The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

12 Mac 2008

Seputar

Begitu banyak perkara berlaku dalam seminggu ini. Hal kecil, hal besar. Di Malaysia, di Mesir. Kebanyakannya menduga iman. Tuhan, bantulah kuatkan hati hamba-Mu ini!

6 Mac 2008- "Rumah kata pergi, kubur kata mari." Begitu ungkapan yang saya pahatkan di nubari. Walau sambutan ulangtahun keputeraan saya tidak disambut semeriah semasa berada bersama keluarga, di Malaysia, terima kasih tidak terhingga mahu saya ucapkan kepada mereka yang masih mengingati saya, mengambil berat akan diri saya, dan secara tidak langsung memberi semangat kepada saya untuk terus berjuang. Buat kakanda dan adinda, ribuan terima kasih atas hadiah.
Khusus untuk ayahanda dan bonda yang telah mendidik anakanda selama 20 tahun ini, semoga Allah membalas segala jasa dengan balasan yang berlipat ganda dan menempatkan kalian bersama mereka yang berada di dalam redha-Nya. Amiin.

8 Mac 2008- Begitu ralit meneliti keputusan rasmi dan tidak rasmi pilihan raya ke-12 hinggakan sanggup tidur lewat. Alhamdulillah, rakyat Malaysia masih mampu berfikir waras. Rakyat tidak perlu takut kepada kerajaan. Kerajaan yang perlu takut pada kuasa rakyat. Rakyat hanya perlu menghormati kerajaan dan jika ada yang tidak kena dan tersimpang daripada landasan kebenaran, suarakan. Jangan berdiam diri! Kadang-kadang tertawa sendirian memerhatikan sebahagian politikus berbicara. Bukan kerana lucu, tetapi kerana apa yang mereka katakan jarang sama dengan apa yang mereka lakukan. Begitu sahih, bukan, kalam-Nya?

10 Mac 2008- Mendapat berita buruk. Tidak perlu dijelaskan. Apa yang pasti, saya dan housemate akan berpindah sekali lagi. Maaf, PERLU berpindah. Saya sudah cukup mual, sampai menyumpah seranah, dengan sikap buruk segelintir rakyat arab Mesir. Tak perlu saya cemarkan blog ini dengan cacian dan makian. Pun begitu, dalam keresahan hati untuk mencari rumah baru, alhamdulillah, laptop saya telah kembali beroperasi dengan baik. Belanja membaik pulihnya tidaklah terlalu mahal seperti yang saya jangkakan. Syukur, mungkin selepas ini saya akan dapat meneruskan karya tanpa sebarang gangguan. Tapi sebelum itu, kena cari rumah barulah nampak gayanya!


(Prebiu kartun Proto-X)