The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

27 Mac 2009

Ceritera II: Sang Kembara

Pencuci mulut yang fresh.

Hamba seorang kembara. Hamba lahir di tanah Jauhari, dan berhijrah ke tanah Perak. Hamba berguru kemudiannya di Serambi Mekah, terbang hinggap pula ke bumi Musa dan Harun. Hidup hamba penuh kelana.

Maka hamba gelarkan diri hamba: Sang Kembara.

Sebermula hikayat kembara hamba ke bumi Mansurah saat tibanya panggilan seorang perawan, memanggil hamba untuk ke sana atas tujuan yang amat besar muhimnya dan berkebetulan, safar hamba ke sana jatuh pada akhir bulan Safar.

Diambil ia dari kata "safra'" (bermakna kuning) kerna dikatakan dedaunan bertukar kuning kerana panasnya cuaca pada waktu itu (amat kontra dengan cuaca pada waktu ini). Juga dikatakan berasal ia dari kata 'sifr' atau kosong kerana kosongnya rumah-rumah Muslimin yang keluar berperang di bulan ini usai gugurnya perintah haram berperang pada tiga bulan sebelumnya.

Adapun di sana, hamba perlu memperbentangkan ilmu hamba yang terlalu sedikit ini ke atas mereka yang menyertai suatu perkumpulan yang digelarkan Bengkel Karikatur Comic's 09.

Sungguh, tidaklah hamba terus bersetuju akan pelawaan perawan itu, kerna kediaman hamba itu pun amat baru dan amat tidak kemas pada masa itu, persis kucing beranaklah adanya. Bukanlah ertinya hamba tidak menjaga kebersihan, tapi kerna perpindahan hamba dan ahli kediaman hamba yang amat tidak terjangka-jangka. Sekonyong-konyong kami dihalau dari rumah lama kami.

Abaikan hikayat rumah lama hamba. Makin mual bila teringatkannya. Adapun halnya hamba, selepas dipujuk berkali-kali, hamba bersetuju. Pada pagi 26 Februari, hamba bersama beberapa 'pengikut' berangkat menuju bumi Mansurah. Itulah kali pertama hamba ke sana selepas beberapa tahun diam di bumi Musa dan Harun.

Setiba di Mansurah, layanan mesra dihulurkan oleh penghuninya, seperti yang telah hamba andaikan. Makanan pagi disediakan seistimewa mungkin, bagaikan raja pula menapak ke sana. Sungguh, hamba hanya makhluk-Nya yang amat kerdil, tidak layak dirasa akan layanan istimewa sebegitu rupa.

Usai Zohor (dengan jamak takdim) giliran hamba memacak kata. Tidaklah hamba berkata melainkan dari ilmu yang telah Dia kurnia. Dan tiadalah ilmu yang dikurnia-Nya melainkan sedikit saja. Ribu-ribu kemaafan hamba naqalkan andai apa yang hamba sampaikan tidak mencukupi, kiranya apa yang hamba tuturkan langsung melukai hati.

Dan ketika Sang Merah hampir tenggelam, hamba dan 'pengikut' sempat rehlah seketika ke rumah saudara. Tidaklah kami punyai ikatan darah, tapi sungguh, kami adalah saudara seagama. Dimafhumkan bahawa saudara kami itu menuntut ilmu ubatan. Mereka itulah yang kami gelarkan medic, naqal dari kata medicine, yang juga naqal dari nama Ibnu Sina'.

Usai makan malam di kediaman saudara kami, dan ba'da Maghrib (juga dengan jamak takdim), kami kembali meneruskan safar, pulang ke tanah diamnya kami di bumi Musa dan Harun: Kaherah. Sehingga ketemu lagi di lain pertemuan. Semoga ukhuwah yang terbina sepanjang perjalanan berpanjangan. Ya, sehingga nyawa terpisah dari badan.

Alfu syukr dari hamba yang daif dan naif buat penghuni bumi Mansurah!

Baca: tiadalah gambar di atas itu kena-mengena dengan kata-kataan hamba di sini, melainkan ia menjadi santapan pencuci mulut usai makan tengahari. Allahu-a'lam.

