The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

10 Ogos 2009

Hentikan Jenayah Blog

Tulisan ini ialah respon ringkas kepada tulisan saudara Hafiz Adam.

Mungkin sudah tiba masanya untuk merungkai satu persoalan yang selalu diberikan kepada mereka yang berblog.

Amaran: baca dengan iman, bukan dengan emosi.

MENGAPA BERBLOG?

- Anda berbakat. Menulis, contohnya. Anda mengambil jalan untuk berkongsi apa yang anda tulis melalui berblog. Mungkin dengan cara ini, tulisan anda dapat diperbaiki dan dipertingkatkan lagi mutunya melalui kritikan dan komentar (atau 'penghinaan', katanya Hafiz Adam) oleh mereka yang membaca blog anda. Kiranya, paling kurang, tulisan anda memberi (jika tidak banyak, sedikit) manfaat kepada mereka yang membacanya, daripada terus terperap dalam komputer peribadi anda.

- Anda suka berborak. Anda suka memberi komentar terhadap isu-isu global atau local yang berlaku saban hari, biarpun ia tidak membawa apa-apa efek besar terhadap Islam. Anda juga lebih bersikap suka meluah perasaan kepada umum daripada menyimpannya di dalam hati. Dengan itu, oleh kerana anda tiada jalan lain yang membawa kepada resolusi sifat talkative anda ini, anda berblog.

- Anda bosan. Mungkin ini tahap atau alasan terakhir anda berblog. Kerana terlalu banyak masa yang terluang, anda berblog kerana terliur melihatkan ramai rakan anda yang berblog. Jadi, apa salahnya jika cuba-cuba berblog? Anda pun boleh show-off pada rakan-rakan sejawat, memberitahu mereka: "hei, aku sudah ada blog!" dan mengharapkan pujian manis-manis dari mulut mereka.

DAKWAH

Benar, semua maklum bahawa medium dakwah itu luas. Berblog untuk berdakwah bukanlah salah. Saya tidak menafikannya. Tapi, adakah cara anda sebagai blogger betul-betul dapat memastikan apa yang anda ingin sampaikan itu dapat sampai kepada pembaca?

TAJUK

Perkara pertama yang akan dibaca oleh orang yang melawat blog anda ialah tajuk yang anda pilih dan letakkan sebelum entri. Jika tajuk pun sudah tidak mampu menarik pembaca, tipikal dan membosankan, apatah lagi entri yang dipersembahkan, fikir pembaca.

Terkadang, tajuk pun ditulis lebih panjang daripada entri. Inilah antara ciri penulis yang tidak matang.

Tajuk perlu ringkas dan catchy. Itu yang saya pelajari daripada beberapa otai penulisan seperti saudara Zaki, Hisyam, dan Sammaituha Najwa. Tak perlulah padat sangat sampai boleh jadi satu perenggan! Ini secara tidak langsung memudahkan pembaca sekaligus menarik minat mereka untuk mengetahui apa yang anda ingin kongsikan.

ISI

Serasa saya, tidak perlulah saya menghurai panjang tentang isi. Anda sendiri tahu apa yang anda mahu tulis. Copy+paste mesej-mesej forward dari YM ke dalam entri blog ialah satu perlakuan yang keji. Ya, mungkin niat anda murni - untuk menyampaikan apa yang orang lain sampaikan.

Tapi tidakkah ia agak keterlaluan? Bayangkan orang yang sudah mendapat mesej sebegitu, daripada YM-nya, melawat blog anda dengan harapan anda dapat berikan kelainan. Nyata anda menghampakannya dengan entri copy+paste tersebut.

Ingin kongsikan mesej forward berbentuk dakwah dengan lebih berkesan, sampaikan melalui emel. Mereka yang tidak sempat baca kerana kekurangan masa lapang, paling tidak, akan membuka dan membaca emel (dan tentunya mesej forward anda). Yang sudah baca pun, mungkin boleh membacanya kembali sebagai peringatan kepada diri sambil-sambil melihat mel baru di dalam inbox.

