The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

29 Julai 2009

Budak Bionik v2.0


Sebenarnya inilah lukisan terdahulu sebelum direka bahagian prolog Budak Bionik yang baharu siap. Cara penggubahan cerita saya agak pelik - saya akan fikirkan dahulu kesudahan ceritanya + bentuk watak-wataknya di penghujung cerita sebelum memulakan cerita dari awal.

Macam Star Wars pula. Tidak, penceritaannya bukan seperti Star Wars. Cara otak saya bekerja saja yang macam kisah perang angkasa itu. Anda tak perlu runsing untuk mengaitkan cerita yang di awal sebagai babakan akhir, dengan cerita yang di akhir sebagai plot awal. Budak Bionik akan diceritakan mengikut susunan kronologi A-B-C (bukan Alias bin Chik :>), dari awal hingga akhir, insya-Allah.

Dan tentunya ia tiada kaitan dengan rancangan Bio-Nik di TV3. Lagipun, Budak Bionik lahir terlebih dahulu sebelum rancangan itu.

Akan diterbitkan dalam versi PDF, yang tentunya percuma. Nantikan saja.

[Spoiler warning - highlight to read]
Ya, versi 2.0, iaitu selepas mengalami transformasi sepenuhnya. Lelaki di sebelah kiri itu, tidak lain, tidak bukan, ialah rakan sekelas aka partner si Budak Bionik - Amin.
[Spoiler ends]

24 Julai 2009

Budak Bionik: Prolog Bhg. 2: Teaser


Seperti yang tertera, ia hanya 'teaser'. Cerita penuh tak akan dimuatkan di dalam entri ini. Bakal menemui anda Ogos ini, insya-Allah.

23 Julai 2009

Budak Bionik + Kerja Malam + Disoal


Budak Bionik

Sudah mencapai usia 2 siri (prolog bahagian 1 dan 2) tetapi masih belum masuk ke jalan ceritanya. Nak tahu kisahnya? Beli komik Al-Fityan keluaran ke-3 yang akan keluar tak lama lagi, ya! Entri selepas ini akan saya masukkan 'teaser' kartun ini.

Kerja Malam

Sudah banyak hari saya kerja malam. Persis pak polisi pula. Abah tak membenarkan anak-anaknya meniru kerjayanya sebelum ini (sebagai seorang anggota polis), jadi Abah tak perlu bimbang akan kebarangkalian saya menjadi seperti Abah walaupun saya berjaga malam. Salah satu ciri untuk menjadi polis - mata perlu tajam. Saya yang bermata empat ni?

Kerja malam bukan sebarang. Ini kerja lebih masa untuk memberi diri ruang menelaah pelajaran pada keesokan harinya. Jangan terkejut kalau terlihat encik Han Ri bermata raccoon!

Jujur saya katakan. Kerja malam memang meletihkan, lebih-lebih lagi bila kerjanya memerlukan anda menghadap skrin komputer lebih 6 jam. Bukan kerja bermain permainan komputer, tetapi bermain Photoshop - sesuatu yang mampu membuatkan anda tak terasa langsung yang Subuh sudah pun jelang tiba.

Ya, saya sudah masuk ke dalam golongan Photoshop-holic.

Disoal

Serasa saya, ini kali kedua saya disoal di dalam teksi sejak menapak kaki ke bumi Musa dan Harun. Bukan disoal siasat oleh si mata-mata, tapi disoal soalan Al-Quran oleh pemandu teksi. Mulanya, dia tanya: "Kamu orang Malaysia?"

"Ya," jawab saya, ringkas.

"Ahsanunnas!" balasnya (yang mana maksudnya: kamu - orang Malaysia - orang paling baik!) Jawapan ini selalu saja dijawab bila anda mengatakan pada orang Arab Mesir bahawa anda orang Malaysia. Mahu saja saya balas: Musa dan Harun 'alaihimassalam diutus ke Mesir. Bukankah itu meletakkan anda, rakyat Mesir, sebagai orang yang lebih ahsan dari kami, rakyat Malaysia? Tapi saya batalkan hasrat itu memandangkan dia bagai tidak putus modal berbual, bukan seperti pemandu-pemandu teksi yang lain pada kebiasaannya.

Kami tak sempat bertaaruf. Dia terus bertanyakan di mana saya belajar, dan mengenai apa yang dipelajari. Sudah tentu saya jawab Quran dan Qiraat. Dia tersenyum dan memilih untuk bertanyakan soalan Quran. Surah Tabarak (al-Mulk).

Tersenyum di dalam hati, saya memulakan bacaan hingga ke satu perdua surah. Saya terasa ingin tahu adakah si pakcik ini menghafal Al-Quran juga, atau sekadar mahu mendengar bacaan saya buat halwa telinga. Saya cuba buat-buat lupa.

"Ba'din eih?" saya mengerut dahi usai terhenti bacaan pada ayat 16. [Makna pertanyaan saya: apa (ayat) selepasnya?]

Dia dengan selamba, tanpa melepaskan matanya dari pemanduan, membaca permulaan ayat ke-17. Agak terkesima, saya menyambung kembali hingga ke akhir surah (sempat juga habiskan sebelum sampai ke destinasi).

Saya tersenyum sendiri. Mujurlah dia tak mengajukan soalan mutasyabihat atau surah yang sukar. Kalau tidak, tentunya saya tersengih sendirian sambil membuat lirik muka semanis mungkin, memujuk dan meminta supaya soalan ditukar.


