The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

31 Ogos 2011

Syawal Terbunuh

Hati-hati, kome. Encik Adam sudah bengang.

Aku lihat telatah jiran sebelah. Riang ria mereka bermain bunga api. Jauh di horizon sana kelihatan pula pancutan cahaya ke langit, diikuti bunyi letupan yang tidak kurang bingitnya. Aku kerling jam tangan.

9.14 malam. 29 Ogos 2011. Malam raya. Malam Syawal. Biasalah, aku berbisik. Melayu, kalau tidak ada mercun dan bunga api, memang bukan Melayu namanya. Aku dulu pun sama, kecil-kecil dulu amat gemar bermain bunga api.

Bila sudah dewasa, aku sudah faham apa yang orang tua-tua cakap tentang duit dibakar bila beli mercun atau bunga api atau yang seumpama. Amat merugikan.

Tapi aku ingin tambah satu lagi. Dengan bermain benda-benda seumpama itu, anda sudah jadi pembunuh. Aku tak maksudkan nyawa yang melayang dek bermain meriam buluh atau mercun -- itu memang tak dinafikan. Apa yang aku maksudkan di sini ialah roh Syawal yang kalian bunuh.

Syawal disambut dengan takbir dan tahmid. Bukannya letupan meriam, mercun dan adik-beradik mereka. Tiadalah diperolehi pahala-pahala sunat jika itu yang dilakukannya di malam raya. Masa bertakbir pun singkat -- sampai habis solat sunat eid sahaja.

Bukan susah pun bertakbir. Tapi bila aktiviti yang tidak berfaedah, malah menjadi sebab pembaziran dan membahayakan nyawa pula yang dilaksana, rugilah orang yang dalam Ramadannya, dia setia kepada Tuhannya.

Dan pabila Syawal menjelang, bersama syaitan iblis, mereka tertawa riang.