Saya sendiri, secara peribadinya, membenci mereka yang mengambil jalan mudah sebegini. Katanya ingin berdakwah, tapi bukan dengan otak dan jari sendiri. Andai saya ketahui blog yang dibuka itu berunsur copy+paste, saya akan terus tutup tanpa memberi muka langsung.

JENAYAH BLOG

Selain copy+paste, terdapat beberapa perkara lagi yang menjadi jenayah dalam blog:

1. Type-setting
Anda ingin menyampaikan sesuatu, tentulah dengan cara yang terbaik. Andai susun atur penaipan pun tunggang-langgang, yang besar jadi kecil, koma ditukar menjadi noktah, jangan salahkan orang jika mereka tidak minat membaca blog anda. Sudahlah tulisan sampah, huruf pun berterabur. Maka lari bertempiaranlah orang sebelum membaca entri anda.

Tidak salah jika anda ingin meneruskan penulisan dan susun atur huruf yang tidak enak dipandang mata (contohnya: aKu tidaK rETi meNuliS lanGsuNG!). Tapi perlu diingat, berblog untuk membuatkan pembaca sakit-sakit matanya bukanlah satu idea yang bagus. Ia, bagi saya, tetap satu jenayah.

2. Widget
Anda suka ada kalendar di sidebar blog anda. Suka ada ikan peliharaan, bila klik ia boleh naik ke permukaan, memakan makanan yang ditabur selepas anda klik pada kotak itu. Suka ada lagu-lagu nasyid diudarakan ketika pembaca melawat blog anda. Suka bubuh itu dan ini, yang kononnya boleh mewarna-warnikan blog anda.

Kesalahan pertama, widget yang berlebihan boleh melembabkan proses loading, sekaligus membuatkan pembaca mengeluh: "lambatnya loading, baik aku berambus dari blog yang entah apa-apa ni" dan tidak lagi menghiraukan blog anda selepas itu.

Kesalahan kedua, anda mencabul hak asasi pelayar web dengan meletakkan audio yang secara automatiknya boleh dimainkan sejurus memasuki blog anda. Andaikan dia sedang mendengar audio lain, maka berlakulah pertembungan kedua-dua audio, yang semestinya menatijahkan butang X di tab yang memaparkan blog anda ditekan (bermakna blog anda sudah tidak mahu ditatap). Saranan saya, andai anda inginkan juga meletakkan audio, jangan lupa memaparkan bersama butang kawalan untuk memberhentikan (stop) audio yang diklip bersama.

3. Design
Anda suka latar berbunga, bercorak, beranimasi, ber-itu-ini. Fahami teknik penyampaian. Tidak perlu design yang terlalu bombastik. Tidak perlu ada animasi yang macam-macam. Perkara pertama yang penting dalam berblog ialah isi blog anda. Andai design blog anda A+ tapi isinya E-, apa ertinya anda berblog? Mahu menunjukkan kepada seisi dunia yang anda antara mereka yang nerd dan reti mengubahsuai HTML dan XML dengan mudah?

KONKLUSI

Tujuan anda berblog terletak di hati anda sendiri. Bagaimana anda menulis di dalam blog, terpulang kepada anda. Apa yang anda tulis sebagai entri, andalah yang tentukan.

Jangan jadikan dakwah sebagai alasan anda berblog, sedang anda seorang yang more bark than bite. Hafiz Adam menulis di dalam blognya:

Jangan gunakan perkataan dakwah sebagai penyedap hati. Jika anda gemarkan karutan, maka tuliskan perkataan "Karutan".


Andai anda baharu cuba untuk berblog, cubalah sesuatu yang memungkinkan blog anda dibaca dan mendapat tempat di hati pelawat. Lakukan sesuatu yang tidak klisé. Fikirkan sesuatu yang jarang berada di kotak fikir orang lain.

Lebih penting, hentikan jenayah blog!