The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

12 Mac 2010

Epilog: 2142 (Ep. 1)


SATU

    Lelaki itu membuka mata. Perlahan. Becar. Terasa sedikit pedih di kaki tika dia cuba bangun. Dia lihat kaki kirinya berbalut. Melihat sekeliling. Dia tidak tahu di mana dia berada. Suatu tempat yang terlalu asing baginya. Bilik putih. Semuanya putih.

Dia ingin tahu apa yang telah terjadi, namun memorinya seakan telah terbeku. Dia tidak tahu bagaimana dia berada di situ.

    “Alhamdulillah awak dah bangun,” tegur satu suara. Si lelaki menoleh dan terlihat seorang perawan bertudung litup, berpakaian seolah seorang doktor, tersenyum simpul. “Sudah hampir seminggu awak koma.”

    Si lelaki terpinga-pinga. Dia tidak kenal wanita itu. “Saya...koma?”

    Wanita tersebut tersenyum seraya memberikan segelas air kepada si lelaki. “Nah, minum air ini. Ia dapat mengubati amnesia.”

Gelas jernih diambil, lantas diminum airnya perlahan-lahan. Amnesia?

“Awak rehat di sini ya. Saya perlu maklumkan pada ayah,” ujar si perawan, lantas berdiri keluar dari bilik putih tersebut.

    Lelaki itu perlahan menyorot pandangannya ke bawah. Tangannya memegang kepala. Di kepalanya, hanya kalimah tauhid bergema. Dia memejam mata, mengharapkan memorinya kembali, kesan daripada air yang dikatakan boleh memulihkan amnesia, yang diteguknya sebentar tadi. Namun, tiada apa-apa berlaku.
Lelaki itu menggagahkan dirinya untuk bangun. Dia melihat sekeliling. Pada kirinya terdapat sekeping cermin yang dilekatkan pada dinding. Entah mengapa nalurinya mendesak kakinya mendekati cermin tersebut. Dengan kekuatan kaki kanannya, dia terhincut-hincut, perlahan, menuju ke cermin. Dia melihat pantulan imej mukanya pada permukaan cermin yang licin berkilat. Dia terasa nafasnya mulai sendat. Dia mula mengurut dahi. Matanya seakan-akan terbeliak. Dia tidak percaya.

Siapa aku…?

***

Balqis Minarwan mengalih tatapan matanya pada skrin komputer. Hasil imbasan pada mesin pengimbas menepati apa yang berada di benaknya selama ini. Jam tangan yang dijumpainya di Dataran Merdeka, hampir seminggu yang lepas, memang benar-benar milik suaminya, Khalid. Mungkin ia terlucut sejurus sebelum Khalid mengorbankan dirinya selepas berhadapan dengan si penjahat yang cuba merubah sejarah, Akagi Benzinyc. Mungkinkah begitu?

Atau mungkinkah Khalid sengaja melucutkan jam tangannya dengan harapan ia dijumpai oleh isterinya dan memberikannya suatu memento agar dia akan sentiasa dikenang? Mungkinkah pula ia suatu kod yang perlu dipecahkan Balqis, yang padanya tersimpan sejuta rahsia? Atau…

“Adakah abang masih hidup?”

Lamunannya terlerai tatkala mendengar pintu elektronik bilik pejabatnya berdesus. Seorang lelaki berkaca mata dan berkot hitam menapak masuk. Balqis segera menekan beberapa bebutang pada papan kekunci. Hasil imbasan pada skrin hilang serta-merta.

Si lelaki menggeleng. Di mukanya tampak perasaan tidak puas hati yang teramat. “Aku ingatkan kau terlena, rupanya terkenang si buah hati yang sudah tiada.”

Balqis bingkas bangun. “Ikmal! Kau—!”

“Balqis.”

Kedua-duanya terpaku di tempat mereka berdiri, seraya menoleh ke sebelah kanan bilik tersebut. Kamera di bucu memancarkan hologram yang memaparkan imej tiga dimensi seorang lelaki tua berkot hitam. Imej hologram tersebut menapak ke bahagian tengah bilik, dan kemudiannya memandang ke arah Balqis.

“Kamu sudah tahu akan perihal projek mesin masa kita, bukan?” tanya si lelaki tua.

“Buat apa pakcik tanya perempuan itu? Dia bukannya mampu—”

Ayat Ikmal terhenti tatkala si lelaki tua mengangkat tangannya separas bahu, mengisyaratkannya supaya tidak berkata apa-apa. Dia masih merenung Balqis. Keningnya diangkat, menjadi isyarat bahawa dia mahukan jawapan daripada Balqis tentang soalan yang diajukan sebentar tadi.

“Ya, Tuan Zaid,” jawab Balqis, tenang. Dia kembali mengawal diri dan nafsu marahnya pada Ikmal. “Projek ini telah dibatalkan oleh kerajaan kerana risikonya terlampau besar.”

Zaid mengatup kelopak mata. “Bukan setakat itu, Balqis. Disebabkan kejadian pada 31 Ogos yang lalu, ada beberapa pihak dalam kerajaan mahu memenjarakan kita yang terlibat dengan projek mesin masa ini kerana didakwa bersubahat dengan pengganas.”

Balqis diam. Tercengang.

“Ini semua angkara Khalid!” jerkah Ikmal. “Dia tahu segalanya, sebab itulah dia tahu memecahkan kod-kod yang diberikan si pengganas bangsat itu!”

“Benarkah begitu, Balqis?” tanya Zaid.

Balqis bingkas menggeleng. “Tidak, Khalid tak mungkin berbuat sedemikian! Saya boleh buktikan bahawa Khalid tidak bersalah, Tuan!”

Ikmal tertawa. Deraian tawanya amat menyakitkan hati Balqis. “Bagaimana? Bagaimana kau mahu membuktikannya? Upah peguam negara? Begitu?”

Balqis terdiam. Pandangannya perlahan-lahan jatuh. Ikmal meneruskan tawanya seraya menapak keluar dari bilik tersebut. Hologram Zaid mulai pudar dan berbalam.

“Balqis. Usah sedih,” ujar Zaid, audio suaranya mulai kasar, disertai desiran-desiran halus. “Kita akan cari jalan keluar daripada masalah ini. Tapi…dari raut wajah kamu tadi, saya dapat rasakan seolah-olah kamu sudah membuat draf untuk menyelesaikan semuanya.” Zaid terhenti sebentar, memerhati Balqis yang sedari tadi tunduk bagai menatap permukaan bumi. “Bagaimana?”

Balqis mengangkat mukanya, melihat tepat pada wajah Zaid. Di mata Balqis terbit semacam cahaya yang melambangkan keyakinan dan kesungguhannya.

“Khalid, Tuan. Dia masih hidup.”

Tiada ulasan: