The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

24 Disember 2011

Jurnal Kembara (bhg. 1)

Januari 2001, Pulai Chondong, Kelantan.

Aku jejakkan kaki ke bumi Kelantan lagi. Seingat aku, itu kali keempat. Kali pertama aku datang bersama rombongan KRT Taman Desa Bakti yang membuat lawatan ke sana. Aku seorang-seorang pula tu.

Nasiblah, memang aku ditakdirkan untuk mengembara seorang diri. Hu hu.

Kali kedua bersama Abah, ambil borang. Pergi dengan kawan Abah. Kali ketiga pergi bersama keluarga, duduki peperiksaan kemasukan.

Kali keempat adalah yang paling mendebarkan. Suasana baharu, cabaran baharu, segalanya baharu. Masa itu memang terasa nak menangis sebab tinggalkan Mak Abah. Anak manjalah kononnya ini, haha, ceh!

Alhamdulillah aku sebagai orang baru tak dibuli, malah dilayan dan ditunjuk ajar dengan begitu sempurna oleh senior-senior. Aku memang sangat senyap bila berhadapan dengan suasana baharu. Ambil masa jugalah nak biasakan. Bolehlah aku bahagikan kepada beberapa perkara yang perlu dibiasakan sebagai 'orang luar' untuk belajar di Kelantan.

Pertama, dan yang paling utama, belajar membiasakan diri 'kecek Klate'. Mula-mula nak biasakan diri, rasa pelik pun ada. Sampai perasan seorang senior tersengih bila dengar saya dengan tidak malu menukar perkataan 'kawan' ke dalam loghat Kelantan. Biasanya perkataan yang berakhir dengan -an atau -ang atau -am akan ditukar kepada -é, contohnya makan menjadi maké, pasang menjadi pasé, tilam menjadi tilé.

Masa tu dah tahu perkataan yang lebih tepat ialah 'saeng/saing' bukannya 'kawe'. Rasa nak tampar saja lidah masa itu. Huh.

Kedua ialah mencari rakan yang boleh jadi gu atau rakan berbual. Makhluk pertama yang aku jumpa ialah Aiman Solah - bila jumpa terus cakap fasal Pokemon. Haha, apa nak jadilah kau ini, Mior! Anuar Rashid pun boleh juga, aku selalu pergi bilik beliau nak pinjam buku Reader's Digest.

Ketiga, cuti. Pada awal musim pembelajaran, memang cutilah antara yang aku nantikan. Masa mula-mula memang tak reti langsung menaiki bas ekspres. Terima kasih kepada senior, Ustaz Nasir Razak, aku berjaya juga kembali ke Perak. Yosh!

Masa itu memang bangga sakan. Pertama kali balik sendiri tanpa dibantu Mak atau Abah. Mestilah bangga! Ho ho ho.

Keempat ialah sistem pembelajaran. Haha, aneh kan? Keempat! Iyalah, ini bagi aku, sebab aku orang luar Kelantan. Mungkin orang luar Kelantan yang lain, lain ragamnya. Huh.

Sistem pembelajaran pada masa itu ada dua fasa. Fasa pagi iaitu belajar seperti biasa, lebih kurang dua jam diperuntukkan untuk tasmik, dan selebihnya, hingga pukul 1.30 petang. Rehat dalam pukul 10.30.

Fasa petang pula bermula dalam pukul 2.30 sehingga Asar. Penat, tapi sangat memuaskan hati sebab dapat berdamping lama dengan guru-guru Quran.

Nak naik tahun pula berdasarkan pencapaian tasmik. Kalau tak cukup silibus untuk tahun itu bila menjelangnya akhir tahun, alamat tak naik tahunlah jawabnya. Pencapaian aku? Nak tahu ke? Tak payahlah, malu! Hu hu hu.

Apa yang aku boleh beritahu, aku bukanlah antara yang baik. Baik pun tidak, cemerlang jauh sekalilah kan! Bukan salah guru Quran, Ustaz Amin Yusoff, yang berpenat lelah mendidik dan mendengar aku tasmik. Tapi salah diri aku sendiri yang culas dan malas. Huh.

