The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

21 November 2010

Jurnal Akhir Tahun

Tanggal 11 November 2010, jam 3.45 petang, datuk terakhir saya, Mior Ramly bin Ngah Mat Noh telah kembali ke pangkuan Ilahi. Doakan semoga beliau berada dalam golongan mereka yang soleh. Amin.

Pemergian Atuk

Sebaik sahaja selepas mesyuarat guru pada pukul 3, Mak menelefon pinta saya menjenguk Atuk yang sedang tenat di hospital. Tidak sempat mengemas buku-buku pelajaran, saya terus memecut ke hospital. Di situ, tiga orang bapa saudara saya juga Abah dan Mak telah pun berada di sekeliling katil Atuk. Keadaan Atuk tika itu sungguh memilukan. Nafasnya berombak lemah, hanya dengan bantuan alat pernafasan. Badannya kekuningan. Abah menyuruh saya ke sebelah katil Atuk membacakan lafaz syahadatain. Masanya sudah hampir, bisik Mak.

Saya merapatkan diri ke bahagian kepala Atuk, mengusap-usap kepalanya sambil menutur lembut dua kalimah syahadah ke telinga. Atuk berada dalam keadaan koma sejak dimasukkan ke hospital semalam. Tiada lagi reaksi daripadanya. Tidak ada lagi senyum tawanya yang selalu jadi penghibur semasa dia menumpang di rumah saya beberapa bulan kerana kegeringan. Walau sakit, Atuk masih mampu tersenyum.

Saya memberikan ruang untuk bapa saudara membacakan syahadatain sementara saya mengambil peluang membaca surah Yasin. Sejurus saya habis membaca Yasin, jam di tangan dikerling. Pukul 3.45 petang. Saya lihat ke arah Atuk. Dadanya masih berombak.

Beberapa minit selepas itu, seorang doktor wanita mendekati Mak dan Abah, memaklumkan bahawa Atuk sudah tiada pukul 3.45 tadi. Dadanya masih berombak kerana bantuan alat pernafasan. Tampak kesedihan pada wajah Mak, Abah dan saudara-mara yang ada di situ, namun kami menerima berita tersebut dengan penuh redha.

Abah menyuruh saya pulang ke rumah dan bersiap. Jenazah Atuk akan dihantar ke kampung dan saya perlu pergi bersama di dalam van jenazah.

Jam 5 petang saya bertolak menaiki van jenazah. Jasad Atuk yang ditutup dengan kain putih berada di sebelah. Sayu terasa di hati. Kata-katanya selalu terngiang di hati. Dia pernah berpesan jangan jadi guru kerana upah, tapi perlu ada keikhlasan untuk membentuk murid menjadi sebenar-benar hamba.

Lebih kurang pukul 6 petang, van sampai di pekarangan rumah Atuk. Bapa saudara dan sepupu sudah berada di sana untuk menyambut jenazah.

Pada malamnya, saudara-mara berpakat membaca al-Quran sejuzu' seorang. Jujur saya katakan, selepas habis sejuzu' mata saya terasa begitu berat. Amat berat sehingga saya terus terlena di sofa luar. Gigitan nyamuk langsung tidak diendah atau dirasa. Sesedarnya saya, jam sudah menunjukkan pukul 5 pagi.

Saya bingkas membersihkan diri dan bersiap. Terus mengambil satu juzu' mashaf al-Quran, saya duduk di hadapan jenazah Atuk.

Saat azan Subuh berkumandang, saya habis membaca sejuzu'. Pada waktu itu, seorang ibu saudara melihat wajah Atuk dan berkata bahawa dia seakan-akan tersenyum. Mungkin gembira kerana anak cucunya semuanya datang menjenguk, katanya.

Dalam pukul 8.30 pagi, jenazah Atuk dimandikan oleh anak-anak dan cucu-cucunya. Jenazah siap dikafankan dan dibawa ke masjid untuk solat jenazah pada pukul 9 pagi. Mak ada beritahu bahawa Atuk pernah berpesan bahawasanya dia mahu jenazahnya disolatkan oleh cucunya sendiri. Itu wasiat Atuk.

Dan permintaan Atuk itu saya tunaikan.

Kali pertama mengimami solat jenazah. Air mata yang tertahan sebelum ini berguguran akhirnya saat doa selepas solat jenazah dibaca. Entah mengapa. Mungkin memori bersama Atuk sedari kecil hingga sekarang tiba-tiba datang mengetuk nubari. Biarlah. Mudah-mudahan Allah memperkenankan doa kami, amin ya Rabb.

Jenazah Atuk selamat disemadikan jam 10 pagi.

Allahummaghfirlahu warhamhu wa 'aafihi wa'fu 'anhu.

---

Majalah Sekolah

Saya dipertanggungjawabkan untuk menyiapkan majalah Sekolah Rendah Al-Munir. Buat julung-julung kalinya. Nampaknya musim cuti kali ini, tak sempatlah saya hendak bersiar-siar sangat. Menjelang awal tahun hadapan, ia perlu sudah sedia untuk dijual kepada pelajar. Masa sekolah bekerja, masa cuti sekolah pun bekerja. Tak mengapalah, saya tak terasa keberatan. Mengapa?

Sebab saya suka kerja yang berkaitan dengan komputer macam ni. Minat = tiada tekanan.

---

Kemalangan

Pagi Eiduladha yang tenang, saya berjalan perlahan menuju ke surau untuk mendirikan solat Eid berjemaah. Di tepi jalan, seekor lembu ditambat. Tanpa saya sedari, tali pengikatnya dibiarkan agak panjang sehingga lembu tersebut boleh menghalang kereta yang lalu di jalan. Dengan izin Allah, saya dilanggar lembu tersebut walaupun saya telah cuba mengelak sedikit. Kepalanya tepat mengenai rusuk kanan.

Terduduk, saya lihat lembu itu mengambil langkah ke belakang dan cuba melanggar saya sekali lagi. Saya yang masih tercengang tidak sempat membuat apa-apa sebelum ia meluru sekali lagi ke arah saya. Mujurlah tali pengikatnya menjerut leher lembu tersebut. Andailah ia tidak ditambat, tentunya dua kali saya dilanggar.

Sehingga sekarang saya masih berasa sakit di bahagian rusuk kanan. Seorang rakan berseloroh, perlu cari 'rusuk kiri' cepat-cepat sekarang untuk menampung sakit. ^_^

Ada hikmah semuanya ini. Mungkin ada dosa yang saya lakukan di bawah sedar. Mungkin ini cara Allah mengingatkan saya supaya cepat-cepat insaf kerana mungkin juga saya lebih banyak lupa dari banyak ingat kepada-Nya.

Benar, manusia sering mementingkan hubungan sesama manusia daripada hubungan dengan Pencipta manusia.