The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

09 Disember 2010

Kerana Manisnya Pengorbanan

Komik ini sebenarnya sudah dihos di iluvislam.com. Saja-saja mahu kongsi di sini, untuk sesiapa yang belum membacanya. Maaf atas kekurangan.

---- 1 ----

---- 2 ----

---- 3 ----

---- 4 ----

---- 5 ----

---- 6 ----

22 November 2010

Dariku Buat EA! - Dari EA! Buatku*

*Tajuk entri ini telah diculik dari blog Ruangan Thahar. >:)

Ini lukisan saya untuk EA.



Dan ini lukisan EA untuk saya.

21 November 2010

Jurnal Akhir Tahun

Tanggal 11 November 2010, jam 3.45 petang, datuk terakhir saya, Mior Ramly bin Ngah Mat Noh telah kembali ke pangkuan Ilahi. Doakan semoga beliau berada dalam golongan mereka yang soleh. Amin.

Pemergian Atuk

Sebaik sahaja selepas mesyuarat guru pada pukul 3, Mak menelefon pinta saya menjenguk Atuk yang sedang tenat di hospital. Tidak sempat mengemas buku-buku pelajaran, saya terus memecut ke hospital. Di situ, tiga orang bapa saudara saya juga Abah dan Mak telah pun berada di sekeliling katil Atuk. Keadaan Atuk tika itu sungguh memilukan. Nafasnya berombak lemah, hanya dengan bantuan alat pernafasan. Badannya kekuningan. Abah menyuruh saya ke sebelah katil Atuk membacakan lafaz syahadatain. Masanya sudah hampir, bisik Mak.

Saya merapatkan diri ke bahagian kepala Atuk, mengusap-usap kepalanya sambil menutur lembut dua kalimah syahadah ke telinga. Atuk berada dalam keadaan koma sejak dimasukkan ke hospital semalam. Tiada lagi reaksi daripadanya. Tidak ada lagi senyum tawanya yang selalu jadi penghibur semasa dia menumpang di rumah saya beberapa bulan kerana kegeringan. Walau sakit, Atuk masih mampu tersenyum.

Saya memberikan ruang untuk bapa saudara membacakan syahadatain sementara saya mengambil peluang membaca surah Yasin. Sejurus saya habis membaca Yasin, jam di tangan dikerling. Pukul 3.45 petang. Saya lihat ke arah Atuk. Dadanya masih berombak.

Beberapa minit selepas itu, seorang doktor wanita mendekati Mak dan Abah, memaklumkan bahawa Atuk sudah tiada pukul 3.45 tadi. Dadanya masih berombak kerana bantuan alat pernafasan. Tampak kesedihan pada wajah Mak, Abah dan saudara-mara yang ada di situ, namun kami menerima berita tersebut dengan penuh redha.

Abah menyuruh saya pulang ke rumah dan bersiap. Jenazah Atuk akan dihantar ke kampung dan saya perlu pergi bersama di dalam van jenazah.

Jam 5 petang saya bertolak menaiki van jenazah. Jasad Atuk yang ditutup dengan kain putih berada di sebelah. Sayu terasa di hati. Kata-katanya selalu terngiang di hati. Dia pernah berpesan jangan jadi guru kerana upah, tapi perlu ada keikhlasan untuk membentuk murid menjadi sebenar-benar hamba.

Lebih kurang pukul 6 petang, van sampai di pekarangan rumah Atuk. Bapa saudara dan sepupu sudah berada di sana untuk menyambut jenazah.

Pada malamnya, saudara-mara berpakat membaca al-Quran sejuzu' seorang. Jujur saya katakan, selepas habis sejuzu' mata saya terasa begitu berat. Amat berat sehingga saya terus terlena di sofa luar. Gigitan nyamuk langsung tidak diendah atau dirasa. Sesedarnya saya, jam sudah menunjukkan pukul 5 pagi.

Saya bingkas membersihkan diri dan bersiap. Terus mengambil satu juzu' mashaf al-Quran, saya duduk di hadapan jenazah Atuk.

Saat azan Subuh berkumandang, saya habis membaca sejuzu'. Pada waktu itu, seorang ibu saudara melihat wajah Atuk dan berkata bahawa dia seakan-akan tersenyum. Mungkin gembira kerana anak cucunya semuanya datang menjenguk, katanya.

Dalam pukul 8.30 pagi, jenazah Atuk dimandikan oleh anak-anak dan cucu-cucunya. Jenazah siap dikafankan dan dibawa ke masjid untuk solat jenazah pada pukul 9 pagi. Mak ada beritahu bahawa Atuk pernah berpesan bahawasanya dia mahu jenazahnya disolatkan oleh cucunya sendiri. Itu wasiat Atuk.

Dan permintaan Atuk itu saya tunaikan.