Tapi alhamdulillah, Allah izinkan aku naik ke tahun dua. Itu pun cukup makan saja. Sebut fasal makan, laparlah pula. Aku nak ceritakan pula peristiwa-peristiwa dan pengalaman aneh di MTAQ, tapi mungkin lepas ini pulalah. Cerita seterusnya tentunya pengembaraan di tahun dua.

Psst. Bukan lapar. Mengantuk sebenarnya. Hehe. Jumpa lagi, dan salam 1433H!



(Bersambung ke Bhg. 2, insya-Allah)




sumber: Jurnal Kembara bahagian 1

03 November 2011

Lagi-lagi Bionik!

 

Baharu mendapat semangat baharu untuk melukis lagi. Lagi-lagi bionik, kan? Tak istiqamah langsung aku ini.

Silalah jangan tiru akhlak buruk ini. Hish!

31 Oktober 2011

30 Hari Seterusnya

Berdebar
Terfikir-fikir apa akan aku jadi selepas sebulan ini. Ini sebulan yang mendebarkan. Sebulan lagi untuk bersiap memikul tanggungjawab besar. Besar, besar, besar.

Peperiksaan
Hari ini peperiksaan akhir tahun Sekolah Rendah Agama Al-Munir Padang Tembak bermula. Pelajaran yang aku ajar mengambil tempat pada hari ini dan esok, jadi dalam tiga hari selebihnya pada minggu ini, aku boleh tumpukan kepada pemeriksaan kertas-kertas jawapan pelajar.

Kurang Sihat 
Kebetulan hari ini aku mula rasa tidak sedap badan. Mungkin sebab mandi hujan malam semalam. Allahussyafi, semoga sakit ini tidak menghalang aku untuk melakukan tugas hamba sehabis baik. Amin.

26 Oktober 2011

Tak Macam Nak Kahwin?

Sedang sibuk mengemaskini data Facebook Sekolah Rendah Al-Munir, aku dikejutkan dengan sapaan seorang rakan di ruang chat.

"Eh! Kau sudah nak kahwin ya?"

"Insya-Allah. Akhir November ini."

Selepas beberapa saat aku menjawab, dia pula menambah. "Tahniah, tahniah. Tapi, aku tak nampak macam kau nak kahwin saja."

Aku angkat kening. Apa maksudnya? "Tak nampak macam nak kahwin? Apa fasal?"

"Iyalah, aku tengok di Facebook tak ada pun gambar-gambar kau dengan tunang kau. Status-status 'abang-sayang' yang biasa orang yang hampir ke alam rumahtangga pun tak pernah aku lihat. Betulkah kau memang nak kahwin ni?"

"Mengapa pula? Betullah. Ini kadnya." Aku membalas sambil memberikan pautan kepada gambar kad jemputan.

"Hm, kau ini pelik."

Pelik? Tidaklah, aku tak berkelakuan pelik. Aku cuma tidak mahu hal-hal peribadi aku ditayangkan di khalayak ramai. Bak kata Abah: benda dalam kain jangan ditayang pada orang. Bukan semua hal berkenaan perasaan perlu ditayangkan, dizahirkan pada umum.

Bahkan, bagi aku, ia boleh jadi suatu yang mengaibkan. Bayangkan rakan anda melihat status gedik anda itu, kemudian menyebarluaskannya sehingga anak-anaknya dapat membacanya juga. Lebih malang bila anak-anak mereka itu murid-murid anda.

Tidakkah malu?

Dalam Islam kita diajar untuk menggunakan setiap anggota badan dengan betul. Betul pada tempatnya. Jari pun anggota badan kita, gunakanlah untuk perkara yang sejajar dengan undang-undang Allah. Bukan pakai taip saja apa yang berlari di fikiran.

Tapi aku tak balas begitu pada rakan tadi. Aku hanya jawab: "Tunang aku tak ada Facebook. Selamat dunia akhirat. Hehe."


