The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

27 November 2009

Entri Di Hening Aidiladha

Saya tidak bercadang menulis entri ringkas ini pada mulanya. Ia tercetus secara tiba-tiba. Ia juga tidak bertujuan untuk mengherdik mana-mana pihak. Ia cetusan hati. Dari hati turun ke hati hendaknya.

Pembelajaran dan Pengajaran Dalam Komik

Ini sesuatu yang baharu. Ya, siapa sangka, komik dapat memberi faedah dan mengajar orang yang membaca dan menilainya dengan baik. Tak percaya?

Manusia suka berhibur. Komik adalah hiburan. Maka, jika dibandingkan buku sejarah yang mempunyai banyak ilustrasi dan gambar dengan buku komik yang (sudah tentu) mempunyai banyak ilustrasi dan gambar, yang manakah akan lebih dipilih? Melainkan jika anda seorang calon SPM dan esok/lusa ialah masa untuk peperiksaan mata pelajaran tersebut, semestinya anda tidak memilih komik! What the heck, kan?

Pembelajaran melalui komik ialah sesuatu yang agak komplikated untuk dilaksanakan kerana si pelukis perlu mencari ilham yang padanya terdapat nilai-nilai ilmiah yang dapat dipelajari pembaca, sama ada dari sudut keagamaan, kerohanian, sosial, politik, dan lain-lain. Ia sama sekali berbeza dengan komik-komik yang hanya memaparkan isi yang lucu (atau lawak bodoh) dan tiada pengisian melainkan membuat si pembaca ketawa berdekah-dekah.

Alangkah baiknya jika komik-komik yang dilukis oleh orang Melayu (yang majoritinya Muslim) diimplementasikan padanya nilai-nilai Islam supaya sasaran pembaca (yang selalunya kanak-kanak) dapat dididik dengan cara yang lebih kreatif.

Penggunaan Bahasa dan Pemilihan Perkataan

Sejak saya kecil hingga sekarang, ada sahaja perkataan yang ditebalkan (bold) di dalam kebanyakan komik. Bukannya ingin saya salahkan sesiapa. Tidak. Cuma, bagi saya, ketepuan bahasa pasar yang digunakan mampu menyebabkan masyarakat menjadi dungu dan tidak tahu berbahasa dengan pertuturan yang elok. Ia juga menyebabkan pencapaian pelajar di dalam bahasa Melayu tidak begitu memuaskan.

Seeloknya, elakkanlah penggunaan bahasa pasar. Tidak perlulah susah-susah pihak editor menebalkannya sebelum diterbitkan.

Dialog-dialog yang digunakan perlulah sesuai dengan sasaran pembaca. Jika ia bahan bacaan umum, tentu sekali anda tidak meletakkan unsur-unsur 18 dan ke atas di dalamnya. Jika ia sesuatu yang digunakan untuk penerangan atau pembelajaran (seperti Sains), lainlah pula halnya.

Pilihan perkataan perlu betul. Tidak perlulah menggunakan perkatan kejian dan cacian yang melampau. Dan saya sangat tidak suka jika komik-komik Islami dimasukkan kalimat-kalimat khidmat pesanan ringkas (SMS) atau sembang maya seperti skunk, aq, lebih-lebih lagi yang ditambah -er di hujungnya seperti giler, slamber, jer, suker, aper, kiter, ler, dan macam-macam lagi.


Ya, saya juga selalu menggunakan bahasa sebegini di dalam karya-karya saya. Inilah antara azam saya mulai awal tahun 1431 nanti (sebenarnya sudah dilaksanakan!), iaitu untuk tidak menggunakan bahasa pasar di dalam apa-apa lukisan yang akan diterbitkan di mana-mana media. Bahasa Melayu Tinggi 100%.

Konklusi

Mengajar pembaca melalui komik bukanlah susah. Cuba-cubalah sematkan sesuatu yang bermanfaat. Sesuatu yang ilmiah, tetapi tidak terlalu padat kerana bila terlalu padat dan tepu, tanpa ada unsur-unsur humor, ia tidak ubah seperti buku teks SPM. Apa yang komplikated ialah bagaimana anda mencari bahan-bahan dan isi-isi ilmiah tersebut.

Jika anda seorang pelukis yang selalu melazimi bahasa pasar, cuba-cubalah menggunakan bahasa Melayu standard (baca: standad). Pertama: ia akan memperkayakan kosa kata anda dan pembaca. Kedua: ia akan mencerdikkan masyarakat. Cintailah bahasa kita kerana, seperti dinosaur, bahasa Melayu juga mungkin akan pupus tanpa ada yang memeliharanya.



4 ulasan:

seimura berkata...

betul betul. saya setuju dgn senior. kurangkan guna bahasa pasar atau jgn gunakn langsung bahasa pasar..

Han Ri berkata...

Ini juga permintaan saya untuk majalah komik Islami Al-Fityan. Saya amat mengharapkan pihak pentadbiran Al-Fityan membaca entri ini dan membuat perubahan pada komik Al-Fityan. Saya tidak sempat melakukan revolusi bahasa.

Najwa Najihah berkata...

Saya sangat setuju!Boleh dikira dengan jari bilangan komik yang menggunakan bahasa yang sebenarnya.Saya menantikan kemunculan komik-komik yang menggunakan bahasa standard.Tidak sabar rasanya(saya ni kipas-susah-mati komik ^^)

Nabila H.... berkata...

Wah...ini perlu diletakkan satu slot 'bahasa dialog' dalam bengkel fityan nanti...harap2 orang atasan tu baca entry ini...cuma ana rasa tajuk post ini tidak menarik perhatian bagi pembuat komik...nasib baik rasa terdetik hati mengintai blog ini...

(terasa susah untuk berbahasa rasmi apabila terbiasa berbahasa pasar dalam penulisan komentar ini.)

Selamat Aidul Adha..Kullu 'am wa enta bikhair...