Kali pertama mengimami solat jenazah. Air mata yang tertahan sebelum ini berguguran akhirnya saat doa selepas solat jenazah dibaca. Entah mengapa. Mungkin memori bersama Atuk sedari kecil hingga sekarang tiba-tiba datang mengetuk nubari. Biarlah. Mudah-mudahan Allah memperkenankan doa kami, amin ya Rabb.

Jenazah Atuk selamat disemadikan jam 10 pagi.

Allahummaghfirlahu warhamhu wa 'aafihi wa'fu 'anhu.

---

Majalah Sekolah

Saya dipertanggungjawabkan untuk menyiapkan majalah Sekolah Rendah Al-Munir. Buat julung-julung kalinya. Nampaknya musim cuti kali ini, tak sempatlah saya hendak bersiar-siar sangat. Menjelang awal tahun hadapan, ia perlu sudah sedia untuk dijual kepada pelajar. Masa sekolah bekerja, masa cuti sekolah pun bekerja. Tak mengapalah, saya tak terasa keberatan. Mengapa?

Sebab saya suka kerja yang berkaitan dengan komputer macam ni. Minat = tiada tekanan.

---

Kemalangan

Pagi Eiduladha yang tenang, saya berjalan perlahan menuju ke surau untuk mendirikan solat Eid berjemaah. Di tepi jalan, seekor lembu ditambat. Tanpa saya sedari, tali pengikatnya dibiarkan agak panjang sehingga lembu tersebut boleh menghalang kereta yang lalu di jalan. Dengan izin Allah, saya dilanggar lembu tersebut walaupun saya telah cuba mengelak sedikit. Kepalanya tepat mengenai rusuk kanan.

Terduduk, saya lihat lembu itu mengambil langkah ke belakang dan cuba melanggar saya sekali lagi. Saya yang masih tercengang tidak sempat membuat apa-apa sebelum ia meluru sekali lagi ke arah saya. Mujurlah tali pengikatnya menjerut leher lembu tersebut. Andailah ia tidak ditambat, tentunya dua kali saya dilanggar.

Sehingga sekarang saya masih berasa sakit di bahagian rusuk kanan. Seorang rakan berseloroh, perlu cari 'rusuk kiri' cepat-cepat sekarang untuk menampung sakit. ^_^

Ada hikmah semuanya ini. Mungkin ada dosa yang saya lakukan di bawah sedar. Mungkin ini cara Allah mengingatkan saya supaya cepat-cepat insaf kerana mungkin juga saya lebih banyak lupa dari banyak ingat kepada-Nya.

Benar, manusia sering mementingkan hubungan sesama manusia daripada hubungan dengan Pencipta manusia.

19 Oktober 2010

Peperiksaan + Majalah + Komik

Gambar sekadar hiasan.

Memang sudah lama tidak mengemaskini.

- Peperiksaan akhir tahun bagi Sekolah Rendah Al-Munir sudah makin hampir. Kertas soalan untuk murid-murid juga sudah hampir siap. Bersemangat sekali kali ini, tidak tahu mengapa. Ada motivasi dari sesiapakah? Wallahua'lam.

- Majalah sekolah juga dalam proses. Khabarnya hari Khamis ini akan diadakan sesi fotografi setelah bertahun tidak dilaksanakan. Doakan segalanya berjalan lancar.

- Lagendaseni telah menyeru untuk menyambung siri Budak Bionik dalam satu komik baharu. Makin bersemangat nampaknya. Doakan juga segalanya berjalan lancar.

19 September 2010

Raya Kita, Raya Mereka

Klik untuk imej yang lebih jelas.
Khas sempena Syawal ini.
(Maaf sebab lewat, banyak beraya punya fasal, hehe!)

08 September 2010

Catatan Ramadan II

TETAMU YANG AGUNG

Entah. Saya merasa sayu setiap kali Ramadan mahu meninggalkan umat manusia. Manis, terlalu manis pengalaman berada di bulan Ramadan, lebih-lebih lagi semasa di Mesir. Sesiapa yang pernah merasai bulan Ramadan di Mesir pasti akan berkata: Ramadan di sana dengan di sini (Malaysia) amat berbeza!

Ya, saya akui.

Entah. Saya tidak faham mengapa di sini terlalu banyak keterarahan masyarakatnya pada hari raya. Iklan-iklan di kaca televisyen (termasuk yang menimbulkan kontroversi itu) tak sudah-sudah melaungkan tentang apa yang akan dilakukan di bulan Syawal. Tak hirau langsung pada Ramadan. Langsung tidak hormat pada tetamu agung ini!

Abah kata, "melantak saja 24 jam!". Setiap hari ada saja rancangan-rancangan tentang makanan yang sedap-sedap, tentang bazar-bazar Ramadan. Hairannya, tidak ada pula rancangan-rancangan yang menggalakkan membuat lebih banyak amal di madrasah Ramadan ini. Kalau ada pun (yang saya dapat lihat - tazkirah pendek Bank Muamalat di TV9, kalau tak silap), amat ringkas dan sekejap.

