The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

12 November 2007

Namanya Kehidupan

Saya rasa seperti ingin sahaja berceloteh kali ini. Insya-Allah, kalam saya kali ini tidaklah sia-sia untuk dibaca dan tidaklah dianggap merugikan masa anda yang menatapnya. Bersama-samalah kita ambil yang jernih, tinggalkan yang keruh.

Sememangnya kita tidak boleh lari dari kesalahan dan kesilapan. Kita manusia. Manusia pelupa. Kadang-kadang kerana kita terlupa, kita selalu membuat salah dan silap. Itu fitrah makhluk yang bernama manusia yang tidak maksum. Tidak perlu dijelaskan lagi kerana kita semua sudah arif tentang hal ini.

Persoalannya, adakah kita masih tahu dan maklum bahawa kita ini seorang manusia yang daif? Bahawa kita sering melakukan kesilapan sama ada sedar atau tidak? Bahawa kita tidak dapat lari dari kesalahan dan kesilapan?

“Setiap anak Adam (manusia) mempunyai salah (dosa), dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah mereka yang bertaubat.” [HR. at-Tirmidzi dan Ibnu Majah]

Seorang guru saya semasa di sekolah rendah pernah berpesan kepada saya sebelum saya meninggalkan zaman persekolahan di peringkat rendah: "Biar orang menyusahkan kita, tapi jangan sesekali kita menyusahkan orang." Saya terfikir sejenak. Kalaulah semua orang berfikiran dan bersifat sedemikian, tentu tidak ada orang yang dengki-mendengki, khianat-mengkhianati, dan benci-membenci di dunia ini.

Apa guna kawan kalau kita tak ada rasa hormat kepadanya dan dia tiada perasaan sedemikian terhadap kita? Kenapa perlu kawan jadi lawan sedangkan kita tidak boleh hidup sendirian?

Lain kali kalau ada masalah, tidak perlu lepaskan perasaan kepada kawan.

Kita perlu sedar, kita tidak boleh hidup sendirian. Islam tidak kukuh kalau semua orang bergerak atas haluan masing-masing, haluan yang berpuak-puak. Semua orang mukmin itu bersaudara, bersatu dan Allah pastinya bersama mukmin yang bersatu.

Satu sebab kenapa umat Islam masih ditindas sehingga ke hari ini ialah perpecahan. Porak-peranda. Yang itu ambil jalan itu, yang ini ambil jalan ini. Kawan jadi lawan. Di sebelah sana, lawan pula jadi kawan. Dari masa ke masa musuh Islam menambah sekutu, menambah dana. Segalanya dirancang untuk menghancurkan Islam sehingga menjadi debu yang berterbangan.

Kita yang di sini tidak pernah pula terfikir pada nasib mereka yang di sana. Hendak boikot barang yang seringgit dua pun susah, inikan pula hendak berjuang di medan perang. Percayalah, kalau kita masih ditakuk lama, kita tak akan mampu mengubah segalanya. Yang berubah hanyalah jumlah saudara kita di sana yang saban hari makin berkurangan. Saban hari dihujani peluru dan mortar. Saban detik diburu resah dan gelisah. Saban waktu berada dalam ketakutan dan kebimbangan.

Tak apalah. Anda tidak mahu membantu saudara anda, tidak mahu bersatu tenaga, silakan. Tapi anda perlu ingat. Mereka yang di sana adalah saudara anda. Mereka juga manusia. Lebih penting, agama yang anda anuti juga adalah agama mereka. Mereka mempunyai hak sebagai saudara seagama anda.

Anda mempunyai akal, jangan sia-siakannya. Anda mempunyai nyawa, jangan bazirkannya. Jadi, apa perlu anda lakukan?

Tepuk dada, tanya iman. ;)