The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

06 Disember 2008

Tonsillektomi

Entah. Terasa ingin berkongsi sedikit pengalaman bersama pembaca. Pengalaman ini berlaku sekitar tahun 1999-2000. Entah, saya juga kurang ingat dengan tepat. Tapi seboleh mungkin saya akan cuba ceritakan isi-isi penting yang agak crucial. Pause dulu ya bab lukis-melukis?sengihnampakgigi

Sejak kecil saya merupakan seorang budak lelaki yang menggemari aiskrim (abaikan perisa apa yang menjadi kegemaran saya). Malangnya, apa yang saya gemari inilah yang menyebabkan saya menanggung derita.

Dan bermulalah kisah tentang tonsillitis.

Setiap kali saya menjamah aiskrim, air batu kacang (pendek kata benda-benda yang berais), tekak akan mulai terasa perit. Keadaan di bahagian bawah rahang akan mula membengkak. Masih saya ingat, jika dingangakan mulut di hadapan cermin, dua ketul daging jelas kelihatan menjadi pengapit anak tekak. Daging tersebutlah yang dinamakan tonsil. Tonsillitis ialah satu keadaan di mana tonsil tidak mampu berfungsi dengan baik dan membengkak, menyebabkan si pesakit kurang selesa untuk menelan apa-apa. Ia terbahagi kepada tiga: akut, sub-akut, dan kronik (mengikut susunan tahap rendah - tinggi). Selepas pemeriksaan di Hospital Ipoh, doktor mengesahkan bahawa saya menghidap tonsillitis kronik. Dia memberi pilihan sama ada menjalani kaedah rawatan biasa (memakan ubat-ubatan dan berpantang) atau kaedah lain yang agak memeritkan, namun efektif untuk jangka masa panjang. Walaupun agak gentar, saya bersetuju memilih kaedah kedua. Tonsillektomi.

Tonsil saya perlu dibuang.

Beberapa minggu selepas medical check-up, saya dimasukkan ke wad. Adat ditahan, saya tidak dibenarkan memakan makanan 'asing' selain yang disediakan staf hospital. Ah, nasi kosong, sup, dan sayur air sudah cukup lazat dan mengenyangkan!

Mak menemani saya pada hari pertama, menjadi teman berbual. Kami bergelak ketawa dan bergurau sakan. Saya tidak ingat apa yang diguraukan, tapi saya betul-betul terasa aman di sisi Mak. Seakan terlupa operation yang bakal dijalankan pada keesokannya. Terima kasih, Mak!

Hari yang dinantikan tiba. Oleh kerana ada tugas di Teluk Intan, Mak terpaksa balik. Abah akan menemani saya sehingga saya keluar wad. Setelah beberapa kali postpone (saya tak tahu mengapa, mungkin ada pembedahan yang belum selesai), tibalah giliran saya. Selepas menelan dua pil kecil yang tidak saya kenali (barangkali pil tidur atau bius), saya dibawa ke bilik pembedahan. Unik, saya tidak berjalan ke bilik bedah, bahkan dibaringkan di atas katil beroda dan dibawa naik ke tingkat atas melalui lif (pernah anda menggunakan lif dalam keadaan berbaring?).

Tiba di bilik bedah, beberapa jururawat pelatih datang melihat-lihat persekitaran bilik bedah, dipandu oleh seorang jururawat terlatih (saya tidak ketahuan akan hal ini - Mak yang memberitahu tentangnya sesudah saya sampai ke rumah). Saya merenung lampu bedah yang cerah di atas kepala. Beberapa minit selepas itu, suara jururawat tadi beransur sayup. Penglihatan saya mulai kabur. Lampu bedah seakan terus malap. Gelap.

...


Terasa pelik di tekak. Seakan mudah sekali untuk udara masuk menyentuh rongga. Masih gelap. Mata mulai menerima cahaya. Sedikit demi sedikit, akhirnya saya terjaga. Rasa aneh di tekak mula bertukar perit. Ketika itu juga saya sedar ada semacam alat besi yang digunakan untuk membiarkan rahang terbuka luas, memudahkan proses pembedahan. Di bahagian tepi mulut juga terasa ada dimasukkan wayar suction untuk menyedut lebihan cecair (air liur, darah, dll) seperti yang selalu dibubuh setiap kali proses pembedahan. Terasa kebas di tangan kiri. Ada wayar disambungkan pada pembuluh.

Saya kehairanan, kenapa doktor masih membiarkan saya dalam posisi sedemikian (ternganga). Saya cuba memanggil doktor, tapi hanya "aaa!" yang mampu saya tuturkan. Suara saya ketika itu masih agak perlahan. Beberapa minit selepas itu barulah kedengaran suara "oh, dah bangun?". Rahang saya dibebaskan daripada alat besi yang tidak saya ketahui namanya. Liur pertama cuba diteguk dengan 'tekak baharu', namun terasa seakan ada tulang mencucuk tekak. Perit. Pedih.

