The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

13 Mei 2010

Mengapa Guru?

Sebelum menjejakkan kaki semula ke bumi Al-Munir, tempat saya menggali berlian ilmu bersama cangkul usaha, saya terasa ragu-ragu. Adakah diri ini sudah bersedia mendidik anak bangsa?

Menjadi guru bukanlah prioriti utama saya, pada mulanya. Saya mahu jadi lebih hebat daripada itu. Pernah saya berangan-angan menjadi professor atau pensyarah di universiti-universiti tempatan.

Dalam kebingungan, saya menulis surat permohonan menjadi guru sementara. Entah bila akan bersara kerana mahu menyambung pengajian.

--

Itu cerita lampau. Hampir setengah tahun menjadi guru menyebabkan saya mula mengenali siapa diri saya yang sebenar. Menjadikan saya insan yang mahu menghargai mereka yang bakal menjadi pemimpin negara. Mahu mendidik agar mereka lebih baik daripada diri saya.

Saya tidak kisah tentang gaji. Guru-guru sekolah swasta (lebih-lebih lagi guru sekolah agama) memang selalu mendapat gaji yang rendah. Entahlah, saya tidak faham dengan kerajaan Malaysia. Sibuk sahaja mengaku negara Islam, presiden OIC.

Apa yang penting ialah kesungguhan mereka untuk belajar. Saya tidak mahukan hadiah di Hari Guru kerana saya boleh bilang berapa kali saya memberi hadiah untuk guru semasa saya masih belajar (alasan sahaja, he he). Saya belum rasa layak lagi untuk mendapat hadiah sebagai guru kerana saya masih baharu dalam bidang ini.

Memberi hadiah kepada guru di Hari Guru bukanlah salah, tetapi bukanlah wajib. Jangan pula nanti ada anak-anak murid yang mencebik masam kerana ayah ibu tidak mampu membeli hadiah untuk guru-guru kesayangan mereka yang comel-comel (he he). Tidak perlu beri hadiah pun tidak mengapa, asalkan guru itu dihargai.

Ketahuilah, hanya kejayaan anak-anak muridnya di dunia dan akhirat mampu menjadi hadiah paling manis buat setiap guru.

--

Dan entah, mungkin saya akan setia menjadi guru, sampailah suatu masa yang Dia tetapkan. ;)



SELAMAT HARI GURU.