The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

26 Mac 2008

Lewah Dalam Dunia Lukisan

Saya memang masih baru dalam arena ini. Bolehlah dikatakan baru berbanding abang-abang dan kakak-kakak yang turut serta dalam komik Alwan (ketika diterbitkan di Mesir) satu ketika dahulu. Tapi baru tak bermakna saya tak tahu apa dia maksud tajuk yang saya letakkan di atas.

Lewah boleh diertikan sebagai:

1. terlalu banyak hingga berlimpah-limpah, mewah;

2. berlebih-lebih sehingga tertambah perkara, hal, dan sebagainya yang tidak perlu.

Jadi, apakah maksud berlewah dalam arena lukis-melukis? Seperti yang dilihat pada karya mereka yang baru bertatih untuk melukis (termasuk saya), kebanyakannya menggunakan ruang yang sedikit untuk melukis sesuatu yang banyak.

Contohnya, anda mahu melukis tentang cerita Sang Kancil dan Sang Buaya, di mana Sang Kancil yang ditangkap kakinya oleh Sang Buaya mahu melepaskan diri dengan helah dan alasan bahawa dia diutuskan oleh Raja Sulaiman untuk mengira bilangan semua buaya di dalam sungai tersebut, seraya melepaskan diri daripada menjadi santapan tengahari Sang Buaya. Jadi, adakah logik jika melakar cerita ini, satu persatu, di dalam satu muka surat sahaja?

Jawapannya, tentu tak cukup untuk anda lengkapkan cerita ini. Kalau tamat pun, lukisannya kecil-kecil sahaja dan dialognya pun tidak kenampakan sangat untuk sidang pembaca. Justeru, sudah semestinya tidak wajar!

Inilah yang dinamakan lewah.

Satu lagi keadaan di mana kelewahan berlaku ialah ketika mana si pelukis melakar terlalu banyak elemen yang tidak bersangkutan dengan jalan cerita, lalu menjadikannya terlalu tepu, panjang dan membosankan. Kalau lagi panjang, lagi menarik, tak apa. Betul tak?

Jadi, nasihat saya, melukis biar berpatutan dan ekonomik, sama seperti menulis. Kita melukis untuk berdakwah dan secara automatik bergelar pendakwah. Jangan biarkan orang melihat dan menilai kita sebagai pendakwah yang lewah dan bosan semata-mata kerana lukisan kita. Sama-sama kita teruskan usaha, majukan diri demi agama, bangsa, dan negara.

Selamat berkarya!

2 ulasan:

Faisal Nordin berkata...

Salam

Saya kurang faham artikel ini. boleh tuan sertakan sample grafik bagi memberi kefahaman yang mendalam lagi?

Sekian.

Mior Khabir Zikri berkata...

Kefahaman yang mendalam? Hm.. susah tu, sebab saya pun masih baru. Saya tidak ada contoh grafik untuk menerangkan apa yang saya tulis, tapi mungkin saya boleh cuba datangkan contoh yang lebih mudah untuk diimaginasikan.

Anda kenal Ultraman, kan? Cuba bayangkan satu babakan dalam salah satu sirinya di mana raksasa menyerang bandar Tokyo dan si hero perlu bertukar kepada Ultraman.

Cuba lukis dari awal cerita sehingga akhir, di mana raksasa dikalahkan dan si hero bertukar kepada manusia semula, di dalam satu mukasurat sahaja. Memanglah tidak mustahil membuatnya, tapi adakah dialog dan lakaran kita akan memuaskan hati pembaca? Adakah dialog itu akan dapat dilihat dengan jelas? Adakah lakaran akan nampak lawa?

Mungkin ya, mungkin tidak. Tapi untuk figure2 yang sudah mahir melukis seperti tuan faisal sendiri, tentu tidak mustahil, kan?

Lewah dalam melukis lebih merujuk kepada penggunaan ruang yang terhad untuk melukis sesuatu yang sangat panjang jalan ceritanya. Cerita yang sepatutnya dilukis dalam dua, tiga, atau lebih mukasurat, dilukis dalam satu mukasurat sahaja.

Ia juga merujuk kepada penggunaan karekter dan dialog lain yang tidak diperlukan sangat. Macam menulislah. Tapi seperti yang saya nyatakan di dalam entri, kalau dengan melukis karekter dan dialog (yang saya sebut di atas) menjadikan cerita lebih menarik dan mampu menerapkan lebih banyak mesej, lebih baik dimasukkan.

Ia sebenarnya bergantung kepada pelukis sendiri. Adakah dia menggunakan ruang dengan cermat atau tidak. Janganlah sampai nak dimampatkan keseluruhan cerita (yang panjang) dalam satu page sahaja!

Harap-harap penjelasan ini memuaskan hati tuan faisal ya? :)

Sekian.