The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

26 Ogos 2010

Catatan Ramadan I

Sekadar melepas gian bermain Photoshop. Itukah kebenarannya?

Kepelikan. Umat Melayu memang dari mula-mula saya kenal akan surau/masjid/musolla/seumpama dengannya, sampailah sekarang, tentu sifatnya suka memeriahkan malam-malam awal Ramadan. Sehinggakan pada malam pertama tarawih tempoh hari, saya terpaksa solat di bahagian bawah dek tidak pula menyangka jemaah berkumpul untuk bertarawih sebelum Isya' lagi. Bahagian atas mampat, ditambah lagi yang mengambil tempat di beranda surau. Sungguh meriah, saya bisik.

Tiba pula malam kedua, jemaah mula susut. Kalau susut berat badan macam ini, dalam masa semalaman, tentu bagus!

Sekarang, sampai pula pertengahan Ramadan, hanya sebahagian ruang utama surau terisi. Baki mereka yang memenuhi di awal bulan hari itu, ke mana perginya, Allah saja yang tahu.

Seorang makcik pernah berkata kepada saya, solat yang sempurna itu ialah apabila setiap kali kita bersolat, kita rasai kemanisannya. Benar. Mungkin juga manusia yang tidak menjaga solatnya tidak dapat merasai kemanisan tersebut. Na'uzubillah.

Menteri Besar Perak, DS Nizar yang singgah ke surau berdekatan dengan rumah tempoh hari berpesan supaya kita tidak 'bermain kayu tiga' dengan Allah di bulan Ramadan. Masa bulan ini, bukan main kuat ibadat dilaksanakan. Tiba Syawal, Subuh entah ke mana, Zohor entah ke mana.

Beliau juga menyatakan kehairanannya mengapa manusia mengambil berat yang bersangatan pada puasa, tetapi tidak pada solat. Orang tua, orang sakit, si musafir, dan yang sewaktu, yang berpuasa, dibolehkan meninggalkan puasa (berbuka) - tetapi perlu qadha atau bayar fidyah selepasnya. Akan tetapi, orang tua, orang sakit, si musafir, dan yang sewaktu tidak dibenarkan untuk meninggalkan solat dalam keadaan bagaimana sekali pun.

Senario sebaliknya berlaku di sini. Yang diberikan kelonggaran diutamakan, yang tiada kelonggaran diabaikan. Memanglah kedua-duanya rukun Islam, tetapi solat mengatasi puasa dalam susunan rukun, bukan? Bahkan perkara yang mula-mula disoal di akhirat ialah solat - bukannya puasa.

Namun masyarakat kita tetap mengutamakan puasa. Ya, kita berpuasa, tetapi solat bagaimana?

Mari, kita muhasabah sendiri. Koreksi diri, perbetulkan hati. Andaikanlah ini Ramadan terakhir. Tentu sekali kita mahu jadikannya Ramadan terbaik!