The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

23 Julai 2009

Budak Bionik + Kerja Malam + Disoal


Budak Bionik

Sudah mencapai usia 2 siri (prolog bahagian 1 dan 2) tetapi masih belum masuk ke jalan ceritanya. Nak tahu kisahnya? Beli komik Al-Fityan keluaran ke-3 yang akan keluar tak lama lagi, ya! Entri selepas ini akan saya masukkan 'teaser' kartun ini.

Kerja Malam

Sudah banyak hari saya kerja malam. Persis pak polisi pula. Abah tak membenarkan anak-anaknya meniru kerjayanya sebelum ini (sebagai seorang anggota polis), jadi Abah tak perlu bimbang akan kebarangkalian saya menjadi seperti Abah walaupun saya berjaga malam. Salah satu ciri untuk menjadi polis - mata perlu tajam. Saya yang bermata empat ni?

Kerja malam bukan sebarang. Ini kerja lebih masa untuk memberi diri ruang menelaah pelajaran pada keesokan harinya. Jangan terkejut kalau terlihat encik Han Ri bermata raccoon!

Jujur saya katakan. Kerja malam memang meletihkan, lebih-lebih lagi bila kerjanya memerlukan anda menghadap skrin komputer lebih 6 jam. Bukan kerja bermain permainan komputer, tetapi bermain Photoshop - sesuatu yang mampu membuatkan anda tak terasa langsung yang Subuh sudah pun jelang tiba.

Ya, saya sudah masuk ke dalam golongan Photoshop-holic.

Disoal

Serasa saya, ini kali kedua saya disoal di dalam teksi sejak menapak kaki ke bumi Musa dan Harun. Bukan disoal siasat oleh si mata-mata, tapi disoal soalan Al-Quran oleh pemandu teksi. Mulanya, dia tanya: "Kamu orang Malaysia?"

"Ya," jawab saya, ringkas.

"Ahsanunnas!" balasnya (yang mana maksudnya: kamu - orang Malaysia - orang paling baik!) Jawapan ini selalu saja dijawab bila anda mengatakan pada orang Arab Mesir bahawa anda orang Malaysia. Mahu saja saya balas: Musa dan Harun 'alaihimassalam diutus ke Mesir. Bukankah itu meletakkan anda, rakyat Mesir, sebagai orang yang lebih ahsan dari kami, rakyat Malaysia? Tapi saya batalkan hasrat itu memandangkan dia bagai tidak putus modal berbual, bukan seperti pemandu-pemandu teksi yang lain pada kebiasaannya.

Kami tak sempat bertaaruf. Dia terus bertanyakan di mana saya belajar, dan mengenai apa yang dipelajari. Sudah tentu saya jawab Quran dan Qiraat. Dia tersenyum dan memilih untuk bertanyakan soalan Quran. Surah Tabarak (al-Mulk).

Tersenyum di dalam hati, saya memulakan bacaan hingga ke satu perdua surah. Saya terasa ingin tahu adakah si pakcik ini menghafal Al-Quran juga, atau sekadar mahu mendengar bacaan saya buat halwa telinga. Saya cuba buat-buat lupa.

"Ba'din eih?" saya mengerut dahi usai terhenti bacaan pada ayat 16. [Makna pertanyaan saya: apa (ayat) selepasnya?]

Dia dengan selamba, tanpa melepaskan matanya dari pemanduan, membaca permulaan ayat ke-17. Agak terkesima, saya menyambung kembali hingga ke akhir surah (sempat juga habiskan sebelum sampai ke destinasi).

Saya tersenyum sendiri. Mujurlah dia tak mengajukan soalan mutasyabihat atau surah yang sukar. Kalau tidak, tentunya saya tersengih sendirian sambil membuat lirik muka semanis mungkin, memujuk dan meminta supaya soalan ditukar.


Han Ri: Pernah disoal soalan sebegini oleh pemandu teksi di Malaysia? :>