadang menulis entri ringkas ini pada mulanya. Ia tercetus secara tiba-tiba. Ia juga tidak bertujuan untuk mengherdik mana-mana pihak. Ia cetusan hati. Dari hati turun ke hati hendaknya.

Pembelajaran dan Pengajaran Dalam Komik

Ini sesuatu yang baharu. Ya, siapa sangka, komik dapat memberi faedah dan mengajar orang yang membaca dan menilainya dengan baik. Tak percaya?

25 November 2009

Istimewa Aidiladha Ini!




- Oh, tidak. Saya tidak mengiklankan jualan harga runtuh di sini. Cuma meletakkan pra-lihat komik iluvislam.com yang akan saya hantar bertemakan raya korban.

- Komik bersiri untuk iLi terpaksa ditangguhkan untuk memberi laluan kepada komik ini. Hehe. Alasan!

- Nantikan!

- Kemaskini 26.11.09: Anda boleh membaca komik ini di iluvislam.com, sekarang!


20 November 2009

Cuba Lagi



Masih tak puas hati dengan lukisan maskot yang berbaju biru sebelum ni. Mahu cuba lagi scan lukisan. Tapi mengapalah saya terlalu malas dalam proses mendakwat/inking? Ah, guna pensel saja sudah cukup. Haha.

Gambar di atas sebenarnya mahu dijadikan testi di iluvislam.com sempena Aidiladha. Tapi oleh kerana ia terlalu hodoh, saya batalkan niat di hati. Ya, ia hodoh, bagi saya. Kenapa? Sebab ia tak bersih. Kotor. Comot. Apa lagi nak dikata?

p/s: Mana-mana team Designer iLi yang nak guna lukisan ni, bolehlah ambil. Sesiapa pun boleh ambil. Di sini, segalanya gratis, asalkan jangan disalahguna, ya!

19 November 2009

Sudah Dimiliki!

Oh, tidak. Saya belum dimiliki. Belum ada isteri. Calon? Anda rasa?

Sebenarnya, hajat ketika di Mesir dahulu untuk membeli komik-komik terbitan PTS tercapai sudah. Hanya empat buah komik sempat dimiliki (sebab tak cukup duit, hehe). Nanti dah masuk gaji, bolehlah beli SEMUA.


 Empat buah buku yang berjaya dimiliki.
(dari kiri: Orang Kuat, Komik-M Raya, Takaza, dan Kad Raya dari Syurga)


Tapi tak apa, nanti saya akan dapat buku percuma!

Eh? Percuma?

Ya, saya tidak silap taip. PERCUMA! Sila klik iklan "Saya Mahu Hadiah PTS" di sidebar pada sebelah kanan anda untuk mengetahui tentang kepercumaan ini dengan lebih lanjut.


17 November 2009

Komik Kedua di iluvislam.com




Ya, saya telah mengambil keputusan untuk membuat komik bersiri.
Dalam laman web iluvislam.com yang jadi pilihan muda-mudi.
Hajat di atma ingin buat sesuatu yang menyayat hati.
Tak tahulah entah benar, entah tidak kalau ia menjadi.
Doakanlah ya, agar kerja ini dalam reda Ilahi.



15 November 2009

Wajah Baru (Lagi)

Sungguhpun blog ini berwajah baru (lagi), ia tetap mempunyai tuan blog yang lama. Oleh kerana ia belum siap dibaikpulih sepenuhnya, anda dilarang berada di sini lama-lama untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Kerjasama anda didahulukan dengan jazaakallahu khairal jazaa'. Terima kasih.

-Tuan Blog Baru Yang Lama


12 November 2009

Kembali!

Ya, syukur. Kaki sudah kembali. Sudah mampu berjalan seperti sebelum ini! Ini hasil cubaan pertama. Syukur.



p.s: Kaki yang dimaksudkan ialah scanner.


05 November 2009

Genggam Tanganmu!

Tiap saat renik peluh bercantum dan mengalir deras dari dahi. Kekuatan yang diperoleh, keazaman yang ditanam sebelum pulang tempoh hari seakan sudah tiada nampak nyalanya.

Ah, abaikan semua itu.

Sakit ini hanya sementara. Berpantang maut sebelum ajal. Perjuangan kita belum selesai!


