The Bloglord

Foto saya
Author, blogger, comic freak, designer, editor, gamer, hermit, photographer, reader, student, teacher, traveler, writer.

12 Mei 2008

Kondisi Pasca-Peperiksaan

Watashi wa… watashi wa—”

Talian terputus. Geram hati Ikhwan dibuatnya. Mahu saja digigit-gigit wayar gagang tersebut. Ikhwan menggumpal dan menghambur sumpah seranah.

Sejurus, telefon bimbitnya berbunyi pula. Satu siri nombor terpapar menandakan dia tidak mengenali si pemanggil.

Punat hijau ditekan.

“Hello.”

“Hai, orang Malaysia,” jawab suara di hujung talian. “Malang sungguh nasib kamu. Sayang seribu kali sayang, buah hati kamu tak sempat mengucapkan kalimah cintanya… kan?”

Ikhwan menahan geram yang kian mengawan tinggi. Suara si pemanggil seolah pernah didengarinya. Memang betul; orang Jepun yang cuba berbahasa Melayu. Bunyi pun didengar kekok.

“Kau siapa?” bentak Ikhwan.

Nippon orang sini. Bukan pendatang serupa kamu.”

“Sakura di mana? Apa kau dah buat pada dia?”

Si pemanggil terbahak-bahak ketawa. “Tak perlu risau, tak perlu risau. Nippon orang baik. Sakura pun orang baik. Nippon takkan apa-apakan dia. Tapi…”

***

Alhamdulillah, lebih kurang jam 11.45 pagi semalam, saya berjaya melangkah keluar dari dewan peperiksaan Maahad Qiraat Shoubra. Segala puji bagi Allah dilafaz, setelah beberapa minggu musim peperiksaan tahun dua berlangsung, segalanya berjalan dengan baik, tiada apa-apa kemalangan atau aral melintang di pertengahan jalan. Saya telah berusaha sebaik mungkin; semoga Dia berikan apa yang setimpal, insya-Allah.

Setiap kali selepas peperiksaan, pasti saya akan dapati meja dan bilik dalam keadaan yang tidak berapa menyenangkan mata yang melihatnya. Dengan kata lain, bersepah. Maklumlah, sudah jadi semacam habit bagi saya untuk tidak mengemaskan segala macam kitab dan nota kecuali selepas habis peperiksaan seluruhnya (senyum lebar).

Walau bagaimanapun, kondisi badan selepas peperiksaan kali ini agak berlainan. Kepala sering terasa berat. Seringkali rasa panas persis mahu saja saya demam. Barangkali sebab tidak cukup tidur. Alasannya? Menghafal, menghafal, dan menghafal. Terkadang, pernah juga meminta khidmat kejut sampai bangun daripada orang Malaysia. Ketawa lagi! Tidur seawal jam 9 malam untuk menghimpun tenaga, bangun menelaah seawal jam 2 pagi. Entah cukup entah tidak. Seharian suntuk memuatkan ilmu ke dalam otak sampai pernah terjadi di suatu hari, entah macam mana, kepala saya betul-betul sakit sedang saya mendengar khutbah Jumaat.

Mungkin terlalu banyak dosa telah saya lakukan. Astaghfirullah. Ampunkan hamba-Mu yang kerdil ini, ya Ghafur!

Han Ri: Apa kaitan semua ini dengan keratan cerita di atas? Kalau mau tau, ia ditulis semasa saya dikritik oleh kakak Sammaituha Najwa semasa di Kem Latihan Penulis PMRAM siri 1, di Rumah Johor. Masa orang tengah syok kritik kita, masa tu lah sibuk nak buat kerja lain. Keratan ini ditemui semasa saya mengemas kitab dan nota (senyum).

*** Nota kaki: Tidak digalakkan membuat bintang (*) di dalam penulisan cerpen kerana ia mengganggu editor.

1 ulasan:

NMZ berkata...

wah..mnggalkan unsur tanda tanya ;)