Menuntut ilmu itu wajib. Tazkirah juga salah satu medium menuntut ilmu. Malang sekali majoriti masyarakat kita lebih utamakan nafsu duniawi daripada ilmu ukhrawi, padahal Nabi kita dah berpesan, sesiapa mahukan dunia atau akhirat atau kedua-duanya, perlulah dengan ilmu. Tak hairanlah bila pesan Nabi pun tak dihirau, banyak maksiat tidak dapat dibendung.


RUMAH TERBUKA: PERTAMA DAN TERAKHIR

Saya tidak dapat menafikan kenangan menjayakan rumah terbuka Aidilfitri di Mesir tahun lepas. Ia adalah yang pertama dan terakhir. Hampir tiga tahun berada di sana, tahun lepaslah waktu yang sesuai dibuat rumah terbuka. Bukan apa, tahun-tahun sebelumnya pun memang ada niat untuk buka rumah, tapi akibat berhadapan dengan tingkah-laku tuan rumah yang bermacam-macam (dan memeningkan), terpaksalah KIV.

Berkat kesungguhan dan ketekunan ahli bait - Megat, Tarmizi, Fakhruddin, Anas, Zuhdi, Fikri, Hamdan, dan Zulfaiz, berjaya juga dilaksanakan walau serba kekurangan. Tahun ini mereka di sana, khabarnya, ingin meneruskan lagi tradisi sedemikian. Alhamdulillah, teruskanlah. Mudah-mudahan di sana terdapat ganjaran yang berlipat kali ganda untuk kalian semua!

Preview? Atau sekadar hiasan? :)

26 Ogos 2010

Catatan Ramadan I

Sekadar melepas gian bermain Photoshop. Itukah kebenarannya?

Kepelikan. Umat Melayu memang dari mula-mula saya kenal akan surau/masjid/musolla/seumpama dengannya, sampailah sekarang, tentu sifatnya suka memeriahkan malam-malam awal Ramadan. Sehinggakan pada malam pertama tarawih tempoh hari, saya terpaksa solat di bahagian bawah dek tidak pula menyangka jemaah berkumpul untuk bertarawih sebelum Isya' lagi. Bahagian atas mampat, ditambah lagi yang mengambil tempat di beranda surau. Sungguh meriah, saya bisik.

Tiba pula malam kedua, jemaah mula susut. Kalau susut berat badan macam ini, dalam masa semalaman, tentu bagus!

Sekarang, sampai pula pertengahan Ramadan, hanya sebahagian ruang utama surau terisi. Baki mereka yang memenuhi di awal bulan hari itu, ke mana perginya, Allah saja yang tahu.

Seorang makcik pernah berkata kepada saya, solat yang sempurna itu ialah apabila setiap kali kita bersolat, kita rasai kemanisannya. Benar. Mungkin juga manusia yang tidak menjaga solatnya tidak dapat merasai kemanisan tersebut. Na'uzubillah.

Menteri Besar Perak, DS Nizar yang singgah ke surau berdekatan dengan rumah tempoh hari berpesan supaya kita tidak 'bermain kayu tiga' dengan Allah di bulan Ramadan. Masa bulan ini, bukan main kuat ibadat dilaksanakan. Tiba Syawal, Subuh entah ke mana, Zohor entah ke mana.

Beliau juga menyatakan kehairanannya mengapa manusia mengambil berat yang bersangatan pada puasa, tetapi tidak pada solat. Orang tua, orang sakit, si musafir, dan yang sewaktu, yang berpuasa, dibolehkan meninggalkan puasa (berbuka) - tetapi perlu qadha atau bayar fidyah selepasnya. Akan tetapi, orang tua, orang sakit, si musafir, dan yang sewaktu tidak dibenarkan untuk meninggalkan solat dalam keadaan bagaimana sekali pun.

Senario sebaliknya berlaku di sini. Yang diberikan kelonggaran diutamakan, yang tiada kelonggaran diabaikan. Memanglah kedua-duanya rukun Islam, tetapi solat mengatasi puasa dalam susunan rukun, bukan? Bahkan perkara yang mula-mula disoal di akhirat ialah solat - bukannya puasa.

Namun masyarakat kita tetap mengutamakan puasa. Ya, kita berpuasa, tetapi solat bagaimana?

Mari, kita muhasabah sendiri. Koreksi diri, perbetulkan hati. Andaikanlah ini Ramadan terakhir. Tentu sekali kita mahu jadikannya Ramadan terbaik!

23 Ogos 2010

Merdekakah?

