The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

06 Februari 2008

Sorotan Akhir dan Awal Bulan

Kartun

Melukis lagi? Benar. Sebetulnya Han Ri adalah seorang pelukis, bukan penulis. Tapi oleh kerana saya ada sedikit minat pada bidang penulisan, maka tidaklah salah seseorang itu menggelar saya penulis.

Untuk komik PMRAM yang akan diterbitkan tak lama lagi (khabarnya), saya perlu menghantar beberapa muka surat kartun untuk dimuatkan sekali. Selalunya saya tidak bingkas menyiapkan lima muka surat dalam jangka masa yang pendek. Melukis nampak enteng, tetapi jika anda selami kerjaya seorang pelukis, anda akan dapati melukis memerlukan ketekunan yang jitu.

Tetapi kerana saya ada kerja lain yang perlu disiapkan, tanpa disangka saya dapat menghabiskan beberapa muka surat kartun dalam masa dua hari lebih (tidak sampai tiga hari). Apapun, saya dapat rasakan dalam minggu-minggu mendatang, saya tidak akan dapat menumpukan sepenuhnya kepada lukisan kerana kelas-kelas tambahan akan dijalankan dan saya perlu membahagikan masa sebaiknya.

Kenapa Han Ri?

Dalam beberapa minggu lepas, ada antara rakan-rakan saya bertanya mengapa saya memilih nama pena Han Ri. Baik, mungkin sudah tiba masanya saya menerangkan setelah sekian lama tertangguh.

Han Ri bukanlah nama saya. Itu yang jelasnya. Saya sendiri pun tertanya pada awalnya, bagaimana saya mendapat nama ini. Adakah sebahagiannya adalah nama seseorang yang istimewa bagi saya dan sebahagian yang lainnya adalah nama saya sendiri? Boleh jadi ini persepsi anda.

Tidak. Han Ri sebenarnya diambil daripada nama saya dan nama ayah saya sendiri, mior kHAbir zikRI mior ahmad zaiNi. Ambil huruf-huruf yang dibesarkan (capitalized) dan susun semula. Menarik, bukan? Tapi alangkah bagusnya kalau ini adalah realitinya. Haha, gurau saja.

Jangan terkejut. Han sebenarnya adalah tajuk kartun pertama yang saya lukis setibanya saya di Mesir dan telah diterbitkan di dalam Suara Kampus Edisi Kelantan keluaran bernombor 37. Han adalah nama ringkas bagi seorang muslimah Melayu (anda boleh mentafsirkannya seiring selera anda; RaiHANa, HANim, FarHANa, atau apa saja) dan saya fikir Han boleh dijadikan watak tetap di dalam karikatur-karikatur saya dan insya-Allah menjadi model kartun muslimah remaja di zaman sekarang. Tak mustahil suatu hari nanti saya menghimpunkan semua watak tetap dalam cerita-cerita saya dan menjadikan satu cerita panjang lalu dibukukan. Ceh, angan-angan saja tu.

Beralih kepada Ri. Mudah saja. Saya rasa anda sudah dapat mengagak perkataan dua huruf ini berasal dari mana. Iya, tepat. Ia diambil dari (maaf jika penggunaan ‘dari’ dan ‘daripada’ tidak betul) nama ketiga saya, ZikRI. Senang saja, sih.

Ringkasnya, Han adalah nama watak kartun pertama saya di Mesir dan Ri pula mewakili dua huruf terakhir pada nama ketiga saya, digabungkan maka terbitlah Han Ri.

Case closed.

KELAP (Kem Latihan Penulis PMRAM) Kali ke-2 (2 dan 3 Februari 2008)

Usai program hari kedua, petang itu setibanya saya di kamar, mahu saja saya lelapkan mata yang terlalu kuyu. KELAP kali ini memuatkan sesuatu yang belum pernah saya dengari dan ketahui sebahagian besarnya, menyebabkan otak saya sukar untuk berfikir buat seketika dek masuknya maklumat-maklumat mentah yang belum diproses. Ringkasnya, bayangkan anda memasukkan beberapa biji bawang merah yang langsung tidak dikuliti lantas dimasukkan sekonyong-konyongnya ke dalam mesin pengisar. Saya jamin 90% bahawa mesin itu tidak akan berfungsi dengan baik lagi tak lama kemudian.

Cukup dengan metafora. Secara peribadi, bagi saya, program kali ini berjalan baik dan lancar walaupun ada sedikit calarnya. Tak mengapalah. Adat barnamij, tidak ada yang sempurna melainkan ada sedikit terpalit celanya.

Apapun, jauh di dasar kalbu, saya sangat berpuas hati. Banyak teori penulisan dan penerbitan diketengahkan walau dirasakan terlalu banyak pula yang masuk ke dalam benak hingga tidak mampu saya meladeni karya-karya kartun untuk disemak malam itu.

Tahniah kepada PMRAM, tahniah kepada ADABUNA. Terima kasih kepada moderator dan ahli panel yang terlibat, juga buat mentor-mentor saya, Hisyam, Zaki, dan kakanda saya, Sammaituha Najwa. Kalian menyalakan pelita semangat untuk saya terus berkarya. Tanpa kalian, kemungkinan besar saya tidak ada keyakinan untuk menulis lagi sehingga sekarang. Jazakumullahu khairan jazaa’.