Jemputlah datang, ya. Buat macam rumah sendiri,

12 Oktober 2011

NIKAH



Perkahwinan bukan sekadar mahu bersuka-ria semasa hari perkahwinan, bahkan ia merupakan satu pengembaraan yang perlu ditempuh bersama-sama, kelana yang penuh ranjau dan duri, demi mencapai satu matlamat -- redha Yang Esa.
Disalin dari www.facebook.com/hanrikun. 
Insya-Allah kad jemputan akan menyusul selepas entri ini. Nantikan ya.

31 Ogos 2011

Syawal Terbunuh

Hati-hati, kome. Encik Adam sudah bengang.

Aku lihat telatah jiran sebelah. Riang ria mereka bermain bunga api. Jauh di horizon sana kelihatan pula pancutan cahaya ke langit, diikuti bunyi letupan yang tidak kurang bingitnya. Aku kerling jam tangan.

9.14 malam. 29 Ogos 2011. Malam raya. Malam Syawal. Biasalah, aku berbisik. Melayu, kalau tidak ada mercun dan bunga api, memang bukan Melayu namanya. Aku dulu pun sama, kecil-kecil dulu amat gemar bermain bunga api.

Bila sudah dewasa, aku sudah faham apa yang orang tua-tua cakap tentang duit dibakar bila beli mercun atau bunga api atau yang seumpama. Amat merugikan.

Tapi aku ingin tambah satu lagi. Dengan bermain benda-benda seumpama itu, anda sudah jadi pembunuh. Aku tak maksudkan nyawa yang melayang dek bermain meriam buluh atau mercun -- itu memang tak dinafikan. Apa yang aku maksudkan di sini ialah roh Syawal yang kalian bunuh.

Syawal disambut dengan takbir dan tahmid. Bukannya letupan meriam, mercun dan adik-beradik mereka. Tiadalah diperolehi pahala-pahala sunat jika itu yang dilakukannya di malam raya. Masa bertakbir pun singkat -- sampai habis solat sunat eid sahaja.

Bukan susah pun bertakbir. Tapi bila aktiviti yang tidak berfaedah, malah menjadi sebab pembaziran dan membahayakan nyawa pula yang dilaksana, rugilah orang yang dalam Ramadannya, dia setia kepada Tuhannya.

Dan pabila Syawal menjelang, bersama syaitan iblis, mereka tertawa riang.


24 Ogos 2011

Syawal VS Ramadan



"Yeah yeah, esok raya!" Anak jiran di sebelah berteriak. Aku tersengih. Macam itulah aku dulu. Nak dekat raya punyalah bersemangat. Tapi bila Ramadan nak datang, tak hilang cebik di bibir. Tension kerana tak dapat makan di waktu siang.

Dah besar-besar ini terasa macam tak ada seri pula bila Syawal nak bertamu. Sedih pula sukar terkikis mengenangkan Ramadan yang bakal berlalu. Bukan sebab apa, tapi kerana tak sempat buat yang terbaik. Sedih, sedih, sedih; nada Upin Ipin.

Sedih juga melihat senario di Malaysia. Tak sempat sampai 1 Ramadan, sudah galak sambutan menyambut Syawal. Lagu raya dipasang. Kuih raya dibuat.

Bagi aku, benda-benda sebegini sepatutnya tidak menjadi adat atau budaya. Bayangkan, seorang tetamu sudah hadir di rumah kita, tapi kita tidak melayannya bahkan menunjuk-nunjuk persiapan untuk menyambut tetamu yang satu lagi.

Tak biadapkah begitu?

Budaya orang Arab, sambutannya terhadap Ramadan, bukan terhadap Syawal. Tak mengapalah kalau taknak ikut cara mereka sambut Syawal, tapi paling kurang, kita cuba tiru sambutan mereka pabila Ramadan menjelma. Okeh?

02 Ogos 2011

Bisur'ah!