Han Ri: Pernah disoal soalan sebegini oleh pemandu teksi di Malaysia? :>

19 Julai 2009

Tentang Dhobt


Mata pelajaran Dhobtul Quran mula dipelajari pada tahun 3 Takhassus Qiraat di Maahad Qiraat Shoubra (juga di Maahad Qiraat Mansurah). Anda pasti tertanya mengapa saya ingin menulis sedikit tentang ilmu ini. Senang saja jawapannya.

Ia subjek kesukaan saya.


Mukadimahnya

Pada permulaan kitab Irsyadut-tolibin Ila Dhobtil-kitabil-mubin karangan Syeikh Muhammad Muhammad Salim Muhaisin, mukadimahnya menyebut tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan pengenalan ilmu Dhobt.

Seperti kebiasaan ilmu yang lainnya, disebutkan dalam mukadimahnya tentang takrif ilmu Dhobt secara bahasa (lughatan) dan secara istilah (istilahan), pembahagian noktah (an-nuqt), sejarah permulaan ilmu Dhobt, dan faedah pembelajarannya.

Juga disebut tentang perbezaan antara ilmu Dhobt dan ilmu Rasm Quran, kerana sekali imbas, anda akan dapati ada sedikit persamaan pada kedua-dua ilmu ini.

Perbincangannya

Kitab Irsyadut-tolibin Ila Dhobtil-kitabil-mubin mempunyai 11 bab yang membincangkan tentang hukum dan kaifiat yang terdapat dalam ilmu Dhobt. Secara ringkasnya, ilmu Dhobt mengkhususkan perbincangan tentang elemen-elemen yang terdapat dalam Al-Quran yang saya formulakan sebagai HASSYIMAH:
harakat (HA) iaitu baris,
sukun (S) iaitu tanda mati,
syiddun (SYI) iaitu tanda sabdu,
mad (MA) iaitu tanda bacaan panjang – dua harakat atau lebih,
dan hamzah (H) iaitu huruf hamzah.

Bab kesembilan iaitu yang bertajuk “Fi Kaifiyati Dhobti Ma Huzifa Rasman” ialah tajuk terpanjang dan memerlukan pemahaman yang lebih mendalam dan rujukan kepada penulisan Rasm Uthmani dalam Al-Quran berbanding tajuk lain, kerana khilaf yang banyak antara pandangan Magharibah dan Masyariqah, apa yang digunakan (‘alaihil ‘amal), dan perbezaan cara penulisan yang banyak dibahaskan. Saya sendiri menggunakan lima helai kertas untuk membuat nota persendirian tentang bab ini, sedangkan bab lain hanya satu hingga empat helai.

Bab terpendek dalam kitab ini ialah bab kesebelas iaitu yang bertajuk “Fi Hukmil-laam Alif”, yang tidak sampai setengah muka surat boleh disiapkan notanya.

Kesimpulan

Memandangkan saya tidak punyai masa yang banyak, kerana kerja yang menghimpit, untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang ilmu ini, jika ada kemampuan dan masa nanti, akan saya terangkan pada entri yang akan datang, insya-Allah.

Berbeza dengan ilmu Qiraat yang memerlukan pemahaman yang terperinci dan rujukan kepada syeikh-syeikh dan guru-guru, ilmu Dhobt lebih mudah untuk difahami. Bahasa yang digunakan Syeikh Muhammad Muhammad Salim Muhaisin tiada perkataan kiasan, amat mudah difahami, dan padat. Cubalah menelaah sendirian dahulu sebelum memasuki kelas Dhobt untuk memaksimakan pemahaman.

Wallahua’lam.

18 Julai 2009

Baru Lagi (?)


- Siri kartun tiga gadis di perlembahan Nil (bagaimana pula saya tahu kisah perempuan sedang saya seorang lelaki? Ini rahsia :> )

- Awalnya akan dimasukkan ke dalam salah satu: Komik Biah Solehah atau Suara Kampus Perak (ATOM). Kalau difikirkan tiada halangan, mungkin akan dimasukkan menjadi entri ke blog ini juga, insya-Allah.

- Siri ini tiada kesinambungan; tiga watak ini di'cipta' hanya sebagai 'pelakon' utama untuk menyampaikan mesej.

- Tidak juga mempunyai jalan cerita yang linear.

- Tidak perlu rasa ternanti-nanti. Saya tidak menjanjikan ia akan dimasukkan ke blog ini.

07 Julai 2009

Gagal



Entri ini ditujukan khas untuk mereka yang tidak direzekikan untuk mencapai kejayaan pasca-imtihan syahadah (termasuk saya).
Baca: entri ini tiada luahan perasaan kerana saya bukanlah jenis yang suka meluahkan perasaan secara terbuka. Harap maklum.


- Kegagalan bukan erti kekalahan. Ia hanya bererti anda tidak menggunakan cara yang berkesan. Gunakan cara lain yang dirasakan lebih berkesan untuk peperiksaan akan datang.

- Bersyukurlah kerana 'digagalkan'. Adakalanya orang yang sudah mencapai kejayaan, kitab-kitabnya, ilmu-ilmunya hilang entah ke mana, tidak diketahui. Dengan adanya kegagalan, anda diberi peluang untuk mengulangkaji serba-sedikit tentang apa yang telah anda pelajari. Paling tidak, anda dapat memantapkan lagi ilmu yang ada.

- Jangan bersedih atas kegagalan. Jika kegagalan sebegini sudah menjatuhkan anda, bagaimana pula hendak menghadapi kegagalan atau cabaran yang lebih besar di masa akan datang?

- Usah lupa iringi doa. Kadang-kadang manusia lupa pada Tuhannya walau di waktu yang sepatutnya.

- Doakan saya untuk peperiksaan pusingan kedua (daur thani) di pertengahan Ogos ini.