The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

16 Jun 2007

Al-Fatihah Buat Rakan Seperjuangan

Petang itu semasa saya sedang ralit bermain-main Photoshop, saya termangu seketika usai dikhabarkan seorang pelajar Al-Azhar di Mansurah telah dicederakan dengan teruk oleh rakannya yang juga seorang pelajar Al-Azhar dan sedang menjalani rawatan di hospital dauli. Saya mendapat berita tersebut daripada seorang rakan senior yang mengaji di Mansurah, yang kebetulan mengenali mangsa. Saya terfikir seketika. Betul kata abang-abang. Benar, Mesir bumi Anbiya', tapi jangan lupa, ia juga bumi Firaun, Qarun.

Keesokan harinya, saya mendapat SMS yang dihantar oleh seorang kakak di Mansurah tentang kes di sana. Khabarnya, mangsa telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 2 pagi. Saya tak terkata apa-apa, terasa sedih dan terus berkongsi mesej tersebut dengan kawan-kawan serumah. "Apa? Betul ke?" Itu antara perkataan yang keluar dari mulut mereka.

Saya tidak bisa melontarkan pendapat tentang kes tersebut. Sudah banyak berita mengenainya yang terpapar di dada-dada akhbar. Biarlah ia jadi iktibar dan pedoman buat kita. Moga-moga Allah melindungi kita semua dari malapetaka yang bisa timbul dari amarah, dengki, dan dendam yang dinyalakan syaitan laknat di dalam hati manusia.

Mangsa adalah Mohammad Ishak, berasal dari Terengganu, pelajar tahun pertama kuliah Usuluddin. Takziah buat keluarga allahyarham. Al-Fatihah.