Saya dibawa masuk ke wad, separa sedar, juga dengan katil beroda. Malam itu juga saya gagahkan diri ke payphone untuk memberi khabar gembira pada Mak. Tonsil saya sudah berjaya dibuang. Kedengaran suara mak di corong sana sedikit sebak. 'Tak mengapa, mak. Angah OK', saya ucap dalam hati. Sepanjang berada di Hospital Ipoh selepas dibedah, Abah terpaksa melayan karenah saya yang bermacam. Kasihan Abah.

Untuk mempercepatkan proses pemulihan luka pada tekak (yang sebelumnya diduduki tonsil), saya perlu menjamah bahan-bahan sejuk, lembut, dan tidak berminyak.


Ya, aiskrim!

Abah menjanjikan yang setiap hari saya berpeluang memakan aiskrim. Kedengaran sungguh menarik, bukan? Malang sekali, saya berpeluang menjamah, tapi tidak mampu menikmati. Saya pulang ke Teluk Intan sehari selepas pembedahan. Doktor, sebenarnya, tidak membenarkan saya keluar disebabkan keadaan saya yang agak tidak sihat ketika itu. Saya demam panas. Namun, oleh kerana Abah menyatakan bahawa Mak seorang jururawat dan akan dapat menjaga saya dengan baik, doktor terpaksa memberikan lampu hijau. Abah bertegas tidak mahu duduk lama di hospital.

Saya menyalin pakaian. Agak sukar kerana terdapat wayar di tangan kiri. Ia kemudiannya dicabut dengan sungguh bersahaja oleh seorang jururawat. Mata mula berair menahan sakit. Kelihatan lubang yang agak besar pada bahagian belakang tapak tangan, tempat wayar tadi disambungkan. Darah meleleh. Kapas bersih diberi untuk ditekup, dilapik.

Beberapa minit kemudian, saya menapak masuk ke dalam kereta Abah. Terpaksa berbaring kerana terasa agak tidak selesa berada dalam posisi duduk. Tekak masih terasa sakit. Kerana masih lemah, saya terus tidak sedarkan diri. Tertidur. Langsung tidak sedar semasa dalam perjalanan pulang ke rumah. Apa yang saya sempat perasan, sepanjang perjalanan ke Teluk Intan, cuaca tidak baik. Hujan renyai-renyai.

Ringkaskan cerita.

Beberapa minggu pertama bersama 'tekak baharu', saya jadi agak kurus. Tidak larat makan minum kerana tekak begitu sakit. Habis kena leteran Mak dan Abah, tidak serik juga. Masih tidak mahu menjamah makanan. Sebulan selepas itu, (seingat saya, sudah hampir masuk bulan Ramadan) barulah saya mampu menelan makanan seperti sediakala. Pengesahan doktor semasa medical check-up kali kedua selepas pembedahan, yang mengatakan saya sudah pulih (namun perlu menghabiskan ubat yang diberikan), menyebabkan saya melompat keriangan.

Teringat suatu masa, sebelum bulan Ramadan, ketika mana abang saya membuat jenaka. Separuh mati saya ketawa. Tawa saya tiba-tiba terputus kerana terasa seakan ada darah di dalam mulut. Saya meludah di sinki. Ternyata, ketawa menyebabkan luka tonsillektomi berdarah kembali. Ah, teori semata-mata saja tu sengihnampakgigi. Mungkin luka tersebut belum sembuh sepenuhnya lagi. Barangkali 98.9 peratus.

Masuknya Ramadan, saya sudah mampu makan makanan pedas dan berminyak tanpa rasa pedih atau sakit. Alhamdulillah. Hadiah Ramadan daripada Allah.

Alhamdulillah, walaupun tanpa tonsil, saya dapat hidup seperti manusia normal.


"Asykuruka ya Rabb!"


P/S: Sila klik sini, sini, dan sini untuk melihat perihal tonsil.

5 ulasan:

As berkata...

owh my..sakit giler tekak bile kena tonsilitis..demam mcm orang matik je. hehe

hmm..brape bulan eh makan masa nak hilang rasa perit kat tekak lepas surgery?

Han Ri berkata...

memang sakit. nak hilang perit lebih kurang sebulan je. sebulan pun, ubat dah bertimbun kat rak paling atas dalam fridge (kat pintu).

lepas sebulan dah boleh makan macam biasa. tapi masa nak makan ubat, dalam tempoh sebulan tu, sakitnya terasa sampai telinga. God knows.

sekarang pun kadang-kadang berdarah jugak. tapi time sakit tekak je lah. time suara 'romantik'. heheh.

meo188 berkata...

wah, dugaan yang hebat.

Effy Saiful berkata...

ust ni berbakat menulis laa.. seronok baca kisah ni..hehe

saye minat kartun, tp x pandai lukis =p suke tgk je..

salam ziarah..

Han Ri berkata...

taklah. hanya sekadar berkongsi pengalaman saja. tak ada bakat pun. tapi kisah ni memang seronok sebab teringat zaman budak-budak, gembira boleh makan aiskrim :)