---


Blog ini akan dikemaskini dengan entri baru dari semasa ke semasa. Oh. Ya. Hampir terlupa. Saya sudah kembali, dengan izin-Nya. 


01 November 2009

Warkah Buatmu

Disebabkan saya tidak mampu tidur beberapa jam sebelum penerbangan pulang ke Malaysia kerana diri tiba-tiba menjadi sedikit gering dan kepala amat padat dengan 'to-do list' setibanya di tanah air, saya gagahkan diri untuk menaip beberapa warkah sebelum meninggalkan bumi Anbiya' ini.

30 Oktober 2009

Yang Terakhirnya - Misi: 2142

Ini karya terakhir sebelum berangkat pulang. Karya ini belum siap. Sila jangan komen banyak-banyak.

Di mana boleh tatap karya ini? Di iluvislam.com.


28 Oktober 2009

Konvo! - episod 2

Episod kedua dan terakhir konvokesyen di Mesir. Klik pada imej untuk dibawa ke laman umum album konvo saya di Facebook.



27 Oktober 2009

Komik Di iluvislam.com

Sebenarnya amat ripuh untuk menghasilkan komik, tetapi memandangkan sudah berjanji dengan Tuan Presiden Iluvislam.com, Imran Koyube, alhamdulillah berjaya juga menggagahkan diri untuk menyiapkan beberapa page.

p.s: Sangat tak berpuas hati sebab hanya mampu menconteng-conteng. Oh, Tuhan, fikiranku sudah berada di Malaysia!

p.p.s: Terimalah seadanya (klik pada imej di bawah untuk membaca contengan tersebut).




22 Oktober 2009

Di Ambang Kepulangan

Digamit rindu. Tanah air memanggilku. Sukar menyingkir sedih yang bertamu. Meninggalkan bumi barakah, penuh ilmu.

Tak mengapalah.

Kudoakan semoga semuanya tabah dan jitu. Mengharung segala cabaran yang mengharu-biru. Doakan semoga suatu hari kita kan bertemu. Biar berbeza tempat dan waktu. Di dalam perjuangan kita bersatu: mencari keredaan Allah Tuhan yang Satu.
Copy dan Paste Code di bawah ke dalam Friendster, Blog dll

20 Oktober 2009

Konvo! - episod 1

Saya tidak selalu memuatnaik gambar saya sendiri di blog ini. Hanya disebabkan gambar-gambar di bawah merupakan antara gambar yang sangat berharga dalam hidup saya, anggaplah anda bernasib baik kerana dapat menatapnya. Hehe. Dipersembahkan: Konvo! - Episod 1.



Di pekarangan Nadi Riyadhi, Hayyu Sadis sebelum majlis hari terakhir Pembacaan Kutub Sittah bermula.

13 Oktober 2009

Robotnya Kamu

SUSAH

Robot. Subjek susah. Sungguh susah. Tak percaya? Tengok gambar di bawah.





Susah. Akan cuba lagi. Titik.


***


UNTUK KEGUNAAN ANDA


Saya muatnaikkan beberapa gambar yang telah dijadikan testimonial di testi.iluvislam.com untuk kegunaan anda, kalau-kalau ada yang berkenan di hati. Ok!


 

(akan dimuatnaik lagi...)

11 Oktober 2009

10 Oktober 2009

Panduan Bagi Yang Tak Reti




Kakashah: Letaklah panduan Adobe sikit di blog kamu.
Saya: Aku mana tahu buat panduan. Diri sendiri pun tak terpandu, nak beri panduan kepada orang lain konon.
Kakashah: Ah, yang kau hasilkan gambar aku ni?
Saya: Yang ni aku buat suka-suka saja. Main-main. Panduan mana boleh dibuat sambil lewa, main-main. Apalah kau ni Kakashah.
Kakashah: Ah, tak kira! Kamu kena letak juga.
Saya: Yang kau ni sibuk-sibuk kenapa? Nak promosikan diri ya? Kau tu kan dah sedia masyhur?
Kakashah: Hehe, aku tahu. Kau letaklah Lan pula.
Saya: Lan?
Kakashah: Buat sajalah! Cakap banyak!
Saya: Erk, baik bos!


Maka, setelah selesai pertikaman lidah kami, saya pun, dengan berat hatinya membuatkan satu panduan ringkas tentang Shading & Lighting. Dapatkannya di blog Al-Fityan.