Bisur'ah (بسرعة) secara literalnya bermakna "dengan kepantasan". Bolehlah diterjemahkan kepada "dengan pantas" atau lebih mudah: "cepatlah!".

Kita mahukan semua benda dengan cepat. Nak dapat gaji cepat, nak habis belajar cepat, nak ke suatu destinasi cepat, nak kahwin pun cepat (eh, ada pula? ^_^). Orang kata biar lambat, asal selamat. Aku sanggah. Dunia zaman sekarang, waktu sudah terasa laju. Lambat dan selamat hanya untuk orang dulu-dulu. Sekarang perlu laju dan selamat.

Namun, walau selaju mana sekalipun, jalan terbaik ialah jalan yang terpanjang dan penuh onak dan duri, kerana dugaan dan cabaran itulah yang mematangkan diri. Jangan ambil jalan pintas kerana ia bakal membawa mudarat, walaupun kamu lihat padanya terdapat seribu satu nikmat!

18 Julai 2011

Ahlan!

Siti Nur Sakura. ~__~


Ya, ahlan. Ahlan!

Ramadan akan jelang tiba lagi. Bersediakah kita untuk menyambutnya? Mari, kita tingkatkan power amal kita supaya di bulan yang diturunkan al-Quran di dalamnya, kita akan lebih power untuk membuat ibadat.

Tapi janganlah bila berlalu Ramadan, power kita pun berlalu. Kan? Jadikan bulan yang penuh berkat itu sebagai motivasi untuk menjadi lebih power dalam menjadi hamba Allah.

Jom!

03 Julai 2011

Bersih Lawannya Kotor




Aku tertawa kecil melihat gelagat politik Malaysia. Eh, tidak, aku tidak tertawakan mereka yang berkaliber, yang bagus etika dan kepemimpinannya. Aku hanya tertawa pada yang membuat lawak. Biasalah, fitrah manusia normal, kita akan tertawa bila sesuatu itu kita rasakan lucu. Sebab itulah kadang-kadang, tidak hairanlah, ada dalam kalangan kita yang (normal) tertawa sendirian. Mungkin dalam kepalanya terlintas sesuatu yang lucu. Lawak.

Dalam lucu, aku pun terasa pelik. 

Mengapalah mahu dihalang sesuatu yang tidak mendatangkan mudarat? Ya, kamu tahu apa yang aku cakapkan ini. Orang mahu berhimpun secara aman, biarlah mereka. Ini tidak, sampai orang memakai baju kuning pun wajib ditahan! 

(Habislah aku, baju hadiah tunang hari itu berwarna kuning! Ha ha.)

Aku rasa kerajaan Malaysia sekarang sudah terlalu fobia. Aku pun tidak faham. Sampai sudah ke tahap tuduh-menuduh tahap integriti peribadi orang. 

Ketahuilah, tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah tidak lain hanya akan memecahkan kaum. Aku dengar dulu mereka yang bersungguh-sungguh nak menyatukan kaum. Atau sekarang adakah mereka sudah menarik balik laungan mereka itu?

Retorik!

Dari kita asyik mengata orang, yang kita tidak tahu mana benarnya, lebih baik diam. Kasihanlah pada diri kita, tambah dosa pula. Kan?

22 Jun 2011

Mahu Berjaya!








Kemaskini: wallpaper di atas boleh didapatkan di laman web iluvislam.com.

SIAPA MAHU?

Siapa tak mahu berjaya? Semua mahu berjaya. Yang kecil, yang besar, semuanya mahu kejayaan. Hatta ayam di reban pun mahu berjaya. Tak percaya?


BERJAYA UNTUK APA?

Sebagai seekor haiwan, seekor ayam tentulah mahu berjaya untuk makan. Kejayaan seekor ayam mendapatkan seekor cacing didorong oleh nafsunya untuk makan. Malah, berkat kesungguhannya, seekor ayam juga mampu mendapatkan seekor ulat daun yang gebu.

Sebagai sebaik-baik kejadian, kita, manusia, tentulah mahu berjaya. Berjaya apa? 