Mungkin kemerdekaan daripada penjajah zahiriah sudah dicapai pada tahun 1957. Tapi dari segi fikrah, ia suatu yang mustahil untuk dikatakan sudah tercapai. Masakan tidak, pemimpin negara bersekongkol dengan seteru dalam satu selimut, tidak mahu amalkan undang-undang Islam, dan macam-macam lagilah.

Kalau kamu pening dengan kes-kes yang berlaku di sekitarmu, tanyalah kerajaan - mengapa mereka tidak melaksanakan Islam secara menyeluruh.

Islam itu penyelamat. Macam bomba yang menyelamatkan orang yang terperangkap dalam kebakaran. Kalau tidak ditelefon bomba, masakan pula orang itu boleh diselamatkan? Nah, yang dipanggil untuk misi menyelamat pula ialah si penjual ais kacang. Tak kena gaya, dua-dua temui ajal.

Tolonglah jangan pening dengan analogi ini ya. :D


01 Ogos 2010

Semangat


Orang kata semangat ini serupa biskut. Sekejap kita nampak depan mata kita, atas piring. Beberapa saat selepasnya sudah sampai ke perut. Semangat itu boleh naik, boleh turun. Boleh jadi ia melayang setinggi awanan, boleh jadi ia menjunam jauh ke dasar lautan.

Apa yang menjadi masalah ialah bagaimana ia perlu distabilkan.

Tangan sakit juga menjadi sebab lunturnya semangat.
Kita perlukan semangat untuk melakukan sesuatu kerja. Tidak bererti dengan ketiadaan semangat, kerja tidak boleh dilakukan. Tentu sekali bila semangat tiada, kualiti kerja tidak se-HD* sewaktu semangat ada. Guru yang tiada semangat akan mudah tertekan - natijahnya senang naik angin dan akhirnya murid juga menjadi mangsa. Pelukis yang tiada semangat akan mudah hilang konsentrasi untuk melukis seraya meninggalkan lukisan, yang baharu tidak sampai separa siap, begitu saja - natijahnya karya tidak dapat dihantar pada waktu yang ditetapkan. Desainer yang tiada semangat akan jadi tipis kualiti desainnya, justeru, bila dihantar kepada editor, hasilnya akan ditolak - natijahnya dia akan rasa seperti mahu berhenti kerja.

Jadi, bagaimana cara untuk menjadikan semangat terus konsisten?

Sebenarnya ini adalah salah satu penyakit hati. Bila hati tidak tenang dan bercelaru, fikiran akan ikut sama meronta, berselirat. Masalah pula banyak, hendaknya pula diselesaikan semua sekaligus kerana masa sudah singkat.

Benar, mengurus masa itu penting. Sedar atau tak, semua ini bermula dengan diri sendiri. Bila pengurusan waktu itu cekap, tentu ini semua tidak terjadi. Pastinya dengan izin Ilahi, bukan kehendak sendiri.

Jadi, bacalah al-Quran, nescaya tenanglah hati.



(Perlukah berdoa untuk dikirimkan seorang isteri agar diri ini tahu erti konsistensi? Huu...)

__________
*HD - High Definition (definisi tinggi atau kualiti tinggi)

19 Julai 2010

Anugerah

Sudahkah anda bersyukur dengan apa yang Allah anugerahkan kepada anda hari ini? Jom, kita muhasabah sama-sama setiap kali sebelum tidur. :)


Award GENG CIPAN

Anugerah ini oleh Encik Meo. Domo arigato!

26 Jun 2010

Nikmatnya Sakit, Indahnya Sihat

Hampir sebulan terlantar di rumah menguatkan lagi keazaman saya untuk menggunakan nikmat kesihatan yang baru dikurnia ini sebaik mungkin. Sakit yang datang baru-baru ini menyebabkan saya jadi seakan lumpuh dan tidak mampu membuat apa-apa kerja. Bersolat pun tidak sempurna ruku' dan sujudnya.

Benarlah, bila kita kehilangan sesuatu, baharulah kita terasa mahu menghargai dengan sebaiknya, memeluk seeratnya apa yang hilang itu. Tetapi bila ia ada di depan mata, berada dalam capaian kita, usahkan mahu menghargai, tengok pun tak hendak.

Inilah hakikatnya makhluk bergelar manusia.

Alhamdulillah sakit sudah hampir hilang. Apa yang tinggal hanyalah parut-parut dari luka yang dahulunya menyakitkan. Tak mengapa, saya tidak kisah jika berparut-parut. Lebih mudah untuk menjadi reminder atas kealpaan lalu.

Khamis ini, kerja sebagai guru akan bermula semula. Mesin ini perlu diketuk-ketuk sedikit biar boleh beroperasi sebaiknya. Benar, tugas sebagai pendidik bukan mudah - memerlukan kekuatan rohani dan jasmani. Yosh, akan berusaha menjadi pendidik yang baik!


p/s: semasa demam tempoh hari, mimpi yang dialami sebaik mengatup mata ialah diri ini menjadi Sam Fisher dan melakukan beberapa misi espionage. Hai, kuat benar penangan Splinter Cell Conviction!