Namanya Alias


(Bukan Alias bin Chik ^___^)


Beginilah. Biar saya terangkan. Otak saya bekerja tidak kira di waktu sedar atau tidur. Logiknya, sebaik bangun tidur, tentu dapat idea yang pelik-pelik, paling kurang satu.

Disebabkan terlalu banyak limpahan idea (termasuk idea sampah), maka tercetuslah idea ingin membuat satu komik crossover bersama pelukis-pelukis komik lain. Masalahnya: belum terjumpa sesiapa yang ingin serta.

Komik ini -- Badar 2142 -- ialah komik berkaitan perjuangan kumpulan minoriti Muslim yang ditindas, diletakkan masanya pada tahun 2142; tahun yang dianggap, pada masa itu, teknologi sudah membangun dengan dahsyat (mungkin pelindung senjata nuklear pun sudah terhasil! #__# ' )

Antara elemen menarik yang ingin dipahat di dalamnya ialah robot-robot perang jenis mecha, exo-skeleton, dan battle-suit. Memang menjadi suatu yang mencabar untuk menghasilkan lukisan robot. Tapi tak mengapa, selagi ada usaha, tiada lautan yang tak bisa direnangi (ah, buat apa berenang rentas laut - bazir masa saja - lebih baik buat amal kebajikan pada Mak Abah). Cabaran ini akan cuba disahut. Yosh!

Buat sesiapa yang mahu sertai, beritahulah di kotak komen di bawah. Ganjarannya di dunia tiada. Doalah agar keikhlasan anda membantu membangunkan komik Islami mendapat ganjaran di akhirat. ^___^

Komik ini akan dipaparkan pautannya di blog ini secara gratis. Sekian.




p.s: Jemputan khas saya berikan kepada saudara Alias Chik yang berjaya menjadi watak utama komik ini (hehe).

07 Oktober 2009

Undangan Perkahwinan

Disebabkan saya ditaklifkan menjadi wakil utusan undangan perkahwinan oleh saudari Fadhlina Yusoff (bekas timbalan ketua editor Al-Fityan edisi kedua), maka di sini, sukacita dimaklumkan bahawa anda yang mengenali beliau, dijemput secara tidak langsung apabila menatap kad yang disertakan di bawah.



 
 

p.s: Yang tidak mengenali, silakanlah juga hadir ke majlis tersebut. Kalau tuan rumah tanya, cakaplah: "saya kawan Han Ri." ^__^


Cinta Lagi




Bermacam-macam ragam pula diri ini apabila makin mampir masa pulang ke tanah air tercinta. Segala perasaan bercampur-baur. Terlalu banyak memori untuk dimuatkan dalam otak yang sebesar penumbuk ini. Tapi percayalah, semua yang berlaku sejak tiga tahun lalu tak mungkin dapat pergi begitu sahaja, melainkan dengan izin-Nya.

Terima kasih kepada semua yang setia membaca blog ini.





p.s: Apa kena-mengena dengan tajuk? -_-



05 Oktober 2009

Bukan Untukku, Bahkan Buatmu




Peta tiga dimensi yang seakan peta permainan video Lego.  Ø_Ø



Saya sudah mula bekerja. Siapa mahu kahwin? Angkat tangan!

28 September 2009

Jangan Jatuhkan Martabat Pelajar Agama...


 ...dan yang tidak kurang pentingnya - jangan jatuhkan martabat diri anda sendiri!

Jangan jadi seperti himar yang membawa bebanan yang sarat.
Memikul kitab besar-besar, berat-berat -
tapi satu benda pun (dari kitab tersebut) tak dapat dimanfaat.

Jangan jadi pelajar agama yang belajar ke serata tempat,
dari Timur ke Selatan - Utara ke Barat,
tapi akhirnya mendustakan segala Ayat.

Kasihan, mereka ini benar-benar telah diperalat -
oleh nafsu, syaitan, dan sekutunya yang sesat.
Mintalah dijauhi dan diberi hidayat -
agar tergolong dalam golongan yang terselamat.
Selamat di dunia juga di akhirat.

(Dah lama tak berpantun! ^__^)


25 September 2009

Bakat Anda Untuk Apa?

Jika anda mempunyai bakat yang jarang dipunyai orang, apa yang anda bisa/akan buat dengannya? Menunjuk-nunjuk? Membuat lagak seakan anda seorang saja di atas dunia mempunyai bakat sedemikian?

