The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

26 Jun 2010

Nikmatnya Sakit, Indahnya Sihat

Hampir sebulan terlantar di rumah menguatkan lagi keazaman saya untuk menggunakan nikmat kesihatan yang baru dikurnia ini sebaik mungkin. Sakit yang datang baru-baru ini menyebabkan saya jadi seakan lumpuh dan tidak mampu membuat apa-apa kerja. Bersolat pun tidak sempurna ruku' dan sujudnya.

Benarlah, bila kita kehilangan sesuatu, baharulah kita terasa mahu menghargai dengan sebaiknya, memeluk seeratnya apa yang hilang itu. Tetapi bila ia ada di depan mata, berada dalam capaian kita, usahkan mahu menghargai, tengok pun tak hendak.

Inilah hakikatnya makhluk bergelar manusia.

Alhamdulillah sakit sudah hampir hilang. Apa yang tinggal hanyalah parut-parut dari luka yang dahulunya menyakitkan. Tak mengapa, saya tidak kisah jika berparut-parut. Lebih mudah untuk menjadi reminder atas kealpaan lalu.

Khamis ini, kerja sebagai guru akan bermula semula. Mesin ini perlu diketuk-ketuk sedikit biar boleh beroperasi sebaiknya. Benar, tugas sebagai pendidik bukan mudah - memerlukan kekuatan rohani dan jasmani. Yosh, akan berusaha menjadi pendidik yang baik!


p/s: semasa demam tempoh hari, mimpi yang dialami sebaik mengatup mata ialah diri ini menjadi Sam Fisher dan melakukan beberapa misi espionage. Hai, kuat benar penangan Splinter Cell Conviction!


18 Jun 2010

Demam

Malang sekali bagi saya, demam Piala Dunia 2010 Kembali ke Afrika tidak langsung menjangkiti saya. Normalkah saya?

Ah, peduli apa. Sekarang demam sakit kulit sudah beransur pulih dan saya bakal menemui anak-anak murid yang merindui saya (haha) di awal bulan Julai, dengan izin Allah.

Kali ini demam melukis sudah kembali. Ya. Entah mengapa tiba-tiba hari ini rasa melukis itu membuak. Mungkin kerana saya sudah bosan sakit demam. Mungkin juga demam menikmati permainan video Splinter Cell Conviction.

Lakaran  visual | Sam Fisher semasa Ubisoft mengumumkan kelahiran Splinter Cell Conviction beberapa tahun lalu. Kini, rambut beliau dipotong pendek.


Atau mungkin juga semangat saya untuk melukis sudah pulih. Mengapa? Mungkinkah sudah ada seseorang di hati? Hah, itu jawapan yang akan anda ketahui tak berapa lama lagi. Haha. Apa yang penting, jangan kecewa mendengar jawapan tersebut ya! ;)

Adakah ini komik saya? Sudah episod 13? 


03 Jun 2010

Sudah Kurus

Kegersangan idea dan ketiadaan masa untuk membuat bahan sebagai isi entri blog menyebabkan saya kurang bersemangat untuk menulis di blog.

Bukan itu sahaja. Sakit yang datang menjelma secara agak tiba-tiba ini pun boleh jadi salah satu punca blog ini ditinggalkan agak berhabuk.

Nah, fuh! Habuk hilang.

Saya sekarang dalam tempoh cuti tanpa gaji selama sebulan. Ramai anak murid yang bermesej, tidak kiralah melalui YM atau Facebook atau sistem mesej sependek-pendeknya (SMS) yang bertanyakan mengapa tidak datang. Tidak kurang juga yang mengeluh kerana tidak seronok andai tiada saya di sana.

Saya tergelak sendirian. Seronok? Saya antara guru paling garang di sana. Bagaimana boleh mereka kata seronok? Barangkali mereka seronok melihat rakan mereka yang nakal dimarahi saya. Mungkin begitu?

Mungkin juga mereka sudah mula merindui saya. Haha, perasan saja.

Menjelang minggu kedua saya terlantar di rumah kerana penyakit kulit, saya sudah semakin susut. Apa tidaknya, makan pun sehari sekali. Sudahlah sehari sekali, sekali makan pun tak sampai dua suap. Selera hilang tahap melampau.

Semalam sempat ke sekolah sekejap untuk memulangkan kamera dan laptop. Bila ada guru terlihat kelibat saya, terus dikatakan saya sudah susut. Ya, berjaya akhirnya untuk saya kurus. Harganya bukanlah mahal. Tiada wang ringgit yang perlu dikeluarkan. Hanya perlu mengerang kesakitan di rumah. Haha!

Apa yang dirunsingkan ialah sebaik saja sihat nanti, adakah saya akan kembali berisi seperti sebelum ini? Oh, harapnya tidak. Perlulah saya menjaga pemakanan. Ya, perlu.

Sehari sekali, kurang dua suap sekali makan!