The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

31 Ogos 2011

Syawal Terbunuh

Hati-hati, kome. Encik Adam sudah bengang.

Aku lihat telatah jiran sebelah. Riang ria mereka bermain bunga api. Jauh di horizon sana kelihatan pula pancutan cahaya ke langit, diikuti bunyi letupan yang tidak kurang bingitnya. Aku kerling jam tangan.

9.14 malam. 29 Ogos 2011. Malam raya. Malam Syawal. Biasalah, aku berbisik. Melayu, kalau tidak ada mercun dan bunga api, memang bukan Melayu namanya. Aku dulu pun sama, kecil-kecil dulu amat gemar bermain bunga api.

Bila sudah dewasa, aku sudah faham apa yang orang tua-tua cakap tentang duit dibakar bila beli mercun atau bunga api atau yang seumpama. Amat merugikan.

Tapi aku ingin tambah satu lagi. Dengan bermain benda-benda seumpama itu, anda sudah jadi pembunuh. Aku tak maksudkan nyawa yang melayang dek bermain meriam buluh atau mercun -- itu memang tak dinafikan. Apa yang aku maksudkan di sini ialah roh Syawal yang kalian bunuh.

Syawal disambut dengan takbir dan tahmid. Bukannya letupan meriam, mercun dan adik-beradik mereka. Tiadalah diperolehi pahala-pahala sunat jika itu yang dilakukannya di malam raya. Masa bertakbir pun singkat -- sampai habis solat sunat eid sahaja.

Bukan susah pun bertakbir. Tapi bila aktiviti yang tidak berfaedah, malah menjadi sebab pembaziran dan membahayakan nyawa pula yang dilaksana, rugilah orang yang dalam Ramadannya, dia setia kepada Tuhannya.

Dan pabila Syawal menjelang, bersama syaitan iblis, mereka tertawa riang.


24 Ogos 2011

Syawal VS Ramadan



"Yeah yeah, esok raya!" Anak jiran di sebelah berteriak. Aku tersengih. Macam itulah aku dulu. Nak dekat raya punyalah bersemangat. Tapi bila Ramadan nak datang, tak hilang cebik di bibir. Tension kerana tak dapat makan di waktu siang.

Dah besar-besar ini terasa macam tak ada seri pula bila Syawal nak bertamu. Sedih pula sukar terkikis mengenangkan Ramadan yang bakal berlalu. Bukan sebab apa, tapi kerana tak sempat buat yang terbaik. Sedih, sedih, sedih; nada Upin Ipin.

Sedih juga melihat senario di Malaysia. Tak sempat sampai 1 Ramadan, sudah galak sambutan menyambut Syawal. Lagu raya dipasang. Kuih raya dibuat.

Bagi aku, benda-benda sebegini sepatutnya tidak menjadi adat atau budaya. Bayangkan, seorang tetamu sudah hadir di rumah kita, tapi kita tidak melayannya bahkan menunjuk-nunjuk persiapan untuk menyambut tetamu yang satu lagi.

Tak biadapkah begitu?

Budaya orang Arab, sambutannya terhadap Ramadan, bukan terhadap Syawal. Tak mengapalah kalau taknak ikut cara mereka sambut Syawal, tapi paling kurang, kita cuba tiru sambutan mereka pabila Ramadan menjelma. Okeh?

02 Ogos 2011

Bisur'ah!


Bisur'ah (بسرعة) secara literalnya bermakna "dengan kepantasan". Bolehlah diterjemahkan kepada "dengan pantas" atau lebih mudah: "cepatlah!".

Kita mahukan semua benda dengan cepat. Nak dapat gaji cepat, nak habis belajar cepat, nak ke suatu destinasi cepat, nak kahwin pun cepat (eh, ada pula? ^_^). Orang kata biar lambat, asal selamat. Aku sanggah. Dunia zaman sekarang, waktu sudah terasa laju. Lambat dan selamat hanya untuk orang dulu-dulu. Sekarang perlu laju dan selamat.

Namun, walau selaju mana sekalipun, jalan terbaik ialah jalan yang terpanjang dan penuh onak dan duri, kerana dugaan dan cabaran itulah yang mematangkan diri. Jangan ambil jalan pintas kerana ia bakal membawa mudarat, walaupun kamu lihat padanya terdapat seribu satu nikmat!