The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

15 April 2008

"Susahnya belajar bahasa Inggeris!"

Seorang sahabat bertanya bagaimana mahu mahir dalam bahasa Inggeris. Iyalah, dia juga melahirkan rasa kesalnya kerana tidak mempelajarinya bersungguh-sungguh dan sekarang menghadapi masalah di peringkat universiti.

Bagaimana, itu terpulang kepada anda sendiri sebenarnya. Jika anda mahu mencapai sesuatu, anda perlu mulakan dengan azam yang tinggi. Lebih-lebih lagi sesuatu yang lazimnya sukar diperoleh.

Bagi saya, ada banyak cara dalam mempelajari bahasa Inggeris. Jom, lihat bagaimana saya belajar bahasa ini.

1) Pertama sekali, belajar secara sediakala di kelas-kelas bahasa Inggeris di sekolah. Ini cara biasa. Tapi kenapa ada juga yang merasakan susah benar mahu masuk ke kepala. Seakan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tak pun keluar dari hidung. Salah satu faktor ialah pada tahap ini (rendah dan menengah), keperluan pada bahasa Inggeris masih tidak tinggi, maka secara automatik anda mungkin tidak ada minat semasa guru bahasa Inggeris bersusah payah menerangkan pelajaran di hadapan. Mungkin sempat lagi anda terlentok di atas meja.

2) Baca buku bahasa Inggeris. Bagi peringkat permulaan, pilih bahan bacaan ringan, antara 10-50 muka surat. Kalau tidak faham satu perkataan, jangan terus buka kamus. Letakkan elok-elok dalam kotak fikiran anda, dan teruskan pembacaan. Setelah habis cerita atau artikel yang dibaca, barulah menyemak. JANGAN terjemahkan PERKATAAN secara satu persatu, sebaliknya fahaminya sebagai satu AYAT.

3) Tontoni kartun atau filem/rancangan televisyen berbahasa Inggeris. Teringat sewaktu kecil, minat sungguh saya menonton dokumentari National Geographic, sehingga kadang-kadang terpaksa berebut siaran televisyen dengan adik-adik. Oh ya, jangan tonton saja. Cuba lihat sarikata (subtitle) di bawahnya itu. Bandingkan dengan apa yang dituturkan.

4) Bermain permainan video (video game) berbahasa Inggeris. Ah, yang ini paling menyeronokkan! Mak dan abah mesti tertawa kalau membaca entri ini. Saya memang tidak pernah berubah, dari kecil sampai besar. Memang suka sangat bermain permainan video. Cukup, kita berbalik kepada topik. Apa kaitannya dengan mempelajari bahasa Inggeris, anda tanya? Bergantung kepada genre permainan yang dipilih. Lebih banyak perkataan dan perbualan (lebih-lebih lagi teks yang terpapar), lebih banyak input yang akan anda peroleh. Permainan bercorak sukan (seperti bola, lumba kereta, dll) tidak mempunyai banyak input. Anda peminat FIFA atau PES? Need For Speed? Jangan marah. Kenapa saya berkata sedemikian? Iyalah, anda akan lebih banyak menumpukan masa untuk merampas bola dan menyumbat ke gawang lawan, atau menumpukan untuk mengawal pemanduan supaya tidak terbabas. Tidak banyak input. Memanglah, saya tidak katakan salah bermainnya. Lain pula jika anda bermain permainan tembak-menembak (FPS- first-person shooter), RPG (role-playing game), atau permainan simulasi (simulation). Anda akan lebih banyak menumpukan pada objektif permainan itu, yang pastinya menggunakan banyak teks bahasa Inggeris. Lihat, ada perbezaannya, bukan?

5) Langkah seterusnya tidak memerlukan anda memerah input, tapi mengeluarkannya. Tulis apa yang anda peroleh sebagai satu cerita pendek, hantarkan kepada guru atau rakan-rakan yang dirasakan boleh diharap untuk menyemak kesalahan anda. Dengan cara ini, anda akan dapat lebih banyak input, di samping mengetahui cara menulis dalam bahasa ini dengan betul.

Banyak lagi sebenarnya cara mempelajari bahasa Inggeris dengan menarik dan tidak membosankan. Tapi, tunggu lain kalilah ya? Ada masa, insya-Allah saya kirimkan lebih entri. Anda ada cara menarik? Silakan, kongsi bersama sidang pembaca!