The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

20 November 2007

Namanya Kehidupan (bahagian 2)

Dalam beberapa hari ini, saya tidak rasa begitu sihat. Jadual yang padat, kerja yang banyak, tambahan pula cuaca yang sejuk menyebabkan kadang-kadang otak saya jarang berfungsi seperti sediakala. Tangan saya acap kali terketar-ketar ketika memegang pensil dan pen lukisan. Untuk menumpukan sepenuh perhatian pada lukisan pun susah!

Dalam sehari dua ini juga saya seringkali mudah naik angin. Cepat bengang. Mungkin sebahagian perangai saya susah hendak dibuang begitu sahaja. Iya, bukan senang hendak jadi penyabar seperti nabi Allah Ayyub. Tetapi tiada yang mustahil dengan kuasa Allah. Mungkin ingin mengubah diri ini menjadi orang yang sabar suatu perkara yang susah. Tapi susah tidak semestinya mustahil.

Not easy and impossible are not siblings.

Begitulah. Saya sudah lama sedar, begitulah kehidupan. Tiada ranjau, tiada mehnah, maka kehidupan seolah tiada warna. Semacam tiada garam dalam masakan, tiada gula dalam minuman. Dan dalam pada itu, ada juga yang sempat mengambil kesempatan. Saban hari kita berhadapan dengan mereka yang hanya pentingkan kepentingan diri mereka sendiri. Seakan-akan mereka ini menganggap kita sebagai "mesin untuk kepentingan diri" mereka. Bila mereka rasa ada kepentingan barulah datang mengadu masalah, minta diselesaikan. Tapi bila kita sendiri mahu berkongsi masalah, macam endah tak endah saja mereka buat. Kadang-kadang bila pertolongan dipinta, langsung tak ambil cakna. Entah, saya tak pasti nak klasifikasikan mereka ini dalam jenis makhluk Allah yang mana. Iyalah, susu dibalas tuba. Kalau dibalas air sirap, boleh tahanlah sedikit. Tapi tuba?

Wallahua'lam. Begitulah kehidupan. Mungkin ini sebahagian daripada skrip kehidupan saya yang Allah tetapkan, dan ada juga manusia lain yang tercatit sebahagian daripadanya di dalam skrip mereka. Kehidupan cuma persinggahan. Hanya sementara.

Kenapa 'sementara', sedangkan 60 tahun (purata umur manusia sekarang) merupakan jangka masa yang panjang? Senang sahaja. Bezakan '60 tahun' dan 'selama-lamanya'. Perbezaannya jelas, bukan? Seperti langit dan bumi, bahkan lebih dari itu.

Dalam ketika kita masih punya umur dan kesihatan, sama-samalah kita berpulun untuk meraih keredhaan dan rahmat-Nya. Anggap semua yang berlaku di dalam kehidupan kita ini sebagai ujian, insya-Allah kita akan tabah menghadapi segala cubaan tanpa ada keluh dan kesah. Insya-Allah kita akan mampu meneruskan perjuangan.

12 November 2007

Namanya Kehidupan

Saya rasa seperti ingin sahaja berceloteh kali ini. Insya-Allah, kalam saya kali ini tidaklah sia-sia untuk dibaca dan tidaklah dianggap merugikan masa anda yang menatapnya. Bersama-samalah kita ambil yang jernih, tinggalkan yang keruh.

Sememangnya kita tidak boleh lari dari kesalahan dan kesilapan. Kita manusia. Manusia pelupa. Kadang-kadang kerana kita terlupa, kita selalu membuat salah dan silap. Itu fitrah makhluk yang bernama manusia yang tidak maksum. Tidak perlu dijelaskan lagi kerana kita semua sudah arif tentang hal ini.

Persoalannya, adakah kita masih tahu dan maklum bahawa kita ini seorang manusia yang daif? Bahawa kita sering melakukan kesilapan sama ada sedar atau tidak? Bahawa kita tidak dapat lari dari kesalahan dan kesilapan?