18 Jun 2010

Demam

Malang sekali bagi saya, demam Piala Dunia 2010 Kembali ke Afrika tidak langsung menjangkiti saya. Normalkah saya?

Ah, peduli apa. Sekarang demam sakit kulit sudah beransur pulih dan saya bakal menemui anak-anak murid yang merindui saya (haha) di awal bulan Julai, dengan izin Allah.

Kali ini demam melukis sudah kembali. Ya. Entah mengapa tiba-tiba hari ini rasa melukis itu membuak. Mungkin kerana saya sudah bosan sakit demam. Mungkin juga demam menikmati permainan video Splinter Cell Conviction.

Lakaran  visual | Sam Fisher semasa Ubisoft mengumumkan kelahiran Splinter Cell Conviction beberapa tahun lalu. Kini, rambut beliau dipotong pendek.


Atau mungkin juga semangat saya untuk melukis sudah pulih. Mengapa? Mungkinkah sudah ada seseorang di hati? Hah, itu jawapan yang akan anda ketahui tak berapa lama lagi. Haha. Apa yang penting, jangan kecewa mendengar jawapan tersebut ya! ;)

Adakah ini komik saya? Sudah episod 13? 


03 Jun 2010

Sudah Kurus

Kegersangan idea dan ketiadaan masa untuk membuat bahan sebagai isi entri blog menyebabkan saya kurang bersemangat untuk menulis di blog.

Bukan itu sahaja. Sakit yang datang menjelma secara agak tiba-tiba ini pun boleh jadi salah satu punca blog ini ditinggalkan agak berhabuk.

Nah, fuh! Habuk hilang.

Saya sekarang dalam tempoh cuti tanpa gaji selama sebulan. Ramai anak murid yang bermesej, tidak kiralah melalui YM atau Facebook atau sistem mesej sependek-pendeknya (SMS) yang bertanyakan mengapa tidak datang. Tidak kurang juga yang mengeluh kerana tidak seronok andai tiada saya di sana.

Saya tergelak sendirian. Seronok? Saya antara guru paling garang di sana. Bagaimana boleh mereka kata seronok? Barangkali mereka seronok melihat rakan mereka yang nakal dimarahi saya. Mungkin begitu?

Mungkin juga mereka sudah mula merindui saya. Haha, perasan saja.

Menjelang minggu kedua saya terlantar di rumah kerana penyakit kulit, saya sudah semakin susut. Apa tidaknya, makan pun sehari sekali. Sudahlah sehari sekali, sekali makan pun tak sampai dua suap. Selera hilang tahap melampau.

Semalam sempat ke sekolah sekejap untuk memulangkan kamera dan laptop. Bila ada guru terlihat kelibat saya, terus dikatakan saya sudah susut. Ya, berjaya akhirnya untuk saya kurus. Harganya bukanlah mahal. Tiada wang ringgit yang perlu dikeluarkan. Hanya perlu mengerang kesakitan di rumah. Haha!

Apa yang dirunsingkan ialah sebaik saja sihat nanti, adakah saya akan kembali berisi seperti sebelum ini? Oh, harapnya tidak. Perlulah saya menjaga pemakanan. Ya, perlu.

Sehari sekali, kurang dua suap sekali makan!

13 Mei 2010

Mengapa Guru?

Sebelum menjejakkan kaki semula ke bumi Al-Munir, tempat saya menggali berlian ilmu bersama cangkul usaha, saya terasa ragu-ragu. Adakah diri ini sudah bersedia mendidik anak bangsa?

Menjadi guru bukanlah prioriti utama saya, pada mulanya. Saya mahu jadi lebih hebat daripada itu. Pernah saya berangan-angan menjadi professor atau pensyarah di universiti-universiti tempatan.

Dalam kebingungan, saya menulis surat permohonan menjadi guru sementara. Entah bila akan bersara kerana mahu menyambung pengajian.

--

Itu cerita lampau. Hampir setengah tahun menjadi guru menyebabkan saya mula mengenali siapa diri saya yang sebenar. Menjadikan saya insan yang mahu menghargai mereka yang bakal menjadi pemimpin negara. Mahu mendidik agar mereka lebih baik daripada diri saya.

Saya tidak kisah tentang gaji. Guru-guru sekolah swasta (lebih-lebih lagi guru sekolah agama) memang selalu mendapat gaji yang rendah. Entahlah, saya tidak faham dengan kerajaan Malaysia. Sibuk sahaja mengaku negara Islam, presiden OIC.

Apa yang penting ialah kesungguhan mereka untuk belajar. Saya tidak mahukan hadiah di Hari Guru kerana saya boleh bilang berapa kali saya memberi hadiah untuk guru semasa saya masih belajar (alasan sahaja, he he). Saya belum rasa layak lagi untuk mendapat hadiah sebagai guru kerana saya masih baharu dalam bidang ini.