Berjaya dapatkan keputusan cemerlang, berjaya dapatkan lesen menunggang motorsikal atau memandu kereta, berjaya dalam perniagaan, berjaya kahwin (^___^), dan macam-macam lagilah kejayaan yang manusia mahu kecapi.


DORONGAN KEJAYAAN

Si ayam dalam analogi di atas didorong oleh nafsu untuk berjaya. Berbeza dengan manusia, dorongan yang dimiliki oleh setiap orang adalah berbeza. 

Sebagai contoh, Abu dan Ali akan menduduki peperiksaan yang sama, di sekolah yang sama. Tetapi yang membezakan mereka ialah dorongan. Abu didorong oleh janji ayahnya yang mahu membelikan iPad 2.0 jika dia dapat keputusan cemerlang, manakala Ali didorong oleh keazamannya mengubah keadaan hidup keluarganya yang miskin.

Namun bagi kita umat Islam, adalah selayaknya dorongan kita itu pertama-tamanya Allah dan Rasul-Nya. Kerana kita diam di dunia ini kerana Allah. Allah ciptakan kita untuk kita mengabdikan diri kepada-Nya. Allah memberikan kita segalanya yang kita kecapi sehingga sekarang.

Maka, kejayaan yang didorong rasa syukur atas kurniaan Allah itulah yang lebih utama.

07 Jun 2011

Pertunangan Itu Tiket

Gambar sekadar hiasan juga hehehe.


TIKET KE MANA?

Ada manusia yang kurang reti bahasa, tidak faham apa itu pertunangan. Mereka anggap selepas bertunang, boleh angkut pasangan ke sana sini, pegang sana sini, sentuh sana sini. Oh, amat salah persepsi mereka tentang pertunangan itu! 

Bertunang bukannya tiket untuk buat begitu. Kalau buat juga jadi maksiatlah. Maksiat ini dosa. Nak elak dari dapat dosa, usah buat benda sebegitu. Kalau nak buat juga, nikahlah dulu!


TIKET DOSA

Amat malang bila ada dalam kalangan ibu bapa yang merasakan bertunang (atau khitbah) itu 'separa kahwin'. Boleh buat apa yang orang sudah kahwin boleh buat. Malang lagi bila ada yang 'termengandung' sebelum nikah. Tak fasal-fasal dua ibu bapa dapat malu. Ha, kan?

Bertunang tak perlulah lama-lama. Bila sudah mampu, teruskan niat suci dengan bernikah. Anda tanya, kalau tak mampu? Aku jawab, yang kau menggatal nak bertunang tu apa fasal? Hehe.


NAK TUNANG ATAU TIDAK?

Terpulanglah. Tapi anda kena ingat, pertunangan belum menghalalkan hubungan antara lelaki dan perempuan. Pertunangan tidak menjadikan anda valid berpegangan tangan, berdua-duaan. Masyarakat kita sudah cukup tercemar dengan golongan Islam yang tidak mahukan Islam. Janganlah anda turut sama jadi pencemarnya.

Kalau sudah tidak tahan, nak berdua-duaan juga, nikahlah terus. Itu lebih baik.



"Amalkan Islam sepenuhnya. Anda mampu mengubahnya."

02 Jun 2011

Aku Anak Polis

Gambar sekadar hiasan. Hohoho.


ANAK POLIS?

Aku bukan lagi anak seorang pegawai polis. Correzione, aku anak seorang bekas pegawai polis. Bekas sarjan setepatnya. Dan selayaknya kehidupan aku sejak kecil amat ketat dan sendat. Jangan fikir aku berpakaian sebegitu, tidak. Abah memang menitikberatkan soal agama dalam kehidupan seharian. Anak polislah katakan.

Aku tabik pada Abah. Dia bukanlah orang yang berpelajaran agama. Sekolah rendah dulu pun pakai seluar pendek, katanya. Sekolah kerajaan, biasalah begitu. Abah pernah ceritakan, semasa kecil, dia ada hajat mahu sambung pelajaran di sekolah agama berasrama penuh. Sekolah Izzuddin di Ipoh. Tapi dek kesesakan ekonomi keluarga, hajatnya terkubur begitu sahaja.