24 Mac 2009

Ceritera I: Sang Hamba


Bukanlah adanya hamba di sini untuk menceritakan perihal aib sesiapa. Tidak sekali ingin membuka malu orang-orang yang berada di sisi hamba. Tidak sama sekali. Akan tetapi, biarlah hamba hikayatkan sesuatu yang bisa jadi pedoman buat semua. Termasuklah diri hamba sekali.

Adapun di kediaman hamba terdapat sebuah alatan yang padanya dialirkan air untuk membasuh dan mencuci pinggan dan mangkuk. Setahu hamba, sinki (atau singki) namanya. Mahu dijadikan cerita, oleh kerana penghuni kediaman yang sedang hamba diami tersebut jantan-jantan belaka, maka difahamilah bagaimana perangai sesetengah mereka terhadap sinki itu. Andai tidak dihantuk, takkan terngadah.

Maka mafhumlah hamba, bahawasanya mereka-mereka yang agak keras daging hatinya perlu diajarkan sesuatu. Agar tidak berlangsungan perangai mazmumah mereka. Agar semua dapat merasai nyamannya dengan salah satu tuntutan agama - kebersihan.

Arakian, diletakkanlah secebis tanda putih berdekatan sinki tersebut.

Hemat hamba, dengan cara itu, bolehlah kiranya mereka diubah. Beberapa malam berlalu, dan hamba mendapati masih ada lagi sisa-sisaan, cebis-cebisan perangai mazmumah mereka. Hamba mafhum, perangai buruk bukan mampu diubah sekelip mata. Sedang Nuh 'alaihis salam berdakwah lebih dari lima kurun, menyeru kaumnya menyembah Tuhan Pencipta langit dan bumi.

"Biarlah," bisik hati.

Hamba biarkan dahulu. Doa-doa hamba panjatkan moga-moga mereka berubah. Buat masa ini, hamba perlu menunjukkan contoh. Hamba jugalah yang perlu istiqomah melakukan apa yang hamba telah catatkan pada cebisan tanda putih tersebut.

Di sini juga hamba punyai pautan untuk tuan hamba semua melihat lagi perihal tanda putih tersebut.


16 Mac 2009

Sindrom Malas Angkat Telefon


Geram juga sehari dua ni bila ada orang yang ditelefon tidak mengangkat panggilan. Kalau selepas tu beri mesej minta maaf kerana tidak dapat mengangkat telefon, atau notis sibuk, tak mengapalah. Bila dah sampai lebih dua, tiga hari, pun tak beritahu mengapa tidak dapat mengangkat telefon, siapa tak geram?

Anda tak geram? Tak apalah. Yang penting saya geram.

Bukan apa, kita ada urusan penting. Orang tersebut sahaja yang boleh menyelesaikan urusan itu. Tak dapat tidak, perlu berhubung juga dengan si polan tadi. Lebih-lebih lagi bila dia biarkan telefon berdering lama, macam nak dengar nada dering telefonnya pula. Cis.

"Alahai, hantar SMS sajalah. Apa kes nak kecoh-kecoh?"

Andaikan orang itu tak ada kredit? Sebab tu saya telefon. Senang. Jimat masa. Jimat kredit. Baiklah, di sini saya kongsikan cara saya untuk mengelakkan orang yang ingin berurusan dengan saya terus tertunggu-tunggu. Ah, geram!

1. Jika anda sibuk (ada mesyuarat, program, dan lain-lain), dan anda enggan menutup telefon bimbit anda, pastikan anda mempunyai kredit untuk mengisyaratkan (memberi SMS) bahawa anda sibuk dan supaya dia berhubung ketika itu dengan penghantaran SMS. Tapi lebih elok jika anda meminta izin untuk keluar sekejap untuk menjawab panggilan, andai anda rasakan ia satu urusan yang agak penting.

