The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

20 Disember 2009

Desainer Yang Sibuk - Bahagian 6





Tahun baru. Adakah kita perlu perbaharui azam setiap kali tahun baru? Sebentar, saya tulis semula. Adakah kita perlu perbaharui azam setiap kali tahun baru sahaja?

Tidak salah memperbaharui azam, menjadikannya daripada yang kurang elok kepada yang elok kepada yang lebih elok kepada yang sangat elok. Seorang mukmin yang sejati itu, hari ini lebih elok dari semalam dan hari esoknya lebih baik dari hari ini. Tetapi yang ingin saya timbulkan di sini ialah adakah di awal tahun sahaja harus kita perbaharui azam dan niat?

Apa yang menjadi masalah ialah keazaman kita yang cepat pudar. Hilang konsistennya selepas beberapa ketika. Pernah kita terfikir untuk berazam supaya azam yang kita azamkan itu dapat kekal sepanjang tahun? Mungkin di sini silapnya.

Atau mungkin juga sikap kita sendiri yang tidak tetap dalam berpendirian.

Islam telah mengajar kita berpendirian. Bagaimana? Antara rukun solat  ialah takbiratul ihram. Lafaznya "Allahu Akbar" yang bermakna Allah Maha Besar. Bila kita ucapkan lafaz takbir ini dengan lidah, ia secara tidak langsung menjadi suatu pengakuan atau penyaksian bahawa tiada yang lebih besar melainkan Allah. Inilah juga yang dikatakan pendirian. Di dalam solat, Islam mengajar kita berpendirian bahawa di dunia ini tiada perkara yang lebih besar; tiada urusan yang lebih besar; tiada sesuatu pun yang lebih besar selain Allah.

Walaupun demikian, hakikatnya berapa ramaikah antara kita yang menterjemahkan kalimah takbir, menghayati lafaz suci tersebut dalam kehidupan seharian?

Pergi ke pejabat tidak boleh lewat sedikit, takut dimarahi bos, takut dibuang kerja, takut dipotong gaji. Tetapi pergi ke masjid, ke surau, jemaah sudah tahiyat akhir baharulah sampai. Kadang-kadang sengaja solat di akhir waktu, kononnya ingin memperdaya syaitan.

Inilah contoh orang yang tidak berpendirian - di dalam solat, Allah itu 'akbar' namun di luar solat, dunia itu baginya 'akbar'. Bagaimanalah pula mahu berpendirian tetap dalam keazaman bila perkara sebegini pun kita gagal?

Saya tidak menuding jari kepada sesiapa, malahan coretan ini juga peringatan dan teguran buat diri sendiri. Sama-samalah kita perbaiki diri dari semasa ke semasa agar kita dapat menjadi hamba-Nya yang bertaqwa. Ingat, bukan di awal tahun sahaja, tapi di setiap saat. Mengapa?

Kerana kita manusia. Manusia tidak dapat lari dari membuat kesalahan dan kesilapan.

Tiada ulasan: