The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

17 Jun 2007

"Mangsa Kepingin Makaroni Goreng Tiga Malam Berturut-turut."

Selesai berbual-bual dengan seorang sahabat; salah seorang Badan Pengurus PMRAM yang bertandang ke rumah, saya masuk ke bilik. Kebetulan rakan senior saya, Adnan Zakaria, ada singgah ke rumah. Saya minta dia menceritakan perihal rakannya yang menjadi mangsa keadaan baru-baru ini. Dia mulakan mengenai ceritanya bersama allahyarham beberapa malam sebelum kejadian:

Beberapa orang pelajar di sana (Mansurah), beritahu Adnan, ada menetap sebentar di sebuah rumah. Termasuklah allahyarham. Mereka rapat dengan tuan punya rumah tersebut (Abang Man). Di rumah itulah mereka saling mengulangkaji bersama-sama. Pada tiga malam terakhir musim peperiksaan, allahyarham bersungguh benar mahu makan makaroni goreng. Dia sendiri pergi ke kedai membeli makaroni menggunakan wangnya sendiri. Pada tiga malam tersebut mereka yang ada di rumah itu sama-sama makan makaroni yang dibeli allahyarham. Adnan berseloroh, "Ni malam wida' ni. Lepas ni, entah bila pula boleh berjumpa macam ni. Musim periksa tahun depan pula kot..." Lebih kurang macam itulah. (Sebenarnya dialog tu dalam loghat Terengganu.)

Malam selepas hari terakhir peperiksaan, usai menjamu perut dengan makaroni goreng, allahyarham sempat berseloroh sambil ketawa, "Lepas ni kita lepak kat cybercafe sampai pagi."

Hari Isnin, 11 Jun, beberapa pelajar Mansurah termasuklah allahyarham datang melawat rakan-rakan di Kaherah. Keesokannya, Selasa, 12 Jun, allahyarham ada mendesak rakan-rakan, mahu pulang cepat ke Mansurah. Rakan-rakannya menolak dan allahyarham terpaksa balik seorang diri. Senior saya Adnan kepelikan. Selalunya jarang allahyarham balik sendiri-sendiri.

Kembali di Mansurah, Selasa, 13 Jun. Petang itu, allahyarham berada di rumah pelajar Malaysia, di pasar Dirasat, Mansurah bersama seorang rakan. Adnan memberitahu, rakannya itu ada mengatakan mahu bergunting dan didesak supaya pergi cepat. Rakan tersebut pun meninggalkan rumah itu. Tinggallah allahyarham seorang.

Kemudian, kejadian yang tidak diingini itu pun berlaku. Saya cuba bertanyakan Adnan tentang sebab musabab kejadian itu, namun beliau sendiri tidak mengetahui sebab yang tepat. Ada yang mengatakan suspek menghadapi tekanan perasaan yang terlalu kuat. Sedangkan senior saya Adnan yang tinggal di Mansurah tidak tahu, apatah lagi saya yang tinggal di Kaherah. Bukan dekat Mansurah-Kaherah, tahu!

Senior saya itu ada menceritakan tentang keadaan allahyarham ketika ditemui oleh orang Arab. Ulasnya, yang hanya sempat melihat gambar yang dirakam melalui kamera telefon rakannya: "Teruk. Darah merata. Macam di tempat sembelihan lembu!" Saya menggeleng kepala. Sampai begitu sekali.

Setiap kejadian ada hikmahnya yang Allah mahu tunjukkan. Marilah sama-sama kita berlindung dengan nama Allah dari syaitan yang direjam, agar hati kita dijauhkan dari dicemari daki-daki permusuhan. Dan supaya kita tergolong dalam golongan husnul-khatimah. Ameen, ya Rabb!