The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

19 Julai 2009

Tentang Dhobt


Mata pelajaran Dhobtul Quran mula dipelajari pada tahun 3 Takhassus Qiraat di Maahad Qiraat Shoubra (juga di Maahad Qiraat Mansurah). Anda pasti tertanya mengapa saya ingin menulis sedikit tentang ilmu ini. Senang saja jawapannya.

Ia subjek kesukaan saya.


Mukadimahnya

Pada permulaan kitab Irsyadut-tolibin Ila Dhobtil-kitabil-mubin karangan Syeikh Muhammad Muhammad Salim Muhaisin, mukadimahnya menyebut tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan pengenalan ilmu Dhobt.

Seperti kebiasaan ilmu yang lainnya, disebutkan dalam mukadimahnya tentang takrif ilmu Dhobt secara bahasa (lughatan) dan secara istilah (istilahan), pembahagian noktah (an-nuqt), sejarah permulaan ilmu Dhobt, dan faedah pembelajarannya.

Juga disebut tentang perbezaan antara ilmu Dhobt dan ilmu Rasm Quran, kerana sekali imbas, anda akan dapati ada sedikit persamaan pada kedua-dua ilmu ini.

Perbincangannya

Kitab Irsyadut-tolibin Ila Dhobtil-kitabil-mubin mempunyai 11 bab yang membincangkan tentang hukum dan kaifiat yang terdapat dalam ilmu Dhobt. Secara ringkasnya, ilmu Dhobt mengkhususkan perbincangan tentang elemen-elemen yang terdapat dalam Al-Quran yang saya formulakan sebagai HASSYIMAH:
harakat (HA) iaitu baris,
sukun (S) iaitu tanda mati,
syiddun (SYI) iaitu tanda sabdu,
mad (MA) iaitu tanda bacaan panjang – dua harakat atau lebih,
dan hamzah (H) iaitu huruf hamzah.

Bab kesembilan iaitu yang bertajuk “Fi Kaifiyati Dhobti Ma Huzifa Rasman” ialah tajuk terpanjang dan memerlukan pemahaman yang lebih mendalam dan rujukan kepada penulisan Rasm Uthmani dalam Al-Quran berbanding tajuk lain, kerana khilaf yang banyak antara pandangan Magharibah dan Masyariqah, apa yang digunakan (‘alaihil ‘amal), dan perbezaan cara penulisan yang banyak dibahaskan. Saya sendiri menggunakan lima helai kertas untuk membuat nota persendirian tentang bab ini, sedangkan bab lain hanya satu hingga empat helai.

Bab terpendek dalam kitab ini ialah bab kesebelas iaitu yang bertajuk “Fi Hukmil-laam Alif”, yang tidak sampai setengah muka surat boleh disiapkan notanya.

Kesimpulan

Memandangkan saya tidak punyai masa yang banyak, kerana kerja yang menghimpit, untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang ilmu ini, jika ada kemampuan dan masa nanti, akan saya terangkan pada entri yang akan datang, insya-Allah.

Berbeza dengan ilmu Qiraat yang memerlukan pemahaman yang terperinci dan rujukan kepada syeikh-syeikh dan guru-guru, ilmu Dhobt lebih mudah untuk difahami. Bahasa yang digunakan Syeikh Muhammad Muhammad Salim Muhaisin tiada perkataan kiasan, amat mudah difahami, dan padat. Cubalah menelaah sendirian dahulu sebelum memasuki kelas Dhobt untuk memaksimakan pemahaman.

Wallahua’lam.

Tiada ulasan: