The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

26 Mac 2008

Lewah Dalam Dunia Lukisan

Saya memang masih baru dalam arena ini. Bolehlah dikatakan baru berbanding abang-abang dan kakak-kakak yang turut serta dalam komik Alwan (ketika diterbitkan di Mesir) satu ketika dahulu. Tapi baru tak bermakna saya tak tahu apa dia maksud tajuk yang saya letakkan di atas.

Lewah boleh diertikan sebagai:

1. terlalu banyak hingga berlimpah-limpah, mewah;

2. berlebih-lebih sehingga tertambah perkara, hal, dan sebagainya yang tidak perlu.

Jadi, apakah maksud berlewah dalam arena lukis-melukis? Seperti yang dilihat pada karya mereka yang baru bertatih untuk melukis (termasuk saya), kebanyakannya menggunakan ruang yang sedikit untuk melukis sesuatu yang banyak.

Contohnya, anda mahu melukis tentang cerita Sang Kancil dan Sang Buaya, di mana Sang Kancil yang ditangkap kakinya oleh Sang Buaya mahu melepaskan diri dengan helah dan alasan bahawa dia diutuskan oleh Raja Sulaiman untuk mengira bilangan semua buaya di dalam sungai tersebut, seraya melepaskan diri daripada menjadi santapan tengahari Sang Buaya. Jadi, adakah logik jika melakar cerita ini, satu persatu, di dalam satu muka surat sahaja?

Jawapannya, tentu tak cukup untuk anda lengkapkan cerita ini. Kalau tamat pun, lukisannya kecil-kecil sahaja dan dialognya pun tidak kenampakan sangat untuk sidang pembaca. Justeru, sudah semestinya tidak wajar!

Inilah yang dinamakan lewah.

Satu lagi keadaan di mana kelewahan berlaku ialah ketika mana si pelukis melakar terlalu banyak elemen yang tidak bersangkutan dengan jalan cerita, lalu menjadikannya terlalu tepu, panjang dan membosankan. Kalau lagi panjang, lagi menarik, tak apa. Betul tak?

Jadi, nasihat saya, melukis biar berpatutan dan ekonomik, sama seperti menulis. Kita melukis untuk berdakwah dan secara automatik bergelar pendakwah. Jangan biarkan orang melihat dan menilai kita sebagai pendakwah yang lewah dan bosan semata-mata kerana lukisan kita. Sama-sama kita teruskan usaha, majukan diri demi agama, bangsa, dan negara.

Selamat berkarya!