The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

27 Mac 2009

Ceritera II: Sang Kembara

Pencuci mulut yang fresh.

Hamba seorang kembara. Hamba lahir di tanah Jauhari, dan berhijrah ke tanah Perak. Hamba berguru kemudiannya di Serambi Mekah, terbang hinggap pula ke bumi Musa dan Harun. Hidup hamba penuh kelana.

Maka hamba gelarkan diri hamba: Sang Kembara.

Sebermula hikayat kembara hamba ke bumi Mansurah saat tibanya panggilan seorang perawan, memanggil hamba untuk ke sana atas tujuan yang amat besar muhimnya dan berkebetulan, safar hamba ke sana jatuh pada akhir bulan Safar.

Diambil ia dari kata "safra'" (bermakna kuning) kerna dikatakan dedaunan bertukar kuning kerana panasnya cuaca pada waktu itu (amat kontra dengan cuaca pada waktu ini). Juga dikatakan berasal ia dari kata 'sifr' atau kosong kerana kosongnya rumah-rumah Muslimin yang keluar berperang di bulan ini usai gugurnya perintah haram berperang pada tiga bulan sebelumnya.

Adapun di sana, hamba perlu memperbentangkan ilmu hamba yang terlalu sedikit ini ke atas mereka yang menyertai suatu perkumpulan yang digelarkan Bengkel Karikatur Comic's 09.

Sungguh, tidaklah hamba terus bersetuju akan pelawaan perawan itu, kerna kediaman hamba itu pun amat baru dan amat tidak kemas pada masa itu, persis kucing beranaklah adanya. Bukanlah ertinya hamba tidak menjaga kebersihan, tapi kerna perpindahan hamba dan ahli kediaman hamba yang amat tidak terjangka-jangka. Sekonyong-konyong kami dihalau dari rumah lama kami.

Abaikan hikayat rumah lama hamba. Makin mual bila teringatkannya. Adapun halnya hamba, selepas dipujuk berkali-kali, hamba bersetuju. Pada pagi 26 Februari, hamba bersama beberapa 'pengikut' berangkat menuju bumi Mansurah. Itulah kali pertama hamba ke sana selepas beberapa tahun diam di bumi Musa dan Harun.

Setiba di Mansurah, layanan mesra dihulurkan oleh penghuninya, seperti yang telah hamba andaikan. Makanan pagi disediakan seistimewa mungkin, bagaikan raja pula menapak ke sana. Sungguh, hamba hanya makhluk-Nya yang amat kerdil, tidak layak dirasa akan layanan istimewa sebegitu rupa.

Usai Zohor (dengan jamak takdim) giliran hamba memacak kata. Tidaklah hamba berkata melainkan dari ilmu yang telah Dia kurnia. Dan tiadalah ilmu yang dikurnia-Nya melainkan sedikit saja. Ribu-ribu kemaafan hamba naqalkan andai apa yang hamba sampaikan tidak mencukupi, kiranya apa yang hamba tuturkan langsung melukai hati.

Dan ketika Sang Merah hampir tenggelam, hamba dan 'pengikut' sempat rehlah seketika ke rumah saudara. Tidaklah kami punyai ikatan darah, tapi sungguh, kami adalah saudara seagama. Dimafhumkan bahawa saudara kami itu menuntut ilmu ubatan. Mereka itulah yang kami gelarkan medic, naqal dari kata medicine, yang juga naqal dari nama Ibnu Sina'.

Usai makan malam di kediaman saudara kami, dan ba'da Maghrib (juga dengan jamak takdim), kami kembali meneruskan safar, pulang ke tanah diamnya kami di bumi Musa dan Harun: Kaherah. Sehingga ketemu lagi di lain pertemuan. Semoga ukhuwah yang terbina sepanjang perjalanan berpanjangan. Ya, sehingga nyawa terpisah dari badan.

Alfu syukr dari hamba yang daif dan naif buat penghuni bumi Mansurah!

Baca: tiadalah gambar di atas itu kena-mengena dengan kata-kataan hamba di sini, melainkan ia menjadi santapan pencuci mulut usai makan tengahari. Allahu-a'lam.

4 ulasan:

As berkata...

ni best sangat jugak :D

Han Ri berkata...

trimas3 huhu

Nabila H.... berkata...

salam...
cara penyampaian menarik gak...tapi klu lebih klasik rasanya lagi best...tapi susah gak mengklasikkan yang moden..pape pun tahnia! :-)

Han Ri berkata...

Nabila:
klasik lagi guna bahasa Shakespeare la kot?=]