The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

21 September 2008

Lambat dan Cepat, Mana Pilihan Anda

Melayu sering di'momok'kan dengan ungkapan biar lambat asal selamat. 'Momokan' ini seakan menghantui keperibadian manusia Melayu pada hari ini. Masakan tidak, kebanyakannya merasakan kerja-kerja yang perlu dibereskan seolah tidak penting, sehinggakan ada yang sengaja melangkaui deadline yang ditetapkan.

Saya menghukum dengan kaedah 'kulliyyah' (kesemua-an) kerana rata-rata manusia sekeliling saya berperilakuan sedemikian. Saya tidak berapa ingat apakah tujuan asal ungkapan di atas 'lahir', tetapi apa yang pasti, ia tidak sesekali boleh dijadikan panduan di dalam sesebuah persatuan atau gerakan. Anda lambat, andalah yang akan ketinggalan. Anda terlepas deadline, andalah yang akan panas terkena leteran.

Sikap acuh tak acuh dalam menyiapkan kerja adalah tidak digalakkan. Allah sendiri menyukai mereka yang membuat kerja dengan itqan, dan saya yakin melangkaui deadline tidak termasuk dalam sesuatu yang Allah sukai ini.

Lebih tepat, anda perlu cepat dan selamat atau biar cepat asal selamat. Jangan risau, anda tidak akan melanggar apa-apa. Anda tidak akan terlibat dalam kemalangan jalan raya yang selalunya kerap kali berlaku lewat musim perayaan ini. Jika di sana anda terasa ada objek asing yang hampir dilanggar, ia hanyalah deadline.

Seperti juga di dalam ibadat Ramadan. Bergoyang kaki sahaja adalah suatu pembaziran waktu. 30 hari adalah suatu masa yang cukup pendek jika tidak dimanfaatkan sebaiknya. Andai anda sendiri tidak merebut peluang keemasan, sekali di dalam setahun ini, andalah yang akan rugi. Nah, lihat. Sekarang kita sudah pun berada di suku akhir liga perlawanan hawa nafsu. Beruntunglah bagi mereka yang bersedekah, beribadat malam, dan bertadarus. Dan amat rugilah bagi mereka yang bergoyang kaki.

Lailatul Qadar diriwayatkan berada di sepuluh malam terakhir (ada juga riwayat yang mengatakan di malam ke-27) maka, andaikan anda masih lagi di tahap lama, slow and steady, anda sendirilah yang akan kerugian gandaan seribu bulan itu. Usah tunggu dan lihat. Ini bukan eksperimen.

Ringkasnya, sudah tentu manusia perlu bersabar dan bertolak-ansur, atau lebih tepat - berlambat-lambat pada sesetengah perkara. Pun begitu, di dalam sesetengah perkara yang lainnya, ia tidak boleh dijadikan asas atau tulang belakang. Andai di dalam semua hal anda mahu berlambat, lebih baik anda hidup
di celahan daun bersama siput-siput atau di Kepulauan Galapagos bersama kura-kura gergasinya.

Hiduplah seiring zaman. Tidak pernah saya ragui bahawa anda, sebagai manusia yang punya akal, mampu memikirkan.