The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

15 Ogos 2009

Cetak Rompak Penulisan

Entri ini mempunyai kesinambungan dengan entri Hentikan Jenayah Blog.
Sila baca dengan iman.



Jika entri sebelum ini saya berleter tentang jenayah blog, kali ini ingin saya lampiaskan pula leteran tentang cetak rompak penulisan atau copy+paste. Ini jenayah yang sering saya lihat di sekeliling saya, khususnya dalam dunia penulisan di Mesir dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi.

MENULIS

Anda dipertanggungjawabkan untuk menulis di dalam sesebuah kolum dalam sebuah majalah. Anda tidak berapa minat akan tajuk kolum itu, lantas anda hilang selera untuk menghadam maklumat tentangnya, lantas kerja yang diberikan kepada anda terus tertangguh.

Bila sampai deadline (baca: bukan dateline), anda garu kepala sambil-sambil membina beberapa alasan yang kukuh untuk melarikan diri dari leteran si ketua editor kerana tidak siap kerja. Selepas memberikan alasan tersebut, si ketua editor, yang agak lembut hatinya, memaafkan anda. Namun, tidak boleh tidak, anda perlu juga menyiapkan kolum anda kerana sudah tidak ada orang boleh memenuhkannya. Melainkan anda. Anda diberikan satu hari lagi selepas deadline untuk menyiapkan kerja tersebut.

CETAK ROMPAK

Memandangkan anda sudah tidak ada cara lain, anda mengambil keputusan untuk melayari enjin carian Google dan menaip beberapa kata kunci yang berkaitan dengan tugas penulisan anda.

Anda pilih salah satu laman daripada ratusan hasil carian yang dimuntahkan Google, lalu dengan tiada rasa malunya, menyalin cc (carbon copy) apa yang tertera di laman tersebut. Kemudian, anda meletakkan artikel tersebut ke dalam medium Microsoft Word, membubuh tajuk, dan meletakkan nama anda di bawah tajuk.

Anda tersenyum puas persis seorang ketua lanun yang telah menjumpai timbunan harta. Kotak emel dibuka, diklip fail MS Word tersebut, dan bingkas dihantar kepada ketua editor. Tugas anda selesai.

DITANGKAP

Dengan siapnya artikel anda, majalah tersebut sudah siap. Apa yang tinggal hanyalah pembetulan beberapa kesalahan oleh pembaca pruf. Anda menarik nafas lega. Mujurlah si ketua editor tidak menyemak artikel anda sama ada ia ditulis sendiri atau sebaliknya.

Namun, anda tidak tahu bahawa si pembaca pruf ialah seorang mantan ketua editor yang amat berpengalaman. Bila dia membaca artikel anda, dia mula mengesyaki sesuatu. Dia lantas membuka enjin carian Google dan menaip seluruh perkataan yang terdapat di dalam perenggan pertama artikel anda.

Nyata, keputusan carian pertama yang dimuntahkan Google betul-betul sama seperti tulisan anda. Laman web yang memaparkan tulisan tersebut pula ialah sebuah laman asing yang bukan milik seorang pelajar Melayu. Maka tepatlah telahan si pembaca pruf bahawa penulis artikel tersebut (anda) telah melakukan jenayah mencetak rompak. Tulisan anda lantas dibuang dan anda tidak lagi menjadi ahli kumpulan penerbitan majalah tersebut. Nama anda telah disenarai-hitamkan.

CETAK ROMPAK PENULISAN

Ini bukanlah suatu jenayah yang baru. Namun, ia agak sukar untuk dibanteras kerana satu-satunya cara ia boleh dielakkan ialah melalui kesedaran diri. Tahukah anda, bila anda mencetak rompak tulisan individu lain, anda telah menjadi seorang penjenayah yang boleh dihukum?

Bayangkan. Seorang pembeli mendapati tulisan anda (yang dikaut daripada internet) wujud di dalam majalah yang dibelinya. Mereka perlu membayar untuk membaca artikel tersebut (yang, mungkin boleh jadi, menarik), sedangkan orang lain boleh membacanya secara percuma di internet.

Mengambil keuntungan daripada hasil penat lelah orang lain, tidakkah ia dikira jenayah?

KONKLUSI

Adalah tidak salah untuk mengambil rujukan daripada internet. Merujuk bukanlah mencetak rompak, asalkan anda sertakan bersama sumbernya.

Orang yang bergelar mahasiswa atau mahasiswi bukan golongan yang tidak mampu menulis.
Jadikan medan penerbitan dan penulisan sebagai medium mengasah bakat. Jangan takut jika tulisan anda tidak bagus. Langkah seribu bermula dengan langkah pertama. Apa yang penting ialah kegigihan, kemahuan, dan kesungguhan.

Dan lebih penting, usah cetak rompak tulisan orang lain!

1 ulasan:

meo188 berkata...

wah... perlukan kesedaran sivik yg tinggi...