The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

20 November 2007

Namanya Kehidupan (bahagian 2)

Dalam beberapa hari ini, saya tidak rasa begitu sihat. Jadual yang padat, kerja yang banyak, tambahan pula cuaca yang sejuk menyebabkan kadang-kadang otak saya jarang berfungsi seperti sediakala. Tangan saya acap kali terketar-ketar ketika memegang pensil dan pen lukisan. Untuk menumpukan sepenuh perhatian pada lukisan pun susah!

Dalam sehari dua ini juga saya seringkali mudah naik angin. Cepat bengang. Mungkin sebahagian perangai saya susah hendak dibuang begitu sahaja. Iya, bukan senang hendak jadi penyabar seperti nabi Allah Ayyub. Tetapi tiada yang mustahil dengan kuasa Allah. Mungkin ingin mengubah diri ini menjadi orang yang sabar suatu perkara yang susah. Tapi susah tidak semestinya mustahil.

Not easy and impossible are not siblings.

Begitulah. Saya sudah lama sedar, begitulah kehidupan. Tiada ranjau, tiada mehnah, maka kehidupan seolah tiada warna. Semacam tiada garam dalam masakan, tiada gula dalam minuman. Dan dalam pada itu, ada juga yang sempat mengambil kesempatan. Saban hari kita berhadapan dengan mereka yang hanya pentingkan kepentingan diri mereka sendiri. Seakan-akan mereka ini menganggap kita sebagai "mesin untuk kepentingan diri" mereka. Bila mereka rasa ada kepentingan barulah datang mengadu masalah, minta diselesaikan. Tapi bila kita sendiri mahu berkongsi masalah, macam endah tak endah saja mereka buat. Kadang-kadang bila pertolongan dipinta, langsung tak ambil cakna. Entah, saya tak pasti nak klasifikasikan mereka ini dalam jenis makhluk Allah yang mana. Iyalah, susu dibalas tuba. Kalau dibalas air sirap, boleh tahanlah sedikit. Tapi tuba?

Wallahua'lam. Begitulah kehidupan. Mungkin ini sebahagian daripada skrip kehidupan saya yang Allah tetapkan, dan ada juga manusia lain yang tercatit sebahagian daripadanya di dalam skrip mereka. Kehidupan cuma persinggahan. Hanya sementara.

Kenapa 'sementara', sedangkan 60 tahun (purata umur manusia sekarang) merupakan jangka masa yang panjang? Senang sahaja. Bezakan '60 tahun' dan 'selama-lamanya'. Perbezaannya jelas, bukan? Seperti langit dan bumi, bahkan lebih dari itu.

Dalam ketika kita masih punya umur dan kesihatan, sama-samalah kita berpulun untuk meraih keredhaan dan rahmat-Nya. Anggap semua yang berlaku di dalam kehidupan kita ini sebagai ujian, insya-Allah kita akan tabah menghadapi segala cubaan tanpa ada keluh dan kesah. Insya-Allah kita akan mampu meneruskan perjuangan.