Memberi hadiah kepada guru di Hari Guru bukanlah salah, tetapi bukanlah wajib. Jangan pula nanti ada anak-anak murid yang mencebik masam kerana ayah ibu tidak mampu membeli hadiah untuk guru-guru kesayangan mereka yang comel-comel (he he). Tidak perlu beri hadiah pun tidak mengapa, asalkan guru itu dihargai.

Ketahuilah, hanya kejayaan anak-anak muridnya di dunia dan akhirat mampu menjadi hadiah paling manis buat setiap guru.

--

Dan entah, mungkin saya akan setia menjadi guru, sampailah suatu masa yang Dia tetapkan. ;)



SELAMAT HARI GURU.

30 April 2010

Kemaskinilah!


Sebenarnya jiwa memberontak untuk mengemaskini blog ini. Malangnya, masa tidak mengizinkan. Kertas soalan perlu disunting dan dihantar esok.

Tunggulah. Ada jodoh, kita kan bertemu lagi.

30 Mac 2010

Katakan 'YA' Pada Nikah


Ya! Zul Ikhwan Zahari berbicara bab nikah. Ezzat Afiq pun sama telah berkisah. Jangan cik abang, jangan melatah. Ini entri bicara telatah. Telatah dan ragam di dalam jemaah. Maaf didahulu andainya tersalah.

Nikah. Bicara tentangnya sudah panjang lebar tercatat di dalam Kitabullah. Persoalan yang paling kerap timbul di dalam benak setiap lelaki antaranya ialah: bersediakah aku untuk menjadi suami?

Pernikahan bukanlah sekadar lafaz akad di hadapan tok kadi, diperhatikan oleh wali-wali nikah. Saya percaya ia lebih dari itu, walaupun saya masih belum bergelar 'suami'. Diakui dan terbukti, ramai yang tahu teorinya sahaja - tentang tanggungjawab suami - tetapi secara praktikal atau amalinya, mereka cakap tidak serupa bikin. Kadang-kadang mereka yang bertaraf imam - atau yang lebih tahu hukum daripada orang-orang biasa - mengabaikan tanggungjawab ini.

Dan terkadang, saya juga menepuk iman, bertanya pada diri: adakah sudah layak gelaran suami itu saya pegang?

Senario masyarakat kita, sebolehnya tidak mahu bernikah sewaktu belajar. Ibu bapa juga ramai yang berpegang dengan ideologi sedemikian. Barangkali hampir 90 peratus ibu bapa berfikiran begitu. Mereka mahu tunggu, dan tunggu hingga habis belajar.

Dari satu sudut, memanglah tidak salah menunggu untuk habis belajar. Salah satu alasan yang amat kerap dilontarkan ialah pernikahan mungkin mengganggu pembelajaran. Tanggungjawab harus dibahagikan antara masa belajar, masa persatuan (jika ada), dan masa untuk keluarga.

Tetapi jika dipandang dari sudut yang lain, jika anda, sebagai seorang ayah - atau ibu - tahu anak anda sudah berkenan pada seseorang, dan dia masih belajar di universiti contohnya, adakah anda akan:

  1. Menghalang hubungannya? Ini hanya akan membawa kepada pemberontakan. Anak-anak remaja bukannya budak-budak yang boleh dimarahi begitu sahaja. Bila begini, mulalah berlaku anak lari dari rumah, kahwin lari, atau membawa diri.Tetapi tidaklah sampai berlumba lari.

  2. Meredai hubungannya? Oh tidak! Anda sebagai orang tua kepada anak anda perlu bertanggungjawab di atas isu ini. Ia bukan sesuatu yang boleh dipandang sebelah mata. Meredai hubungan haram anak anda dengan gadis - atau pemuda - kesayangannya bererti anda telah menodai tanggungjawab yang Allah taklifkan ke atas anda!
Atau - yang sepatutnya - anda nikahkan anak anda dengan pilihan hatinya. Cara ini lebih tepat dengan anjuran Islam. Percayalah, jika anda biarkan anak anda dengan cara di atas, banyak maksiat akan berlaku. Banyak dosa yang diperoleh. Maka? Lebih baik nikahkan sahaja, selesai segala dilema, lengkap sebahagian agama!

Apa lagi? Katakan 'YA!' pada nikah.

19 Mac 2010

Projek Button Badge Pertama


Ya, alhamdulillah. Dalam diam tidak mengemaskini blog ini, saya sebenarnya  sedang sibuk memikirkan sesuatu untuk memberi kelainan kepada bekas sekolah rendah saya, Al-Munir.