“Setiap anak Adam (manusia) mempunyai salah (dosa), dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah mereka yang bertaubat.” [HR. at-Tirmidzi dan Ibnu Majah]

Seorang guru saya semasa di sekolah rendah pernah berpesan kepada saya sebelum saya meninggalkan zaman persekolahan di peringkat rendah: "Biar orang menyusahkan kita, tapi jangan sesekali kita menyusahkan orang." Saya terfikir sejenak. Kalaulah semua orang berfikiran dan bersifat sedemikian, tentu tidak ada orang yang dengki-mendengki, khianat-mengkhianati, dan benci-membenci di dunia ini.

Apa guna kawan kalau kita tak ada rasa hormat kepadanya dan dia tiada perasaan sedemikian terhadap kita? Kenapa perlu kawan jadi lawan sedangkan kita tidak boleh hidup sendirian?

Lain kali kalau ada masalah, tidak perlu lepaskan perasaan kepada kawan.

Kita perlu sedar, kita tidak boleh hidup sendirian. Islam tidak kukuh kalau semua orang bergerak atas haluan masing-masing, haluan yang berpuak-puak. Semua orang mukmin itu bersaudara, bersatu dan Allah pastinya bersama mukmin yang bersatu.

Satu sebab kenapa umat Islam masih ditindas sehingga ke hari ini ialah perpecahan. Porak-peranda. Yang itu ambil jalan itu, yang ini ambil jalan ini. Kawan jadi lawan. Di sebelah sana, lawan pula jadi kawan. Dari masa ke masa musuh Islam menambah sekutu, menambah dana. Segalanya dirancang untuk menghancurkan Islam sehingga menjadi debu yang berterbangan.

Kita yang di sini tidak pernah pula terfikir pada nasib mereka yang di sana. Hendak boikot barang yang seringgit dua pun susah, inikan pula hendak berjuang di medan perang. Percayalah, kalau kita masih ditakuk lama, kita tak akan mampu mengubah segalanya. Yang berubah hanyalah jumlah saudara kita di sana yang saban hari makin berkurangan. Saban hari dihujani peluru dan mortar. Saban detik diburu resah dan gelisah. Saban waktu berada dalam ketakutan dan kebimbangan.

Tak apalah. Anda tidak mahu membantu saudara anda, tidak mahu bersatu tenaga, silakan. Tapi anda perlu ingat. Mereka yang di sana adalah saudara anda. Mereka juga manusia. Lebih penting, agama yang anda anuti juga adalah agama mereka. Mereka mempunyai hak sebagai saudara seagama anda.

Anda mempunyai akal, jangan sia-siakannya. Anda mempunyai nyawa, jangan bazirkannya. Jadi, apa perlu anda lakukan?

Tepuk dada, tanya iman. ;)

11 November 2007

Menggunakan Emoticon di Blogger

Saya teragak-agak. Selepas saya mendirikan rumah (bukan rumahtangga :> ) di Wordpress, saya mula rasa semacam tak best saja berumah di Blogger. Teragak-agak mahu men-delete hanristudio.

Nak tau kenapa?

Salah satu kekurangan besar yang ada pada Blogger, adalah ia tidak mempunyai built-in Emoticon seperti di Wordpress. Pun begitu, mahu tak mahu, saya masih tidak ingin menghapuskan hanristudio. Banyak kenangan. ;)) Lagipun, saya dah menemui jalan untuk mengurangkan kekurangan yang terzahir di dalam sistem Blogger. Masukkan saja Emoticon ke dalamnya!

Mudah saja caranya. Anda hanya perlukan Firefox (versi 2.0 atau 1.5). Anda boleh memuat-turunnya pada pautan ini: Firefox dengan Google Toolbar.

Langkah seterusnya, anda memerlukan Greasemonkey dan skrip khusus untuk menambahkan ciri Emoticon pada posting anda.

Untuk terakhirnya, anda perlu mengubahsuai CSS pada blog anda untuk mengelakkan adanya border pada Emoticon. Cuma tambahkan di akhir CSS:


img.emoticon {

padding: 0;
margin: 0;
border: 0;
}

sebelum baris:
]]></b:skin>

Selamat mencuba! <:-P

P/S: Credits for :
wolverinex02.