The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

03 Jun 2010

Sudah Kurus

Kegersangan idea dan ketiadaan masa untuk membuat bahan sebagai isi entri blog menyebabkan saya kurang bersemangat untuk menulis di blog.

Bukan itu sahaja. Sakit yang datang menjelma secara agak tiba-tiba ini pun boleh jadi salah satu punca blog ini ditinggalkan agak berhabuk.

Nah, fuh! Habuk hilang.

Saya sekarang dalam tempoh cuti tanpa gaji selama sebulan. Ramai anak murid yang bermesej, tidak kiralah melalui YM atau Facebook atau sistem mesej sependek-pendeknya (SMS) yang bertanyakan mengapa tidak datang. Tidak kurang juga yang mengeluh kerana tidak seronok andai tiada saya di sana.

Saya tergelak sendirian. Seronok? Saya antara guru paling garang di sana. Bagaimana boleh mereka kata seronok? Barangkali mereka seronok melihat rakan mereka yang nakal dimarahi saya. Mungkin begitu?

Mungkin juga mereka sudah mula merindui saya. Haha, perasan saja.

Menjelang minggu kedua saya terlantar di rumah kerana penyakit kulit, saya sudah semakin susut. Apa tidaknya, makan pun sehari sekali. Sudahlah sehari sekali, sekali makan pun tak sampai dua suap. Selera hilang tahap melampau.

Semalam sempat ke sekolah sekejap untuk memulangkan kamera dan laptop. Bila ada guru terlihat kelibat saya, terus dikatakan saya sudah susut. Ya, berjaya akhirnya untuk saya kurus. Harganya bukanlah mahal. Tiada wang ringgit yang perlu dikeluarkan. Hanya perlu mengerang kesakitan di rumah. Haha!

Apa yang dirunsingkan ialah sebaik saja sihat nanti, adakah saya akan kembali berisi seperti sebelum ini? Oh, harapnya tidak. Perlulah saya menjaga pemakanan. Ya, perlu.

Sehari sekali, kurang dua suap sekali makan!