Tampaknya Allah telah memberi keizinan tersebut. Syukur. Button badge yang disiapkan sendiri rekabentuknya (empat jenis rekabentuk kesemuanya) telah selamat dipos ke rumah pagi tadi. Kasihan abang Pos Laju, menekan hon tidak henti-hentian selama 15 minit, dek asyik bermain permainan video, baharulah tersedar ada sesuatu yang dikirim kepada saya hari ini.

Apapun, button badge ini hanya dijual buat warga Al-Munir. Harganya? Rahsia. :)
 
Kredit untuk Freshie, Alias Chik, dan Thahar (ketiga-tiga nama ini ialah antara designer hebat iluvislam.com).


14 Mac 2010

Tak Percaya


"Akukah ini suatu ketika dahulu? Aku sudah lain sekarang!"

Ya, sekarang ialah proses pengurusan semula bentuk badan. Maaf, tiada kemaskini terbaru. Kartun akan disiarkan seperti biasa menjelang pulihnya rakan baik saya, Encik Laptop.

Sekian.

12 Mac 2010

Epilog: 2142 (Ep. 1)


SATU

    Lelaki itu membuka mata. Perlahan. Becar. Terasa sedikit pedih di kaki tika dia cuba bangun. Dia lihat kaki kirinya berbalut. Melihat sekeliling. Dia tidak tahu di mana dia berada. Suatu tempat yang terlalu asing baginya. Bilik putih. Semuanya putih.

Dia ingin tahu apa yang telah terjadi, namun memorinya seakan telah terbeku. Dia tidak tahu bagaimana dia berada di situ.

    “Alhamdulillah awak dah bangun,” tegur satu suara. Si lelaki menoleh dan terlihat seorang perawan bertudung litup, berpakaian seolah seorang doktor, tersenyum simpul. “Sudah hampir seminggu awak koma.”

    Si lelaki terpinga-pinga. Dia tidak kenal wanita itu. “Saya...koma?”

18 Februari 2010

Barakallahu Lakuma


Nampaknya Shafareez sudah mendahului aku. Eh, aku ni sudah ada calonkah?

Orang kata hero memang selalu lambat. Apapun, aku ucapkan selamat menempuh alam perkahwinan buat rakan seperjuangan dari tahun 2001 sampai 2009 (sekarang pun masih seperjuangan, tapi tidaklah di batas ruang yang sama), semoga berbahagia sokmo bersama pasangan.

Barakallahu lakuma wa jama'a bainakuma fil khair.

---

Entri di atas ditujukan seolah-olah sedang berinteraksi dengan bakal mempelai tersebut. Jangan hairan ya jika saya tidak menggunakan 'saya' di atas. :)

15 Februari 2010

Program Jom Bersama Zunar!

Bergambar bersama Jonos dan Zunar sebelum pulang.

"Ah, serasa sudah berzaman tidak mengemaskini blog ini" ialah antara ayat yang terpapar di benak semasa ingin memulakan pengemaskinian blog ini. Jangan risau, saya bukanlah antara orang yang syok sendiri. Saya tidak mahu jadi orang seperti itu.

Baiklah, terus ke isi entri kali ini. Pada pagi 15 Februari 2010 bertempat di Markaz Pas Kawasan Teluk Intan, Padang Tembak, Zunar dan krew-krewnya telah hadir bagi memeriahkan program Jom Bersama Zunar. Anda tidak kenal Zunar?

Anda memang ketinggalan. :)

Zunar, atau Zulkiflee Anwar Haque, ialah pelukis kartun berbentuk humor satira tanah air yang telah lama terkenal. Semasa kecil, saya hanya mampu menatap kartun-kartunnya setiap pagi semasa Atuk sedang menebar roti canai. Akhbar Harakah yang lama dibuat lapik meja. Di situlah bermulanya minat saya pada karya beliau.

Kebanyakan karya Zunar memperlihatkan keadaan politik sebenar MalayISA, ops, Malaysia, yang jijik dan tiada keadilan, kezaliman kerajaan dan gambaran negara yang porak-peranda, yang dihasilkan dalam bentuk santai dan difahami semua orang yang mengikuti perkembangan politik tanah air.

Difahamkan buku-buku komik terbitan beliau ada yang telah diharamkan. Kenapa haramkan? Alasan kerajaan ialah isi komik-komik tersebut boleh meretakkan keharmonian masyarakat Malaysia dan akan mengundang bahaya kepada negara.

Ceh, cakap sahajalah mereka takut akan perkara sebenar yang berlaku di dalam kerajaan diketahui umum, khususnya masyarakat Malaysia. Memang diakui kartun dapat memberikan impak besar kepada sesebuah negara. Dengan kartun yang ringkas saja, satu negara jadi gegak gempita. Bukan setakat satu negara, malah boleh jadi satu dunia.

Lihat saja contoh di Denmark.

