The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

26 Februari 2008

Hari Kekasih, Azhari, dan...?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
(Al-Baqarah: 208)
Imam Al-Baghawi di dalam tafsirnya menyebut sabab nuzulnya ayat di atas; iaitu islamnya seorang ahli kitab Yahudi Bani Nadhir - Abdullah bin Salam dan teman-temannya - yang mana setelah memeluk Islam tetap menganggap hari Sabtu sebagai hari kemuliaan dan tidak mahu menyentuh (memakan) daging unta. Mereka berkata: Wahai Rasulullah, bukankah Taurat itu juga Kitabullah? Izinkan kami membacanya ketika mana kami bersolat malam.
Untuk menjawab, diturunkan ayat di atas kepada baginda Nabi s.a.w.
Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya menterjemahkan ayat ini sebagai : "Masuklah ke dalam ketaatan seluruhnya." Manakala Imam At-Thabari membawa tafsiran: "Masuklah ke dalam Islam keseluruhannya."
*Dua perenggan di atas tidak dicopy-paste. Hanya diadaptasi. Harap maklum.
Jadi apa kaitannya dengan tajuk di atas - Hari Kekasih, Azhari dan...?
Saya tidak ingin mengulas panjang tentang Hari Kekasih atau lebih dimaklumi sebagai Valentine's Day. Anda boleh dapatkan maklumat tentangnya di enjin carian Google. Terdapat lambakan informasi tentang hari yang spesifik ini, dari sudut sejarahnya hatta hukum menyambutnya sekalipun.
Bukan mahu mendabik dada, tapi saya baharu saja tahu tentang tarikh sambutan hari tersebut. Ya, 14 Februari. Saya kepingin sangat mahu bertanyakan tentang pandangan rakan-rakan Azhari. Ada yang menjawab mereka tak punya pandangan langsung pun, sebab mereka langsung tidak memandang event ini. Baguslah macam tu, tapi bagaimana pula seorang rakan yang saya lihat pada Friendster-nya dihantar komentar 'Happy Valentine's Day'?
Mungkin rakan kepada rakan saya tersebut yang menyambutnya, tapi bagaimana pula halnya bila rakan saya itu sendiri, bila saya bertanya: "kamu sambut jugakah Hari Kekasih?", dia menjawab: "Iya..." ?
Anda mungkin pernah mendengar lirik lagu artis tanah air: Ramai dah gagal berbuah tangankan mawar Itupun setahun sekali Hanya pada hari kekasih...
Menjadi artis bukanlah lesen untuk menyambut apa yang orang bukan Islam sambut. Kita tangguhkan bicara tentang artis. Ayuh lihat tentang Azhari. Memang saya tak cop di atas kepala semua Azhari, tapi begitu hakikat pada sebahagian yang lain. Mungkin terikut-ikut keadaan remaja di Malaysia. Saat masuknya hari 14 Februari, mereka-mereka yang bercouple mula meliar ke kedai-kedai hadiah, ke kedai bunga. Saya bukan mengarut. Ini adalah fakta dan pengalaman saya bergaul dengan remaja Malaysia. Mereka fikirkan 14 Februari adalah tarikh paling sesuai atau paling romantik untuk mendeklarasi perasaan hati kepada pasangan masing-masing. Alangkah jumudnya pemikiran mereka ini! Bukankah, di dalam Islam, setiap hari adalah hari berkasih sayang? Kenapa perlu menyempitkan daripada 365 hari kepada hanya satu hari? Ke mana perginya baki 364 hari lagi?
Pasti ada yang menjawab: Alah ustaz, sehari tu khusus untuk kami yang bercouple je.
Timbul pula persoalan, adakah wujud sistem couple dalam hukum Islam?
Saya malas menuding jari kepada sesiapa. Cukup sekadar 'siapa makan cili, terasa pedasnya'. Tapi ingat! Anda akan dihitung tentang apa yang telah anda lakukan. Kepedasan saja tidak cukup. Keazaman yang kuat perlu ada supaya tidak lagi memakan cili andai tidak mahu dirasai pedasnya. Ops, saya guna metafora lagi...
"Dan Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun." (Al-Kahfi: 49)
Jika anda tidak berpuas hati dengan semua dalil yang saya utarakan dan apa saja yang telah saya coretkan, saya sedia menerima apa yang ingin anda lontarkan. Insya-Allah saya akan menjawab seadanya.
Namun, jika apa yang saya tulis tidak memadai, perbaikilah saya. Komentar anda amatlah dihargai.