Ketahuilah. Bakat ialah tanggungjawab. Seperti kuasa. Ia akan dipersoalkan di akhirat. Ke arah manakah telah anda pergunakan bakat anda? Jangan pening mahu menjawab soalan ini - ia hanya mempunyai dua jawapan; jika dipilih jawapan salah satunya, terbatallah satu jawapan lagi: ke arah kebaikan atau ke arah keburukan.

Renung-renungkanlah.

Hidup di dunia amatlah sementara. Ibarat musafir yang berehat di sepohon kayu untuk melepaskan penat lelahnya buat seketika sebelum menyambung perjalanan senula. Namun adakah yang dilakukan, semasa berehat itu, sekadar mencuci kantuk di mata atau membuang penat di rongga?

Guru saya pernah mewasiati, suatu ketika dahulu: "Kita hidup sekejap sahaja, maka ciptalah sesuatu untuk kebaikan mereka yang hidup selepas kita. Setiap hari satu ciptaan, insya-Allah ada ganjaran. Berikan sesuatu untuk agama Allah - walaupun ia hanya sekecil zarah."


Gambar sekadar hiasan.


23 September 2009

Salam Lebaran 1430!

Maaf kerana tersangat lewat mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin. Bukan apa, kad raya dalam entri tempoh hari pun sudah disertakan ucapannya, kan? Jadi, jangan marahlah ya andai terlewat! =)

Setelah beraya sakan pada 1 Syawal, menjadi hos rumah terbuka pada 2 Syawal, dan berjalan-jalan di sekitar Kaherah ke rumah rakan-rakan pada 3 Syawal, tiba masanya saya kembali 'bekerja' - menanam anggur. Anggur bukan sebarang anggur, anggur bekalan untuk dijadikan jus ribena!

Sekarang baharulah saya dapat rasakan ketenangan sejenak untuk memberikan masa dan tumpuan kepada diri sendiri, menguruskan segala yang berserabut sedari sebelum menduduki imtihan syahadah lagi. Ya, saya akan pulang, tak lama lagi, ke tanah air. Persiapan untuk menghadapi masyarakat/orang kampung? Aduh, soalan itulah yang sangat susah untuk saya jawab, kerana saya pun tidak pasti, adakah saya sudah betul-betul bersedia. Tiga tahun di Mesir bukanlah masa yang panjang, Bang. Sekejap sangat!

Doakanlah saya agar kuat dalam menghadapi segala apa yang berada di hadapan. Doakan juga iman ini thabat dalam meniti perjuangan menuju reda-Nya.



Proses mewarna (advanced) melalui medium
Adobe Photoshop, menggunakan teknik yang diajar 
oleh Kakak Freshie.




 Ya, hasilnya. Tak berapa memuaskan!

17 September 2009

Lagi PDF


Sedikit jamuan minda sebelum berakhirnya Ramadan. Muat-turun di sini, atau baca online di sini.

15 September 2009

Dalam Pembikinan

 


Tiada isi menarik untuk dibubuh buat masa ini. Tunggu dan lihat.







10 September 2009

Kad Raya!

Tidak bermaksud untuk mengabaikan baki 10 hari Ramadan. Maaf jika ada yang terasa. Hehe.

Sesiapa yang mahukan kad raya untuk dihantar kepadanya (versi elektronik sahaja), silalah hantarkan nama anda (tak kiralah sama ada ia nama glamour, nama panggilan manja, nama pena, kad nama, numa-numa, atau apa sahaja yang berkaitan dengan nama anda) dan alamat emel anda kepada emel di sebelah (di sidebar) atau di tempat komentar di bawah. Baca: tak boleh letakkan alamat emel di blog kerana ada risiko SPAM. Contoh design kad raya adalah seperti di bawah. Siapa yang tak puas hati dengan rekabentuknya, tak perlu beri nama. Hehe.


Salam Ramadan dan selamat memburu Malam al-Qadr!
P.S: Terima kasih kepada Kak Ummu Iffah a.k.a Freshie kerana kesudian mewarna kartun yang tak seberapa tu. =)

02 September 2009

*Terbaru* Hadiah Terakhir

Saya cuba mencarik adat dengan memberikan hadiah apabila berjaya mengecapi sesuatu (adatnya bukan memberi tetapi diberi).

