The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

31 Oktober 2011

30 Hari Seterusnya

Berdebar
Terfikir-fikir apa akan aku jadi selepas sebulan ini. Ini sebulan yang mendebarkan. Sebulan lagi untuk bersiap memikul tanggungjawab besar. Besar, besar, besar.

Peperiksaan
Hari ini peperiksaan akhir tahun Sekolah Rendah Agama Al-Munir Padang Tembak bermula. Pelajaran yang aku ajar mengambil tempat pada hari ini dan esok, jadi dalam tiga hari selebihnya pada minggu ini, aku boleh tumpukan kepada pemeriksaan kertas-kertas jawapan pelajar.

Kurang Sihat 
Kebetulan hari ini aku mula rasa tidak sedap badan. Mungkin sebab mandi hujan malam semalam. Allahussyafi, semoga sakit ini tidak menghalang aku untuk melakukan tugas hamba sehabis baik. Amin.

26 Oktober 2011

Tak Macam Nak Kahwin?

Sedang sibuk mengemaskini data Facebook Sekolah Rendah Al-Munir, aku dikejutkan dengan sapaan seorang rakan di ruang chat.

"Eh! Kau sudah nak kahwin ya?"

"Insya-Allah. Akhir November ini."

Selepas beberapa saat aku menjawab, dia pula menambah. "Tahniah, tahniah. Tapi, aku tak nampak macam kau nak kahwin saja."

Aku angkat kening. Apa maksudnya? "Tak nampak macam nak kahwin? Apa fasal?"

"Iyalah, aku tengok di Facebook tak ada pun gambar-gambar kau dengan tunang kau. Status-status 'abang-sayang' yang biasa orang yang hampir ke alam rumahtangga pun tak pernah aku lihat. Betulkah kau memang nak kahwin ni?"

"Mengapa pula? Betullah. Ini kadnya." Aku membalas sambil memberikan pautan kepada gambar kad jemputan.

"Hm, kau ini pelik."

Pelik? Tidaklah, aku tak berkelakuan pelik. Aku cuma tidak mahu hal-hal peribadi aku ditayangkan di khalayak ramai. Bak kata Abah: benda dalam kain jangan ditayang pada orang. Bukan semua hal berkenaan perasaan perlu ditayangkan, dizahirkan pada umum.

Bahkan, bagi aku, ia boleh jadi suatu yang mengaibkan. Bayangkan rakan anda melihat status gedik anda itu, kemudian menyebarluaskannya sehingga anak-anaknya dapat membacanya juga. Lebih malang bila anak-anak mereka itu murid-murid anda.

Tidakkah malu?

Dalam Islam kita diajar untuk menggunakan setiap anggota badan dengan betul. Betul pada tempatnya. Jari pun anggota badan kita, gunakanlah untuk perkara yang sejajar dengan undang-undang Allah. Bukan pakai taip saja apa yang berlari di fikiran.

Tapi aku tak balas begitu pada rakan tadi. Aku hanya jawab: "Tunang aku tak ada Facebook. Selamat dunia akhirat. Hehe."


Jemputlah datang, ya. Buat macam rumah sendiri,

12 Oktober 2011

NIKAH



Perkahwinan bukan sekadar mahu bersuka-ria semasa hari perkahwinan, bahkan ia merupakan satu pengembaraan yang perlu ditempuh bersama-sama, kelana yang penuh ranjau dan duri, demi mencapai satu matlamat -- redha Yang Esa.
Disalin dari www.facebook.com/hanrikun. 
Insya-Allah kad jemputan akan menyusul selepas entri ini. Nantikan ya.