Tapi selepas Abah kahwin, Abah korek semula hajat itu, mula menyemai benihnya dan disuburkan pada anak-anaknya. Dengan izin Allah, kami empat orang adik-beradik semuanya telah dihantar ke sekolah-sekolah agama dan berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang agama. Kedua-dua adik aku produk tadika Islam PASTI; Khalis sekarang di darjah enam Sekolah Rendah Al-Munir; Zaim di Maahad Mizan. Abang sulung aku Zarkasyi pernah berada di Maahad Al-Islah, tapi telah berubah angin mengambil bidang sains tulen.

Abang aku yang seorang itu sahaja yang lebih berminat dalam bidang profesional.


POLIS BENCI POLIS

Abah seorang yang tegas dan berpendirian. Dia bersara awal. Alasannya, tidak tahan dengan dosa. Katanya, tidak boleh tidak, rasuah mesti ada dalam polis. Tentu ada. Dia sudah tidak suka dijadikan alat kerajaan. Diperalatkan untuk menyelamatkan mereka yang punya kepentingan. Asalkan ada fulus, semua beres. Asalkan ada fulus, mata ditutup. Mereka yang tidak ada, nasiblah. Kata polis, "Tegas, Adil, dan Berhemah". Benarkah begitu, atau adakah mereka sekadar melepas batuk di tangga?

Abah kata dia suka tonton cerita-cerita polis asalkan bukan cerita polis Malaysia. Sebabnya? Polis Malaysia selalunya ceritanya diarah oleh Yusuf Haslam. Cerita Yusuf Haslam polisnya semua baik-baik. Tak ada pun yang korup. Ceritanya langsung tidak menggambarkan realiti sebenar dalam polis. 

Biasalah, cerita Melayu. Tipikal!


SALAHKAH KERJA POLIS?

Salah? Tidaklah, mana salah. Aku tak kisah kalau kamu nak jadi polis. Jadilah. Buatlah apa kamu nak buat. Kemudian kamu tanya - what's the catch? Aku jawab, there is no catch

Kau nak jadi polis kau tanggunglah apa yang kau kena tanggung, jangan bebankan tanggungan tu pada orang lain. Kau dapat pahala sebab tolong orang, alhamdulillah, pahalanya insya-Allah akan berganda. Kau dapat dosa sebab makan duit rasuah, kau sendirilah yang tanggung dosa tersebut. Jangan pandai-pandai nak tarik aku masuk ke dalam dosa kau itu ya. 

Dan kalau kau pegawai polis mahu belanja aku makan, tak usahlah. Baik aku saja yang belanja kau. Insya-Allah halalan toyyiba. =)


25 Mei 2011

Jangan Lepas!

Percubaan mengasah kembali kebolehan melukis, manalah tahu entah-entah sebab dah lama tak sentuh pensel untuk melukis, jadi kekok.

Malam ini terasa hilang semangat mahu semak kertas murid kerana sedap dan asyik bila bermain Photoshop. Huhu.


Peperiksaan Itu Bosan...

...bagi guru-guru. Mengapa? Sebab masuk dalam bilik darjah bukan boleh berkomunikasi sangat pun dengan murid-murid.

Bila masuk, edarkan kertas soalan, semak kertas soalan kelas sendiri, layan murid-murid yang gatal-gatal mengangkat tangan bertanyakan soalan yang agak kurang relevan, duduk semula, sambung semak kertas soalan - dan bila habis masa, keluar kelas, masuk kembali ke bilik guru, dan sambung lagi semak kertas soalan. Bila giliran tiba, keluar kembali dan masuk ke bilik darjah yang lain (atau yang sama, tapi berlainan mata pelajaran). Proses ini berulang-ulang sebanyak dua kali setiap hari dalam minggu ini.

