The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

01 November 2009

Warkah Buatmu

Disebabkan saya tidak mampu tidur beberapa jam sebelum penerbangan pulang ke Malaysia kerana diri tiba-tiba menjadi sedikit gering dan kepala amat padat dengan 'to-do list' setibanya di tanah air, saya gagahkan diri untuk menaip beberapa warkah sebelum meninggalkan bumi Anbiya' ini.








Warkah pertama: buat rakan-rakan seperjuangan


Saya akan pulang. Ini bermakna kita akan berpisah. Itu lumrah. Setiap pertemuan ada perpisahan. Namun walaupun kita dipisah benua, doakan perjuangan kita tetap sama - iaitu mencari reda-Nya.


Saya tidak mengharapkan apa-apa sebagai balasan. Siapalah saya untuk diberi ganjaran, saya hanyalah hamba-Nya yang daif dan naif. Apa yang saya harapkan ialah sertakan saya dalam doa kalian agar saya terus tabah berjuang di jalan-Nya - dan tidak tersimpang, na'uzubillah - sehingga Allah mendatangkan hari yang diyakini akan mendatangi setiap yang bergelar insan, kepada saya. Sesungguhnya saya amat lemah dan tanpa bantuan dan sokongan kalian, tentu sukar bagi saya untuk menyudahkan tahun-tahun yang menduga keimanan di sini.


Kepada teman serumah - Megat, Tarmizi, Anas, Fakhruddin, Hamdan, Fikri, Zul Faiz, Mohammad, Ibrahim - dan bekas teman serumah - Sa'id Hawwa, terima kasih atas segalanya. Terima kasih kerana menjadi penghibur di kala lara. Buat teman sebilik, Zuhdi, terima kasih kerana sudi menyediakan telinga yang mendengar celoteh pelik-pelik dari mulut saya (jangan main game saja ya!). =)


Sehingga kita berjumpa lagi. Mungkin di tempat dan masa yang lain, tetapi dengan hadaf yang sama, iaitu mengejar reda-Nya selagi bergelar hamba.


---


Warkah kedua: buat keluarga komik Al-Fityan


Saya bukanlah yang selayaknya untuk memberi teguran atau apa-apa nasihat. Tetapi di bawah dasar 'addeenun-nasiihah', saya coretkan sedikit untuk kalian.


Ramai yang memberi mesej offline di Y!M menyatakan kesedihan tidak dapat berjumpa lagi dengan saya. Usah begitu. Ada rezeki, mungkin kita bakal dipertemukan lagi.


Seperti perinya sesuatu yang bergelar kumpulan, kalian sudah tentu perlu bekerja sebagai satu. Jika kalian belum rasakan rhyme pergerakan sebagai satu, ini bermakna kumpulan kalian ini tidak stabil dan pasti akan rebah - jika tidak esok lusa, mungkin suatu hari nanti. Bergeraklah sebagai satu anggota.

Patuhi ketua. Jangan - diulangi sekali lagi - JANGAN langgar deadline. Dan JANGAN copy-paste!


Jangan pudarkan semangat kalian untuk berkarya. Usah mandom! Usah futur! Jadikan kepulangan - atau bagi sesetengah orang, *kehilangan - saya dan beberapa anggota vital Al-Fityan sebagai pemugar semangat untuk menjadi lebih maju. Kalian mempunyai bakat. Terpulanglah kepada kalian bagaimana ingin memanipulasinya - ke arah yang lebih baik, kekal di takuk lama, atau lebih buruk.

*Psst, anda belum kehilangan saya selagi saya masih bernyawa! :D


Walau di tanah air, saya akan terus menyokong kalian. Doakanlah moga komik Islami dapat berdiri sama tinggi - malah lebih tinggi - bersama hiburan-hiburan terkini yang lahir umpama cendawan dewasa ini (macam ayat SPM pula).

Saya tidak ingin dikenang. Han Ri hanya seorang manusia biasa, tiada apa-apa kelebihan superhuman. Tapi saya harapkan kalian teruskan usaha yang telah dimulakan ini dengan thabat. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang, apabila mereka melakukan sesuatu (amalan), mereka melakukannya dengan itqan.


Sehingga kita berjumpa lagi. Mungkin di tempat dan masa yang lain, tetapi dengan hadaf yang sama, iaitu mengejar reda-Nya selagi bergelar hamba.


---


Warkah ketiga: buat insan-insan teristimewa


Maafkan saya kerana meletakkan kalian di tempat terbawah. Di hati, kalian tetap sentiasa terpateri.


Buat 'sifu-sifu' saya yang selalu memugar semangat saya untuk menjadi penulis (walaupun saya tak berapa minat menulis pada mulanya, hehe) - Zaki, Hisyam, Kak Najwa - terima kasih tidak terhingga kerana mengajar saya menulis. Bukan sekadar menulis, tetapi menjadi penulis yang bertanggungjawab. Satu perkara yang saya pelajari daripada kalian - para penulis bukan sekadar menulis dengan tangan; mereka menulis dengan hati, kerana dengan cara itu apa yang ditulis akan lebih terkesan di hati.

Kata Zaki pada header blognya: "...tulisan yang paling baik adalah tulisan yang mempunyai isi paling berat dan tepu, tetapi disampaikan dalam bahasa paling mudah difahami. Ia akan jadi lebih mengagumkan, sekiranya disampaikan dalam cara yang paling menarik dan mengesankan."

Juga buat insan yang dekat di hati, teruskan perjuangan. Jangan mudah putus asa. Usah cepat bersedih. Kuatkan iman, tabahkan hati. Dan selalulah ingat, bahawa Allah bersama mereka yang bersabar. Insya-Allah, andai diizinkan-Nya, kita pasti bertemu lagi (jangan menangis oi, hehe).

Sehingga kita berjumpa lagi. Mungkin di tempat dan masa yang lain, tetapi dengan hadaf yang sama, iaitu mengejar reda-Nya selagi bergelar hamba.

---

Setakat itu saja yang mampu saya coretkan. Diri makin gering pula terasa. Subuh sudah mampir. Doakan. Semoga saya dapat menjadi hamba-Nya yang sedikit.

Dan amat sedikitlah pula daripada golongan hamba-Ku yang bersyukur.

Semoga kita berjumpa lagi pada entri akan datang.
Ma'assalam ya Misr.


Han Ri,
Madinat Nasr, Kaherah.
4:36 AM



2 ulasan:

Mohd Zaki M Noor berkata...

saya terharu nama saya diabadikan dalam blog ini, bahkan dengan pangkat yang bukanlah saya selayaknya. Maafkan salah silap dosa saya selama ini, sengaja mahupun tidak. selamat memulakan perjalanan baru dengan jiwa yang besar, dan hati yang bersih.

Han Ri berkata...

Terima kasih atas semuanya, Sifu!