The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

01 Oktober 2008

Hari Raya: Konsep Kemaafan yang Disalah-ertikan



Saya mulakan entri pendek kali ini dengan ucapan Salam Eid al-Fitri kepada semua. Dan sudah tentu ucapan selepasnya 'maaf zahir batin'. Betul?

Iya, kita digalakkan bermaafan sebagaimana yang dianjurkan baginda Nabi S.A.W: "Barangsiapa menjamin untukku satu perkara, aku jamin untuknya empat perkara. Hendaklah dia bersilaturrahmi, nescaya keluarganya akan mencintainya, diperluas baginya rezekinya, ditambah umurnya dan Allah memasukkannya ke dalam syurga yang dijanjikan-Nya." Dan di sini saya ingin timbulkan satu persoalan.

Adakah bermaafan itu perlu dikhususkan pada satu (atau dua) kali saja untuk setahun? Tibanya raya, bermaafan. Selepasnya, sambung perbalahan.

Saya lihat item ini telah menjadi adat kepada masyarakat Melayu. Ya, saya tidak pernah mahu untuk mempertikaikan bahawa bermaafan di hari raya itu sesuatu yang baik atau tidak. Anda sudah tahu jawapannya. Apa yang saya ingin ketengahkan di sini ialah konsep bermaafan di dalam Islam yang disalah-ertikan oleh kita.

Just in case anda terlupa, Islam menggalakkan umatnya bermaafan dan mendamaikan antara dua pihak yang berbalah, mudah-mudahan mereka bermaafan. Sabda Nabi:
"Mahukah kamu tahu tentang pahala yang lebih utama, dari pahala solat, puasa dan sedekah!" Para sahabat menjawab: "Sudah tentu, ya Rasulullah!" Baginda bersabda: "Mendamaikan antara dua orang yang berselisih, kerana perselisihan antara dua manusia itulah yang membawa kehancuran."

Sebetulnya, jadikanlah hari raya sebagai suatu peringatan (reminder) kepada diri yang selalu alpa, acap kali tidak dapat mengawal nafsu marah, bahawa kita sebagai Muslim perlu hidup bermaafan, bukan menjadikannya Hari Meminta Maaf. Islam itu syumul, meluas, maka jangan sempitkannya. Amatlah tidak logik menjadikan satu (atau dua) hari sahaja untuk bermaafan. Ke mana perginya lebihan 364 hari lagi?

Sama-samalah kita renungkan.