Mungkin kerajaan sudah sedar akan kesan besar ini. Entah-entah tidak lama lagi, orang yang boleh melukis dipotong tangannya supaya tidak bisa lagi menyebarkan luahan hati terhadap kerajaan. Hmm, inilah komunis. Semoga kita terlindung daripada fitnah manusia sebegini.

Mahu lihat gambar-gambar sekitar program? Atau anda boleh membaca laporan tentang program ini di blog Intanhijau.

04 Februari 2010

Budak Bionik (prolog, bahagian 2)






Mata anda sakit melihat imej-imej di atas? Mahu kualiti yang lebih jelas? Tatap komik ini di laman forum Alwan! ;)

20 Januari 2010

DYS #12: Gatalkah?


Sudah hampir tiada suara bila mengajar gaya ceramah tadi. Ada suara tinggi, ada suara rendah, ada nada tengking (tapi sebenarnya nak beri orang 'feel' kisah Nabi yang disampaikan), ada nada sedih.

Kerja pula maha banyak. Hampir tertekan. Mujurlah ada kucing, boleh tenangkan fikiran sedikit bila membelai-belai bulunya. Orang kata kalau hidup sendirian dan bela kucing, peratusan orang itu menjadi rosak otaknya (tidak sihat akalnya) adalah lebih rendah berbanding orang yang hidup sendirian dan tiada kucing. :)

Benarkah? Wallahua'lam.

19 Januari 2010

DYS #11: Jangan Gelak

Sudah lama tidak melukis. Tangan asyik pegang pen marker sahaja saban hari. Kaku pula rasanya bila mahu melukis semula.


11 Januari 2010

Logo Lama Yang Diperbaharukan

Al-Munir Logo
Ya, inilah dia. Logo Sekolah Rendah Al-Munir, tempat saya belajar (dahulu) dan mengajar (sekarang). Gambar-gambar panorama sekolah akan saya poskan di blog rasmi sekolah ini tidak lama lagi. Nantikanlah!

10 Januari 2010

Tribute Untuk Encik Meo188

Sekalung penghargaan kepada Encik Meo188 kerana setia menjadi pembaca setia blog saya. :)



Altair-kah Ini?

Watak utama permainan video Assassin's Creed bernama Altair. Permainan video ini pernah menimbulkan banyak kontroversi. Tak payah main jika anda tidak suka kontroversi.

Tentu anda kata contengan di bawah bukan Altair. Terpulanglah, memang tak serupa pun. Apa pun, saya akan upah Altair menghapuskan kekejaman Israel, jika dia benar-benar wujud! :)




   
   


06 Januari 2010

DYS #10: Sunyi

Wah, siri Desainer Yang Sibuk sudah mencecah 10 entri. Tahniah buat saya (ayat syok sendiri)! :D


Sejak kebelakangan ini, selalu saja menerima mesej-mesej daripada penghantar yang tidak dikenali (mungkin Celcom punya anak buah) berkenaan benda-benda 'panas'. Walaupun di situ dinyatakan sekali 'amaran: untuk 18 tahun ke atas', ternyata perbuatan ini suatu yang tidak bertanggungjawab.

Pihak Celcom sepatutnya mampu menapis mesej-mesej seperti ini daripada disebarkan. Bukan saja saya, malah saya telah banyak membaca aduan-aduan di internet berkenaan SMS yang tiada moral, yang mengajak manusia ke arah maksiat ini.

Tidak hairanlah remaja sekarang sudah mula berpakaian ketat dan jarang, kadang-kadang menampakkan apa yang tidak sepatutnya dipernampakkan - hanya kerana terbaca 'ajakan' melalui SMS!

02 Januari 2010

Hari Pertama!


Amat berat tugasan sebagai jurugambar. Tapi amat gembira hari ini. Sebab saya suka fotografi! :D


Alwan Kembali!


snapshot

Ya! Anda tidak silap melihat, saya tidak silap menaip. Forum Alwancomics.com kembali lagi. Jom sama-sama sertai. Yeah!


01 Januari 2010

Selamat Berjuang!

Saya titipkan ucapan ini khusus buat anak-anak murid saya (macam ramai saja yang menatap blog buruk ini) yang akan kembali menyambung persekolahan di awal tahun 2010.

Tidak lupa buat rakan-rakan seperjuangan di Mesir yang sedang menghadapi imtihan fasa pertama. Juga buat dua orang adik-beradik di sana yang amat bermakna buat saya, para sifu saya yang tidak mungkin lekang dari ingatan - Kak Najwa, Hisyam (dan keluarga), dan juga Zaki. Semoga kalian sentiasa dalam reda Allah dan diberi keberkatan pada benih-benih ilmu yang kalian bajai untuk disemai di tanah air kelak.

Allahumma yassir walaa tu'assir wa tammim bil khair!


Gambar di Pesta Buku Antarabangsa Kaherah lewat awal tahun 2009 
bersama si comel Aisyah Humaira' bt. Mohd Nurul Hisyam.