Kupersembahkan kepada kalian...
...MINI-FITYAN
"Edisi Khas Ramadan dan Hari Kemerdekaan"


Maaf atas keterlewatan.



Muat-turunlah di SINI atau SINI atau baca online di SINI.


* Kredit kepada encik Zestlad yang sudi menjadi hos fail pdf.
** Pada pautan kedua, anda perlu memuat-turun 11 fail rar untuk mendapatkan fail pdf.
*** Maaf atas ketidakstabilan saiz di dalamnya. Kesilapan teknikal berlaku. =)

30 Ogos 2009

Dalam Kesibukan Beribadat

Ada orang pernah bertanya, "kamu sibuk-sibuk beribadat untuk diri sendiri, ada kamu hiraukan orang lain? Azab Allah bukan jatuh pada orang yang zalim saja, tapi seluruh kampung walaupun di dalamnya ada orang alim!"

Jawapan saya:



1. KRAF 09 (Bengkel Komik dan Grafik PMRAM 2009.
 Ditaklifkan jadi Pengarah pula. Tidak mengeluh. Hanya terasa agak berat sebab tak pernah pun pegang jawatan besar-besar sebelum ini.


2. MINI-FITYAN Edisi Khas Ramadan dan Hari Kemerdekaan (coming soon).
Juga pertama kali menjadi penyusun e-zine (electronic magazine). Disebabkan saya memang agak sukar berpisah dengan Photoshop bila sudah dimulakan kerja bersamanya, maka tidak hairanlah sepanjang malam di bulan Ramadan ini saya tidak pernah tidur. Nak kata insomnia tu, tidaklah. Cuma, alang-alang berjaga malam, bolehlah beribadat sekali. Tak gitu?






Dua jawapan ini saya tujukan kepada yang bertanya. Saya tidak beribadah seorang diri. Saya juga tidak mahu syok seorang. Dan saya bukan gila kuasa. Saya lakukan apa yang saya mampu. Apa yang tidak/kurang mampu untuk dilakukan, saya pass pada orang lain.

 
Sesungguhnya saya hanyalah hamba-Nya yang lemah dan terlalu banyak cacat cela.

27 Ogos 2009

E-zine: Al-Fityan


Nantikan e-zine Mini Fityan edisi khas sempena Ramadan & Merdeka. 31 Ogos ini, insya-Allah.

24 Ogos 2009

Merdekakah Kita?


Akagi - antagonis di dalam cerpen MERDEKA: 2142, 
Dewan Kosmik Julai 2008.


- Jiwa kita merdeka daripada hasutan syaitan di bulan Ramadan, tetapi merdekakah amalan kita daripada kejahatan nafsu?

- Perut kita merdeka daripada makanan dan minuman di siang hari, tetapi merdekakah mulut kita daripada umpatan dan cacian, atau perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasa?

- Kita mungkin merdeka pada satu bulan (Ramadan) daripada sifat-sifat buruk, tapi adakah kita mampu merdekakan diri pada 11 bulan yang berikutnya?

- Jadikan bulan Ramadan sebagai bulan memerdekakan hati, diri, dan iman kita daripada segala perkara mazmumah agar ia konsisten bukan hanya di bulan ini, tetapi sepanjang kita hidup di dunia, sehinggalah saatnya kita bertemu Pencipta dunia.

Salam Ramadan, salam kemerdekaan.


23 Ogos 2009

Penyunting Entri (Post Editor) Baru Blogger

Jika anda pengguna Blogger, pastikan anda sudah menukar Post Editor kepada yang baru.
Settings > (lihat pada Global Settings).
Antara yang ditambah pada penyunting entri baru ini ialah... (klik)

* Terlewat perasan. Baharu hari ini terlihat.

Kandid-kandid Muktamar KPKM XIV

Berikut ialah beberapa kandid yang berjaya di'tembak' semasa muktamar berlangsung.







LAGI.


18 Ogos 2009

Kartun di Buletin Tasmim









Koleksi 4 kartun yang diterbitkan bersama Buletin Tasmim sempena Muktamar Sanawi KPKM XIV. Kartun Doc Sis dot Com juga disertakan sekali. Seperti biasa, klik pada imej untuk paparan yang lebih jelas.