2. Jika anda tidak mahu diganggu, sama ada anda berada di dalam mesyuarat, program, mahupun sedang tidur, sebolehnya tutuplah telefon bimbit anda dahulu. Si pemanggil, tidak dapat tidak, dengan akal yang waras, akan terpaksa mencari alternatif lain untuk berhubung dengan anda. Baca: objektif perkara ini dilakukan ialah untuk mengelakkan pemanggil tertunggu-tunggu, bukan untuk menyelesaikan urusan si pemanggil.

3. Jika (perkara 1), dan orang itu masih mencuba untuk menelefon anda, reject panggilannya secepat mungkin untuk menandakan anda sibuk.

Waktu solat, jangan lupa untuk menutup telefon bimbit anda (atau sekurang-kurangnya vibrate only) supaya tak mengganggu jemaah. Erm, sebenarnya saya ingin lagi sambung celoteh ini. Masa mencemburui, imtihan sudah menghampiri. Persediaan? Hanya Allah ketahui.

Sedang geram yang teramat ni. Anda ingin kongsi atau kritik? Silakan!

08 Mac 2009

Kelahiran Kedua

Alhamdulillah, saya rasakan ulangtahun kelahiran kali ini lebih bermakna dengan lahirnya orang baru. Eh, tak. Saya belum kahwin, masakan pula sudah beranak dua! Al-Fityan edisi kedua yang sudah lahir, bukannya bayi. Haha.

Seperti lazimnya, banyak onak dan cabaran perlu saya dan rakan-rakan krew Al-Fityan untuk menyiapkan komik ini. Alhamdulillah, berkat kerjasama semua, ia akhirnya dapat diterbitkan walau memakan masa yang agak panjang. Alhamdulillah.

Sebagai Ketua Editor, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih buat semua yang terlibat, secara langsung:
- Presiden dan Raisah PMRAM,
- Ustaz Malik dan Ustazah Mazni (Pengarah Urusan dan Timbalan Pengarah Urusan),
- Ustazah Fadhlina Yusoff (Timbalan Ketua Editor - yang selalu kena laser dengan saya =] ),
- barisan editorial (Ustaz Alias Chik, Ustaz Nasrul Lagendaseni, Ustaz Syafiq, Ustazah Basyirah, Ustazah Nihalimoh @ Kak Nik, Ustazah Azlina Idris, Ustazah Lailati Mahat, Ustazah Afzan Kassim, Ustazah Maisarah, Ustazah Atikah Rahman, dan Ustazah Suzainney Ahmad),
- Kanben (pelukis tamu),
- Freshie (juruwarna ilustrasi kulit hadapan),
- designer (Ustaz Fahmi dan Ustaz Tarmizi ex-designer =] ),
atau tidak langsung. Semoga Allah membalas jasa kalian!

Klik dan Save As untuk memuat-turun iklan bersaiz A4.

06 Mac 2009

Selangkah Lebih Dekat

One Step Closer. Linkin Park. Hehe. Tak, bukan bermaksud untuk menyanyikan lagu barat tu. Tak ada kena mengena langsung dengan lirik lagu tu. Dan tak best pun lagunya. Heavy metal. Tak apa, tak perlu dengar. Tak berdosa pun kalau tak dengar. Dengar bacaan Al-Quran lagi bagus. =]

Lebih dekat yang saya maksudkan di sini ialah lebih dekat dengan penghujung hayat. Sebagai peringatan buat diri dan rakan pembaca, tak perlu sambut sangat pun hari lahir ni. Ia satu benda yang berlaku setiap tahun. Program tahunan.

Tapi kenapa pula perlu sambut sedangkan kita semakin dekat dengan ajal?

Sesetengah orang berpendapat mereka melakukannya atas tujuan mensyukuri nikmat usia. Bukan sekadar memberi infak dalam bentuk jamuan makanan sahaja, tetapi juga bersyukur atas apa yang dikurniakan Allah selama hidup di atas muka bumi-Nya.

Saya sudah 21. Berapa tahun/bulan/hari/jam/minit/saat lagi agaknya baki umur saya ya? Apapun, terima kasih kepada yang memberikan ucapan dan tazkirah buat ulangtahun kelahiran saya. Semoga anda dirahmati Allah jua.