Betul-betul bosan.

Aku sekarang sedang bergelut dengan enam set kertas peperiksaan dari enam kelas yang aku ajar. Perlu usaha dan habiskan minggu ini juga jika mahu menikmati masa cuti sekolah dua minggu dengan sepuasnya. Sebenarnya ada agenda besar dalam musim cuti ini. Mungkin sebab itu aku terasa lebih bersemangat mahu habiskan semakan kertas peperiksaan secepat mungkin. Sebab selalunya, beberapa hari sebelum deadline key-in markah, baharu aku mahu semak kertas. Haha! Pemalas sebenarnya kau ini, Han Ri!

Oh, sudahkah dinyatakan aku dilantik jadi AJK Pemuda Pas Kawasan Teluk Intan? Bebanan bertambah, nampak gayanya. Masa untuk mengemaskini masa supaya tidak tertinggal dan sentiasa terkehadapan. Lagi-lagilah Lajnah ICT merangkap Lajnah Penerangan dan Dakwah. Perlu sentiasa memenangi isu - satu perkara yang lazimnya jadi kelemahan aku. Haish!

Apa pun, aku minta maaf kalau-kalaulah ada pembaca blog ini yang berasa tidak senang dengan coretan kali ini. Lebih kepada luahan kepada kalian (sebab banyak sangat perkara yang berlaku dalam otak, hehe).

Masa pun kurang untuk berblog kebelakangan ini. Alasannya? Memang banyak yang relevan untuk aku jadikan alasan, tapi cukuplah sekadar aku katakan aku tidak sempat. Fikiran pun sedang pening kerana telah terlajak kata mahu hadiahi 10 orang terbaik dalam setiap enam kelas yang aku ajar. 6 kelas x 10 orang = 60 hadiah!

Hahaha, terbaikkk!



27 Februari 2011

Testi Baharu!

Dapatkan di http://testi.iluvislam.com

Lama. Sungguh lama tidak hantar testi. Tapi malam ini terasa bersemangat pula selepas mendapat idea di kenduri kahwin rakan lama SR Al-Munir petang tadi.


p/s: Alamak, kertas soalan Ujian Penilaian I belum aku siapkan lagi! Tarikh akhir adalah pada hari Selasa ini. Habislah kena marah dengan Teacher Raihan kali ini (lagi-lagi bila beliau sekarang sudah jadi ibu, huhu).


25 Februari 2011

DYS #18: Aurat


Desainer Yang Sibuk - Redesign!

Sudah bertukar. Mahu berubah, katanya.

Desain watak utama DYS akan ditukar secara mendadak. Lebih mudah melukis lelaki berkopiah dari yang berambut entah apa-apa, hehe. Idea siapalah ya pada mulanya tu? Dan ia pun akan jadi lebih... er... kurus (berazam ni, hehe!)

Insya-Allah saya akan cuba mengemaskini blog dengan lebih kerap. Mungkin juga akan bertukar menjadi seakan-akan diari.

p/s: Oh, tidak, saya tidak akan menjadikan tempat umum ini sebagai diari saya. Lagipun, saya tidak mempunyai diari!

11 Februari 2011

Badar 2142: Redesign



Tangan terketar-ketar usai siap lukisan di atas. Lama tak melukis, begitulah jadinya.

Apapun, karakter Badar 2142 di atas telah diperbaharui desainnya. Sebenarnya perubahan lebih banyak dilaksanakan kepada watak protagonis kedua kisah ini yang dahulunya dilukis berniqab.

Bila akan siap komik ini? Entahlah, saya tidak berhajat pun hendak memulakannya.

Mengapa, anda tanya?

Sebab bila sudah mula melukis, sukar untuk saya berhenti. Mula melukis, inking, scanning, editing karakter-karakter di atas pun memakan masa empat jam (ya, empat jam!), apatah lagi andai dilukis komiknya. Nampaknya sukar juga mahu cari semangat untuk melukis sebegini.

Duhai hati, bersemangatlah kamu!